Internet senjata serang kerajaan (MM 7/3/99)

Oleh: Dr. Rais Yatim (email Fudzail)


INTERNET sebagai satu-satunya media pantas elektronik di alam siber sudah bertapak dalam kehidupan harian kita. Peranannya yang menyalur dan memaparkan maklumat teks bergambar dan berbunyi sudah menjadi kebiasaan di Malaysia sekali pun sebahagian besar anggota masyarakat di luar bandar masih belum lagi berpeluang menggunakan media ini. Ada unjuran yang meramalkan, pada akhir tahun ini bilangan pelanggan Jaring, TM.net dan lain-lain pembekal jaringan Internet (ISP) akan melebihi 400,000.

Sementara media cetak dan televisyen tertakluk kepada beberapa kawalan dan penapisan di bawah kuat kuasa pentadbiran dan undang-undang negara, Internet begitu bebas dan berleluasa sebagai penyalur maklumat.  

  Internet telah dibenarkan berfungsi tanpa penapisan kecuali jika tercebur dengan bahan-bahan lucah. Piagam penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC), misalnya membuat komitmen bahawa tiada penapisan dikenakan kepada perkhidmatan Internet di Malaysia. Kepada pihak yang berselera tajam untuk menyalur idea masing-masing keadaan ini adalah seperti pucuk dicita ulam mendatang.

Dengan latar belakang inilah dunia Internet berkembang di Malaysia, khususnya semenjak media itu dipopularkan oleh kerajaan menerusi dasar teknologi informasinya (TI) dan percambahan komputer persendirian (PC). Walaupun Internet dan komputer merupakan legasi dari Barat, ia telah diterima pakai sebagai alat budaya perhubungan seluruh dunia. Menurut Pertubuhan Internet (Internet Society), yang beribu pejabat di Amerika Syarikat, komunikasi melalui mel elektronik (e-mail), misalnya, sudah banyak membantutkan perhubungan menerusi surat-menyurat biasa. Tanda-tanda penggunaan Internet mengambil alih peranan media cetak sudah bermula. Melalui perbualan siber (cyber talk), e-mel dan pelbagai rancangan 'online' masyarakat sudah boleh mencetuskan idea tanpa kertas.  

Menerusi Internet sajian Jaring di bawah Mimos, akhbar-akhbar tempatan juga dapat dibaca bersekali dengan sajian gambar yang sering diistilahkan sebagai grafik. Kesemua ini boleh dipindahkan dengan sekelip mata kepada bentuk media cetak untuk edaran. Dalam suasana inilah pihak-pihak tertentu melepaskan pelbagai kritikan terhadap kerajaan dan pemimpin-pemimpin tertentu. Menerusi halaman Internet (website) seperti ''Sangkancil'', ''soc.culture.Malaysia.'', ''Berita Reformasi'', ''Harakah'', ''Bala Pillai'', ''Power Slave'' dan beberapa alamat media siber yang lain seseorang pengguna Internet dapat membaca pelbagai tulisan, berita dan ulasan.

Sebilangan besar penulis Internet menggunakan media itu untuk mengkritik dasar-dasar kerajaan. Sabri Zain, MGG Pillai, Bala Pillai, dan beberapa orang lagi merupakan penulis-penulis siber tempatan yang cukup sibuk mempertikaikan pihak berkuasa (establishment). Pembaca ruangan mereka ini tampaknya kian lama kian bertambah.

Satu halaman baru Internet yang dipanggil ''Rope'' mensajikan pelbagai pendapat tentang agama Islam yang kebanyakannya mempertikaikan mazhab, akidah dan para pemimpin Islam. Akhbar Harakah yang mendakwa edarannya kini melebihi 300,000 naskhah sekali keluaran mendapat tumpuan yang kian meningkat melalui jendela Internet. Dengan versi dwibahasanya penerbitan politik ini juga dapat menarik pembaca berbahasa Inggeris. Boleh dikatakan 78% daripada penulisan yang terdapat melalui alamat-alamat Internet di atas bersifat antikerajaan, antipemimpin dan secara amnya antisistem pemerintahan yang ada.

Menerusi ''Rope'' dimuatkan sajian-sajian ilmiah keagamaan dan tidak kurang pula yang memutarbelitkan kesahihan hadis dan rukun Islam. Keadaannya merunsingkan.

Dalam tempoh satu minggu tidak kurang 200 ke-300 pojok yang disebarkan melalui Internet tempatan yang rata-rata bersifat sinis dan kritis. Menerusi ''Berita Reformasi'' pula akan tersua ulasan dan pendapat yang khusus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perjuangan ke arah ''perubahan''.

Bahasa yang diguna di dalam ''sajian-sajian'' internet tempatan ini kerap menyentuh peribadi para pemimpin atau pihak-pihak berkuasa tertentu. Paling sinis dan tajam ialah tulisan-tulisan yang disebarkan melalui sudut ''Sangkancil'' termasuk halaman-halaman Sabri Zain dan kumpulan-kumpulan proreformasi.

Parti-parti pembangkang seperti DAP dan PRM juga menampilkan diri mengikut musim dan isu. Parti-parti kerajaan atau agensi-agensi yang bertanggungjawab tampaknya belum berminat menggunakan Internet sebagai media perjuangan.

Ada dua pendapat terhadap penulisan dan kritikan pihak-pihak yang disebutkan di atas. Pendapat pertama menganjurkan tidak perlu diambil tindak balas apa-apa kerana memang sudah dijamin oleh kerajaan semenjak piagam MSC lagi bahawa Internet tidak akan dikenakan sekatan atau tapisan kecuali sesuatu edaran itu bersifat lucah dan kotor dari segi moral atau mencabul keselamatan negara.

Pendirian sebegini memang tidak dipertikaikan kerana memang itulah jaminan yang diberikan oleh kerajaan melalui kuat kuasa undang-undang komunikasi siber.

Tetapi apabila didapati hampir tiada langsung penangkisan atau serang balas dari pihak-pihak berkuasa atau parti pemerintah, timbul gambaran seolah-olah apa yang dipertikaikan mereka itu semacam benar. Pendapat kedua ialah parti dan kerajaan tidak perlu mengambil apa-apa tindakan berbentuk reaktif atau proaktif lantaran media-media tertentu sentiasa sedia mensajikan dasar dan suara kerajaan. Pandangan ini biasanya bersekali dengan akuan bahawa kuasa sentiasa ada dalam tangan justeru tidak perlu susah payah menggunakan Internet untuk menjana perjuangan.

Pendirian begini bahaya kerana lama-kelamaan pembaca Internet akan berlipat ganda memandangkan bahan-bahannya lebih sensasi, sensitif dan tiada didapati dalam akhbar biasa.

Lagipun, membaca bahan-bahan di Internet lebih bersifat interaktif, personal dan memberi peluang meluahkan perasaan yang pada umumnya dianggap agak ''terkongkong'' selama ini.

Yang perlu diambil berat ialah jika sebahagian sebaran program Internet melalui Jaring itu berupa tohmah dan propaganda yang tidak dicanggahi melalui tindak balas intelek maka akan sampai masanya sebahagian besar pengguna Internet akan beranggapan bahawa segala yang dipropagandakan oleh pihak yang bertentangan itu benar.

Nanti akan timbul imbasan minda bahawa yang betul pengkritik dan yang salah pihak berkuasa. Seterusnya, berkemungkinan nanti lebih ramai pihak yang akan 'melayari' Internet untuk mendapatkan bahan-bahan sensasi politik dan sosial yang biasanya tidak diperolehi melalui media cetak biasa.

Beberapa bulan lalu kedengaran suara yang menampilkan azam untuk bertindak balas terhadap serangan-serangan siber itu. Setakat ini hasilnya belum tampak.

Sebaliknya, melalui akhbar Pas - Harakah, misalnya, UMNO dan kerajaan telah banyak dipersalahkan susulan beberapa isu, khususnya yang berkaitan negara Islam, ekonomi, undang-undang, keadilan dan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Parti itu menampilkan pandangan-pandangan yang mereka kategorikan sebagai luahan para intelek Pas. Dari UMNO belum banyak diperolehi balasan terhadap 'serangan-serangan politik' itu. Pendapat bahawa kononnya tidak perlu disediakan reaksi intelek terhadapserangan-serangan itu harus dilihat sebagai tidak membina dan tidak membantu UMNO dan kerajaan.

Jika tukang caci menggunakan Internet, ayuh UMNO pun mesti berkemampuan menggunakan Internet sepenuhnya bagi mencuci daki-daki cacian itu, lebih-lebih lagi kerajaan UMNO yang melahirkan Internet dan dasar terbuka TI.

Lebih baik, UMNO harus menggunakan media baru ini secara proaktif dan tidak sebaliknya. Sesungguhnya, sekali-sekala bercermin diri untuk memperkuat dan melengkapkan diri tidak merugikan.

Memang merupakan satu fenomena bahawa pemerintah atau kerajaan sentiasa menerima kritikan dan umpatan.

Tetapi bila kedua-dua perbuatan itu meningkat menjadi pemutar pemikiran sebahagian besar rakyat dan seterusnya menjadi pengalah kepada yang benar, sesuatu yang berkesan perlu dilakukan. Bukan dengan kekerasan atau keangkuhan tetapi dengan daya fikir dan daya intelek yang rasional.  

Dalam proses itu mungkin terdapat sesuatu kelemahan. Salah satu kelemahan yang diduga ialah jika UMNO atau kerajaan sentiasa bersifat reaktif dan tidak proaktif maka akan kedapatan situasi yang boleh dianggap mengalah. Inilah yang sering dimengertikan sebagai amalan perjuangan yang negatif.

Perjuangan yang sentiasa bersandar kepada kuasa akhirnya akan ditelan oleh kemaraan dan penerimaan idea serta nilai-nilai baru. Ini adalah kerana usaha membina negara dan bangsa bukan milik sesuatu pihak. Ia merupakan hak semua individu dan kumpulan.

Dalam konteks inilah perlu diterima falsafah ''menyerang adalah bentuk pertahanan yang paling berkesan.'' Anjuran ini bukan bererti menyerang membabi buta tetapi dengan menyelitkan perjuangan yang berupaya diterjemahkan kepada perkongsian faedah dan kuasa. Pada masa ini serangan dari penentang-penentang kerajaan tampak telah mula menerima dividen politiknya sekali pun semua ini akan ditentukan melalui pilihan raya apabila Barisan Nasional dijangka bangkit secara besar-besaran. p

Apakah dividen-dividen ini? Pertama, kelarisan media cetak yang dikendalikan oleh pembangkang amat ketara. Ini bermakna pemikiran atau idea-idea pembentukan kuasa baru melalui politik sudah lebih meluas daripada tahap biasa.

Kedua, dengan kemudahan dan percambahan Internet, apa yang tidak dapat dibaca di dada akhbar harian sudah boleh dibaca dan dirasionalkan melalui media baru ini.

Soalnya, kenapakah kemudahan yang disalurkan oleh UMNO dan kerajaan ini lebih memberi faedah kepada pembangkang dan tidak sebaliknya? Ketiga, perhitungan dan persepsi sesetengah pihak terhadap undang-undang dan keluhurannya sudah mula berubah sehingga ada yang beranggapan bahawa ia merupakan komoditi yang layak diperlecehkan.

Pepatah lama mengingatkan kita: Sekilat ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. Kilat beliung ke kaki, kilat cermin ke muka, Dari tanda-tanda dan isyarat yang ada, parti dan kerajaan menghadapi cabaran yang paling

hebat semenjak tahun 1969.

Dari isu negara Islam hinggalah ke isu bekas Timbalan Perdana Menteri yang didakwa di mahkamah seterusnya

kemelesetan ekonomi, sikap mempertahankan diri di sebalik kuasa semata-mata mungkin tidak akan berkesan sepenuhnya. Dirasakan, pilihan raya akan datang paling sengit dan paling menguji. Sebelum api naik ke bumbung, lekas-lekaslah dipadamkan. Apakah dalam semua hal perlu menunggu Perdana Menteri menjelajah ke seluruh negara baru hendak bertindak? Pasukan-pasukan yang dikatakan hendak 'turun padang' hendaknya bersiaga dan bergegas sebaik sahaja urusan pilihan raya di Sabah selesai pada tanggal 13 Mac akan datang.     


BALIK