Oleh: Faisal Tehrani
CINTA penulis kreatif jangan diperkecilkan. Cinta mereka biasanya menggerakkan penghasilan karya-karya besar. Untuk merakam hidup penulis di dalam filem tidak mudah. Christopher Hampton, seorang dramatis Inggeris yang terkenal menulis Total Eclipse. Drama pentas tersebut adalah antara karya terawalnya. Orang yang dipertanggungjawabkan untuk memindahkan karya drama seputar cinta penyair Perancis Arthur Rimbaud dan Paul Verlaine ke filem ialah Agnieszka Holland (pengarah filem wanita yang menghasilkan filem psikologi kanak-kanak The Secret Garden adaptasi novel kasik Frances Hodgson Burnett.)
Filem Total Eclipse menggambarkan rumahtangga penyair Verlaine yang berantakan. Ini mengingatkan kita kepada rumahtangga penulis besar James Joyce. Nora Joyce bila orang memuji suaminya sebagai pengarang besar akan menempelak semula dengan wajah selamba: Iya, anda tidak perlu untuk tinggal dengan si bodoh itu untuk mengetahuinya. Verlaine, membenci isterinya kerana terlalu banyak campurtangan mertua. Bayangkan Verlaine boleh menyebut kepada tetamu: Isteri yang cantik, tetapi aku belum bakar rambutnya sejak hari Khamis yang lalu!
Pada tahun 1871, Arthur Rimbaud yang ketika itu berusia 17 tahun telah menulis puisi The Drunken Boat dan mengirimnya kepada Verlaine. Serta merta Verlaine terpesona, beliau kemudian menjadi semacam mentor kepada Rimbaud. Penyair muda yang berperangai buruk (sendawa kuat ketika makan, berjalan di atas meja hidangan dan berbogel di atas bumbung!) itu menambah lagi ketidakstabilan rumahtangga Verlaine. Pedulikan samada siapa telah menggoda siapa. Kedua-duanya dirasuk gila dan nafsu. Malam Mathilde Verlaine melahirkan anak sulung mereka, Paul Verlaine mengucup bibir Rimbaud. Dan cinta mereka bermula.
Filem ini gagal menggambarkan mengapa puisi-puisi mereka begitu hebat. Holland nyata terkesan sisi seks sesama jenis mereka. Dicaprio (Titanic, 1997) pelakon watak Rimbaud berusaha memberi keyakinan untuk melakonkan personaliti kacau dan rosak. Thewlis yang membawa watak Verlaine (sebelum itu berlakon di dalam filem Naked arahan Mike Leigh 1993) juga berjaya membawa watak Verlaine. Cuma Holland sebagai pengarah mengecewakan kerana nampak gagal mengawal tempo filem hingga menjejaskan keseluruhan mood filem. Tidak seperti The Secret Garden yang berlapis-lapis dan sinematografi yang memberi makna, Total Eclipse nampak tidak terurus.
Filem ini nampaknya gagal memaparkan bagaimana cinta mereka boleh mendorong terhasilnya karya-karya yang hebat dan besar. Verlaine (1844-96) adalah pemimpin gerakan simbolis di dalam puisi. Karya terawalnya Poemes Saturniens (1866) bercirikan antiromantism. Ini bermakna prosa itu lebih mementingkan teknik dari perasaan. Hubungan dengan Rimbaud yang berbumbukan cemburu menyebabkan mereka sering bergaduh dan hampir berbunuhan. Verlaine mencederakan tapak tangan Rimbaud dalam satu pergaduhan dan menyebabkan beliau dipenjarakan di penjara Belgium atas kesalahan sodomi. Puisi Romances Sans Paroles (Song Without Words, 1874) ditulis ketika di dalam penjara, berdasarkan hubungan cinta mereka itu. Beliau juga kembali kepada hal-hal agama ketika ditahan menyebabkan lahirnya puisi religious, Sagesse. Setelah Rimbaud menolak cintanya, Verlaine menjadi petani dan memelihara anak angkatnya Lucien Letinois yang meninggal dunia secara tiba-tiba. Kesedihan beliau itu menatijahkan pula puisi Amour (1888). Puisi-puisi seperti Les Pretes Maudites dan Jadis et Naguere (1884) mengesahkan lagi statusnya sebagai penulis yang mengimbangkan khayalan, ilusi, mimpi, harapan dan lambang dalam karya. Bunyi dalam puisi pada beliau lebih penting dari maksud. Sehingga sekarang puisi-puisinya sukar diertikan.
Rimbaud (1854-1891) pula menulis sejak berusia 10 tahun. Peristiwa Verlaine mencederakannya menghasilkan karya A Season In Hell (1873). Pada tahun 1880, setelah dengan ego menolak cinta Verlaine, beliau telah menjadi pedagang di Habsyah, di mana beliau mengalami sakit tumor di lutut dan dihantar pulang ke Perancis. Hidup beliau penuh tragedi, kaki dipotong dan beliau meninggal dunia dalam kecewa di atas katil hospital. Rimbaud tidak banyak menghasilkan puisi tetapi beliau hingga kini dianggap antara penyair Perancis paling tulen. Pada tahun 1886, Verlaine yang menyangkakan Rimbaud sudah tiada telah menerbitkan puisi kekasihnya itu Illuminations yang mengandungi karya tersohor - Sonnet des Voyelles - yang dirujuk di dalam dunia kepenyairan sebagai puisi mementingkan vowel.
Kedua-duanya adalah penyair besar, seperti kata Verlaine kepada adik Rimbaud yang memohon jasa baik beliau untuk tidak lagi menerbitkan puisi-puisi Rimbaud (kerana puisi-puisi itu memalukan mereka sekeluarga), I am a great poet but your brother was a genius.
Filem lain yang memaparkan sisi cinta penulis iaitu Ernest Miller Hemingway dalam filem In Love And War (1997). Filem ini sebetulnya adalah berdasarkan buku Hemingway In Love And War (1989). Buku ini adalah susunan Henry S.Villard (rakan baik Hemingway ketika Perang Dunia Pertama) dan James Nagel. Ia merupakan himpunan surat, catatan, gambar peribadi Agnes Von Kurowsky - apa yang sifatkan sebagai diari Agnes yang hilang.
Agnes adalah wanita pertama mencuri hati Hemingway. Penulis besar dunia itu telah tercedera di tempurung lutut di medan perang (setelah berusaha menyelamatkan seorang askar dan mementingkan pemuda itu lebih dari dirinya). Hemingway dihantar untuk rawatan di Hospital Milan. Beliau jatuh cinta dengan Agnes, jururawat di situ dan merancang untuk mengahwininya meskipun usia mereka agak jauh berbeza. Hemingway masih belasan sedang Agnes sudah hampir mencecah 30 an. Babak pertama buku tersebut membawa kita kepada catatan Villard sebagai orang paling rapat dengan Hemingway. Juga mengenai apa yang telah berlaku ke atas Agnes.
Babak kedua mempamerkan diari Agnes di Itali. Lelaki-lelaki yang dikenalinya, leteran mengenai kesibukan di medan perang dan sedikit mengenai Hemingway - the kid - yang disebut sebagai comel.
Babak ketiga, peminat berat Hemingway pasti terkejut membaca surat-surat Agnes kepada Hemingway, hampir setiap hari, mencurah rasa rindu. Begitu juga babak di mana Hemingway mengutusi surat kepada ibu-bapanya dan menceritakan rasa kasihnya kepada Agnes.
Impian cinta Hemingway seperti katanya kepada Agnes, kau tinggal di dalam kabin memasak ikan yang aku tangkap di tasik dan kemudian aku menulis karya-karya besar, tidak pernah kesampaian.
Agnes mengutusi surat pada Mac 1919 berbunyi: Aku masih terlalu menyukaimu, cuma sekarang ia lebih sebagai seorang ibu daripada seorang kekasih…sukar aku melupakan yang engkau hanya seorang budak mentah.
Ayat-ayat itu setelah Agnes berjanji untuk mengahwininya; sangat melukakan. Agnes merancang untuk mengahwini seorang doktor Itali walaupun tidak jadi kemudiannya. Hemingway tidak pernah memaafkan Agnes dan dengan luka itu dia menulis karya beliau A Farewell To Arms yang serta merta melonjakkan namanya. Watak Catherine Barkley tidak lain tidak bukan terilham dari peribadi Agnes.
Filem In Love and War arahan Sir Richard Attenborough kurang teliti. Attenborough berpengalaman dalam memfilemkan kisah hidup tokoh-tokoh ternama tetapi kali ini beliau agak gagal. Kita tidak bisa lupakan Gandhi (1982) arahannya, atau Cry Freedom (1987) dan Chaplin (1992). Beliau dikenali sebagai pengasuh bakat-bakat besar di Hollywood. Ben Kingsley misalnya lebih dikenali setelah melakonkan watak Mahatma Gandhi dan Robert Downey Jr. menerima pencalonan untuk oscar bagi watak di dalam Chaplin.
Filem ini gagal menterjemahkan secara jujur hidup Hemingway. Sandra Bullock yang lebih dikenali melalui filem aksi Speed gagal menginterpretasikan watak Agnes. Jururawat itu kelihatan seperti perempuan suci sedangkan Agnes sebenarnya kaki layan lelaki! Lakonan Chris O Donell (bintang filem Batman and Robin) sebagai Hemingway baik tetapi masih belum begitu memuaskan jika dibandingkan dengan lakonan beliau di dalam Scent Of A Woman di mana beliau menerima pengakuan Golden Globe. Sinematografi sekadar tampalan pemandangan tetapi yang lebih menghampakan ialah bagaimana Attenborough menonjolkan sisi komersilnya. Soal cinta terlalu dibangkitkan untuk merobek-robek hati penonton (di mana ia berjaya!) sedang sisi benar cinta Hemingway itu diabaikan. Adengan Hemingway dan Agnes menari sebagai tarian terindah di dunia misalnya diada-adakan.
Ernest Miller Hemingway (1899-1961) adalah penulis besar Amerika yang memberi kita karya-karya seperti The Old Man And The Sea (1952, sebuah karya mesti untuk sesiapa yang ingin menjadi penulis - tiada tolak ansur!) dan For Whom The Bell Tolls (1940) yang diterjemahkan oleh DBP sebagai Untuk Siapa Genta Berbunyi. Hemingway memperkenalkan stail penulisan yang amat berjimat, ringkas dan keanak-anakan. Tatabahasanya mudah untuk memperincikan suasana yang ingin digambarkan. Cara beliau menulis yang menekankan apa yang ingin disampaikan dan tidak meleret-leret ini telah menyebabkan kejatuhan era prosa ala Victorian. Hemingway menulis banyak berdasarkan pengalamannya yang lasak. Buku Hemingway In Love And War memahamkan kepada kita kenapa Hemingway boleh menjadi pemabuk dan pembengis, banyak kali berkahwin, penagih seks, menulis dalam keadaan berdiri dan separuh bogel menghadap tasik dan minatnya terhadap ikan, laut, hutan dan pengembaraan. Dan akhirnya kerana terlalu tertekan, membunuh diri.
Agnes ada memohon maaf kepada Hemingway kerana kesilapan itu dan bersedia untuk kembali ke pangkuannya. Tetapi penulis muda itu menolak, mengingatkan Agnes semula kata-kata yang dia hanya seorang budak mentah. Kalaulah Hemingway menerima Agnes, maka tidaklah kita temui karya-karya besarnya.