Cinta Kala Gegar Jakarta

Oleh: Zaid Akhtar


SAYA tidak tahu apakah alasan paling munasabah untuk diberikan kepada  editor Reformis apabila gagal menyiapkan cerpen dalam tempoh yang   dijanjikan. Biarpun banyak tema yang berlegar-legar dalam kepala,   sayangnya semuanya bagai tidak mesra. Datang sebentar dan kemudiannya   berlalu pergi. Masa terbiar begitu sahaja tanpa sebarang karya.         

   Lantas saya penuhi masa yang terluang itu -dibauri rasa kecewa   sebenarnya- dengan menulis perutusan ke sana sini. Untung-untung rakan   yang berselerakan di segenap pelosok dunia mampu mengirimkan berita. Dan   dari berita-berita itulah, siapa tahu akan terhasilnya karya!      

    Syukur. Kaedah pencarian bahan saya akhirnya berhasil. Saya   memperoleh cerita ini daripada  seorang sahabat paling karib yang sering   mengirimkan perutusan-perutusannya dari semasa ke semasa. Dia bercerita   mengenai dirinya. Cerita sedih. Agak menyayat juga. Sebak dada ini bila   mengenangkannya. Namun disebabkan ketiadaan bahan, saya garapkan juga.       

   Saya mula mengetahui kisah ini pertengahan Mac yang lalu.   Menelusuri selanjutnya kala awal Mei. Natijahnya cuma diperolehi   baru-baru ini. Ia bermula apabila saya ke pusat internet untuk   mendapatkan berita tanah air. Sewaktu saya membuka inbox e-mail saya   itu, saya dapati suatu perutusan dari Jakarta. Memang itulah yang saya   nanti sekian lama.      

    'Pacar apakah namanya jika sering membiarkan kekasihnya   kesepian? Kala cinta semakin bersemarak dalam jiwa, dia semakin payah   kutemui. Ada saja halangan di pertengahan yang membikin aku terasa   benar-benar orang asing. Tatkala ekonomi semakin meruncing, apakah harus   hubungan yang baru bertunas ini menerima nasib yang serupa?'       

   Saya agak terkejut. Rasa gembira dan tidak sabar turut bercampur   baur. Terkejut kerana mukadimahnya yang sedemikian rupa. Gembira kerana   sudah lama tidak menerima perutusan daripadanya. Dan tidak sabar untuk   mengetahui perkembangan mutakhir dirinya.       

   Mustika! Terbayang di mata kala itu wajahnya yang manis. Lembut   dan menawan. Dia sahabat yang paling akrab tatkala saya masih di bangku   persekolahan empat tahun yang lampau. Kami ibarat isi dan kuku yang   sukar diceraikan, namun takdir telah menentukan bahawa kami akan   terpisah jauh. Saya terlempar ke Dataran Syam demi meneruskan pengajian   dalam Bahasa Arab, sedang dia terbang menyeberangi Selat Melaka dan Laut   Jawa untuk mendalami bidang kesusasteraannya di Universitas Nasional   Indonesia.

         Saya membaca terus.

         'Ijah, dia lelaki paling hebat pernah kutemui. Ketara, Mustaqim   Gunawan Hatta itu tidak seperti lelaki lain. Hidupnya penuh dengan   perjuangan. Seorang pemimpin pelajar yang berjiwa besar, digilai oleh   sekian ramai gadis yang menuntut di universiti ini. Lantas, bagaimana   aku bisa percaya bila dia menyatakan minatnya terhadapku gadis Melayu   Malaysia yang tidak punya apa-apa kelebihan selain rasa rendah diri dan   malu yang berpanjangan?

      Sebetulnya aku segan mahu menceritakan segalanya kepadamu,   lebih-lebih lagi bercakap soal lelaki dan pacaran. Maklum, engkau   pelajar Timur Tengah yang pastinya terpelihara pergaulannya berbanding   kami di sini yang agak terbuka. Dan semestinya engkau mengagumi sahsiah   lelaki pilihanmu yang alim lagi warak. Beriltizam dengan jemaah Islam   ikutanmu. Namun percayalah tudungku masih labuh seperti dahulu. Suasana   sosial dan liberal di sini belum berjaya merubah aku sepenuhnya. Dan   jejaka kelahiran Sukamandi yang akhir-akhir ini menjadi inspirasiku itu   sememangnya islamik. Punya hubungan rapat dengan Amien Rais tokoh Islam   yang dihormati itu. Dan dia amat mengagumi tokoh-tokoh ulama nusantara   yang terdahulu, termasuk tokoh-tokoh di negara kita Tanah Melayu seperti   Syeikh Mohd .Tahir Jalaluddin, Sayid Syeikh Al-Hadi, Prof. Zulkifli   Muhammad, Dr.Burhanuddin Al-Helmy, dan Abu Bakar al-Baqir. Malah dia   teramat mengagumi HAMKA ulama nusanya yang terkenal itu. Engkau tahu apa   kata-kata HAMKA yang dititipkannya padaku.Titik.

   Dia berhenti di situ. Saya menggetap bibir. Geram, biarpun sudah   terbiasa dengan kelazimannya menamatkan perutusan secara tergantung.   Sikap Ika itu sudah amat saya fahami. Katanya, biar saya senantiasa   tertunggu-tunggu, dan kami akan terus berhubungan selalu.

Ika memang berbakat dalam penulisan. Justeru, jurusan yang diambilnya  adalah Sastera Melayu. Lantaran itu saya tidak pelik membaca   perutusannya yang sedemikian menarik. Kata-kata tersusun cantik ditambah   dengan keindahan bahasa dan gaya bahasa yang memukau.

Persahabatan yang terlalu erat membuatkan kami saling rindu-rinduan.  Biarpun terpisah jauh, tetapi titipan warkah di antara kami tidak pernah   putus. Jelasnya, dengan teknologi maklumat yang semakin pesat, kami   turut terkesan; untuk berhubung terus melalui jaringan komputer, tidak   lagi menerusi kertas. Namun, akhir-akhir ini sahaja, Ika seakan-akan   terkena kejutan. Hampir sebulan setengah saya tidak menerima sebarang   berita darinya. Mungkin seperti yang disifatkannya dalam perutusan   e-mail terdahulu. Demam 'cinta' sedang melanda!

Saya tidak tahu banyak tentang Mustaqim. Namanya memang enak didengar.  Pastinya lelaki itu berperibadi murni.Kalau tidak masakan Ika pun turut   tergila-gila! Ada juga rasa kurang senang sekiranya Ika memilih jejaka   seberang. Tetapi memikirkan jodoh pertemuan di tangan Tuhan, saya   biarkan keadaan menentukan. Mustaqim katanya lelaki baik. Punya karisma   dan kaliber selaku pimpinan pelajar di sana. Wibawanya, kata Ika amat   mengagumkan. Pemimpin setiap piket, pidato, dan demonstrasi terhadap   kerajaan. Lebih-lebih lagi kebelakangan ini kala ekonomi  Indonesia   sedang menjunam teruk. Menurut Ika, mereka bertemu kala demonstrasi   setelah beberapa bank di negara itu tumbang gara-gara IMF. Pertemuan   yang tidak disengajakan barangkali. Selebihnya saya tidak tahu.

Sesudah lima hari, saya menerima lagi perutusan di monitor komputer.  Kuharap khabarmu masih waras seperti lima hari yang lalu. Ijah, semalam   kutemui lelaki itu kala hujan turun rintik-rintik. 4 Mei 1998 adalah   tarikh yang takkan kulupa. Di mana-mana ada berlakunya demonstrasi dan   rusuhan. Kalau bulan lepas di Jakarta, Surabaya dan Yogyakarta, kali ini   melarat ke Medan dan Bandung. Faktornya, kenaikan harga barang yang   melampau. Manusia berarak di jalan raya, bertempur dengan ABRI sekutu   Suharto, dan memecahkan bangunan. Terlalu banyak peristiwa yang tidak   mampu aku ceritakan. Orang sudah jadi gila.  

Namun kala manusia merusuh, rupanya jiwa kami turut sama merusuh. Aku   sungguh tidak mampu menolak kehadirannya dalam hidupku. Demikian juga   dirinya. Pertemuan dalam demonstrasi di depan gerbang kampus itu sejarah   buat kami. Dan 4 Mei, tarikh yang sukar kulupa. Semalam, sewaktu aku   pulang dari kampus, kala mentari bersinar rakus,  Mustaqim bersama   seorang wanita menahanku. Mustaqim memperkenalkannya padaku. Dia ibu   lelaki itu! Aku malu amat bila Mustaqim berterus-terang sahaja di depan   ibunya tentangku. Mahu saja kusorok mukaku ini di dalam kerudung! Ibunya   peramah, Ijah. Seorang pensyarah dan nampak islamik seperti anaknya.   Kami berbual-bual seketika sebelum mereka meminta diri. Memang lelaki   itu tidak punya masa. Dia memberikan sekeping kartu buatku.

Engkau mahu tahu apa yang tertulis di kartu itu? Kata-kata HAMKA itu  rupanya diulang lagi!

"Di mana berdirinya seorang pria yang berjaya, maka di sisinya ada  seorang wanita yang menyiraminya dengan titisan cinta dan bakaran   semangat!  

Ika, maafkan aku dan fahamilah diriku. Benarlah kata Hassan al-Banna:   Tugasan itu lebih banyak daripada waktu. Namun aku tetap mengingatimu!" Itulah yang ditulis oleh jejaka itu.

Titik.

Ika berhenti mengejut lagi. Saya tersenyum sendiri. Gembira mengetahui  kebahagiaan yang dikecapinya. Apakah yang lebih baik daripada mendoakan   kesejahteraan teman-teman? Lantas saya membalas:

Ika,

Cinta itu api yang bisa membakar. Moga engkau tidak terbakar angkaranya.  Aku yakin Mustaqim lelaki baik namun memerlukan masa untuk engkau   mempercayainya seratus peratus. Anak musafir perlu hati-hati dalam   memilih hala. Moga semangat juang yang membara di jiwanya turut melarat   ke jiwamu. Amin.

Ijah

Irbid, Jordan.

Kesan berita dari Ika membuatkan saya semakin kerap membaca tentang  perkembangan di Indonesia. Tentang Suharto - diktator yang berkuasa   selama 32 tahun sejak menumbangkan parti komunis pimpinan Soekarno.   Tentang empayar keluarganya yang membolot kekayaan negara. Tentang   Golkar. Tentang IMF yang mencekik. Juga tentang minoriti cina yang   memonopoli ekonominya. Dan tentang gerakan pelajar yang mula mewarnai   suasana!

Semuanya amat menarik minat.

   Empat hari kemudian saya menerima perutusannya lagi.

Aku hargai segala nasihatmu. Terima kasih. Namun hati ini semakin tidak  berupaya melupainya. Ketrampilannya, kepetahannya, kelembutannya,   kegantengannya! Segalanya bermain di mata. Seumur usia belum pernah ada   lelaki yang melafazkan cintanya kepadaku selain dia. Kalimatnya yang   rapi tersusun bikin aku benar-benar terjatuh!  

Kendatipun, kami belum melampaui batas yang disyariatkan. Haram sekali   belum pernah kami 'dating' sebagaimana pasangan lain. Bertemu pun   terlalu sekejap dan tidak selalu. Pria itu terlalu sibuk. Harga waktunya   terlalu mahal. Hanya warkah-warkah pendek lagi ringkas yang dibingkiskan   melalui Ratni Sulastri sepupunya yang juga teman sekuliahku sebagai   pengganti diri.

Dia mahu aku meniupkan semangat juangnya selalu. Malah, memberitahuku  bahawa dirinya selalu ditekan. Perisik kerajaan sering mengekori ke mana   dia pergi. Syukur pihak universiti, di kalangan pensyarah terutamanya   tidak bersekongkol dengan kerajaan. Barangkali mereka benci dengan   keluarga Suharto yang memiliki aset ditaksirkan lebih 30 billion dolar   itu. Ahli-ahli keluarganya seperti Bambang, Sudwikatmono, Tutut, dan   Tommy senantiasa menjadi cacian rakyat setiap hari.

Mustaqim kian sibuk. Mobil birunya payah untuk kulihat. Kuliah juga  kerap dia minggat. Rusuhan berlaku setiap hari di sini. Pertempuran   dengan polis jadi biasa. Aku tidak berani keluar seorang diri kecuali   dalam kumpulan yang ramai. Mujur juga rumahku hampir dengan kampus.   Dalam bingkisannya yang tiba kelmarin, Mustaqim menanyakan jawapanku,   penerimaanku terhadap dirinya. Ya Tuhan, sungguh aku terlupa! Bahawa   selama ini aku tidak pernah walau sekali memberi jawapan yang   meyakinkan, lantaran tidak mahu terburu-buru. Sedang dia terlalu   bersungguh-sungguh hingga membawa ibunya menemuiku. Dan aku fikir dia   sudah cukup mengerti.  

Lantas, apakah jawapan yang paling tepat selain anggukan bila aku   ditanya oleh sepupunya tentang itu?

Titik.

Saya kagum dengan Ika. Tidak terburu-buru membuat keputusan. Harga  dirinya masih di tahap paling atas. Lalu sewaktu membalas perutusannya   saya berjanji akan mengarang kisah cintanya itu.

13 Mei 1998. Saya menerima lagi berita dari Jakarta menerusi wasilah  yang sama. Kiranya 13 Mei adalah tragedi berdarah buat negara kita, demikian juga  di sini kukira.  Semalam, enam pelajar Universiti Trisakti ditembak mati   oleh polis. Orang ramai mengamuk.di seluruh Jakarta. Mereka menyalahkan   menantu Suharto, Lt. Gen. Prabowo Subianto di atas kejadian itu. Para   pelajar yang bersatu mendesak Suharto meletakkan jawatan. Pertempuran   dengan polis bukan lagi suatu yang ditakuti.

13 Mei seharusnya diingat oleh setiap orang cina. Di sini, etnik cina  yang cuma 7 juta daripada populasi Indonesia semakin tertekan. Bangunan   dan kedai mereka dipecahkan dan dibakar. Kaum yang selama ini menguasai   harga barangan ketakutan. Ramai yang sudah lari ke negara-negara cina di   seberang laut.

Ada ura-ura Amein Rais pemimpin gerakan Islam akan mengambil alih tampuk  pemerintahan. Namun kuyakini, itu sekadar spekulasi. Kerajaan sekular   tidak akan membiarkan Islam naik. Kalau Suharto mahu dijatuhkan,   penggantinya pasti di kalangan mereka.

Kewarasanku kekal di tahap yang sama. Cuma kerinduan ini kadangkala  mengundang kegelisahan. Salahkah aku mencumbui bayangnya setiap sepi   mendatang? Dia terlalu payah untuk kulihat, Ijah. Sudah lebih seminggu   aku tercari-cari kelibatnya di universiti. Hampa. Yang ada cuma   bingkisan-bingkisan padat penawar rindu. Inikah harga yang perlu dibayar   bila berpacaran dengan pemimpin mahasiswa?

Aku melihat kelainan yang agak ketara pada surat-suratnya. Kalimat cinta  yang muluk-muluk bertukar menjadi 'tazkirah' perjuangan. Katanya dia   menyukai sufi tetapi melihat syahid itu lebih mulia. Nama-nama seperti   Sayid Qutb, Muhammad al-Ghazali, Fathi Yakan, dan beberapa lagi yang   tidak kukenali sering meronai topik bingkisannya.

Malam semalam, aku bermimpi kami berlarian di gigi pantai. Tiba-tiba aku  tersungkur sementara dia memecut deras meninggalkan aku keseorangan.   Apakah takbir mimpiku, Ijah?  Tidak semena-mena, buat kali pertama aku   berasa takut akan kehilangannya!

Titik.

Entah mengapa, sedikit demi sedikit saya mulai meyakini Mustaqim.  Melalui cerita Ika saya dapat mengagak, hubungan mereka semakin intim.   Tidak keterlaluan jika dikatakan mereka saling mengasihi, dan sukar   untuk dipisahkan lagi!

Tiga minggu seterusnya saya tidak menerima sebarang berita daripada Ika.  Barangkali dia sengaja tidak mahu mengganggu saya dalam tempoh   peperiksaan akhir. Dalam begitu, saya sempat mengikuti perkembangan   terkini di Indonesia. Seperti yang dijangka, Suharto berundur dan   tempatnya digantikan oleh B.J.Habibie, yang juga kawan karibnya. Saya   cuba-cuba juga mengutusi Ika, malangnya tiada balasannya. Hinggalah pagi   itu, setelah sebulan menanti, saya menerima sepucuk surat dari Jakarta.   Tulisan tangan di sampulnya amat saya cam. Dada tiba-tiba sahaja   berdebar-debar.

Ijah,

   Mohon maaf kiranya engkau ternanti-nanti perutusanku ini. Lambatnya   bukan kusengajakan tetapi ada sesuatu yang menjadi faktor kepasifanku.   

  Aku tidak tahu kalimat apakah yang paling layak untuk kuungkapkan?   Air mata yang terlalu banyak menitis bikin aku kacau. Inti fikiran jadi   kalut. Aku seolah-olah hilang pedoman! Tentu engkau akan terperanjat   membaca suratku kali ini. Doakanlah sahabatmu ini terus-terusan tabah.   Saya berasa kurang enak dengan mukadimahnya. Bagai ada yang tidak kena. Rusuhan baru saja reda. Namun rusuhan di jiwa ini belum lagi berakhir.  Getarnya masih terasa. Gegarannya lebih kuat daripada segala gegaran   yang berlaku di Jakarta Mei lalu. 

  Syukur. Doa marhaen yang teraniaya makbul. Suharto akhirnya akur bahawa   kubur sudah menantinya. Tetapi aku ragu dengan slogan'bebas daripada   korupsi, kolusi, dan nepotisme' yang dilaungkan oleh penggantinya.   Apa-apa pun, pedulikan itu semua. Aku bukannya warga Indonesia yang   tertakluk di bawah Pancasila!

         Buat ke sekian kalinya aku ikut berdemonstrasi menuntut   pengunduran Suharto, biarpun kedutaan melarang. Suara pelajar di sini   benar-benar 'keramat'. Semua pelajar, pensyarah universiti, dan rakyat   jelata menunjuk perasaan di jalan raya. Kami berarak ke parlimen.   Suasana menjadi tidak terkawal. Terutama pada 14 Mei yang berdarah itu.   Harga nyawa yang perlu dipertaruhkan untuk menuntut keadilan. Lebih 500   orang mati … terbunuh dalam hiruk-pikuk rusuhan …! Aku sebetulnya sudah tidak mahu menangis lagi. Tetapi … dada ini terlalu  sebak bila mengenangkan hari-hari itu. Air mata ini bagaikan tiada   harganya. Jangan kau terkejut jika aku mengatakan Suharto adalah   pemimpin paling bangsat yang telah merampas kebahagiaanku!      

    Debar di dada sudah tidak terkira. Surat Ika kali ini jelas   berbeza. Saya semakin tertanya-tanya.

Ijah, Mustaqim telah tiada. Aku hampir pengsan bila diberitahu tentang  kematiannya. Mimpiku itu benar-benar jadi nyata. Dia telah pergi buat   selamanya; jauh meninggalkan aku keseorangan waktu cinta kami sedang   menyala-nyala. Takdir nyata melangkaui segala. Kala kami mula   mengimpikan hari-hari depan bersama, maut lebih dahulu menjemputnya.   Kala aku semakin menyayanginya rupanya Tuhan lebih mengasihinya.    

      Kesihatanku terjejas teruk. Aku baru saja pulih tetapi sekadar   zahirnya. Jiwaku ini bagai telah kosong mati bersamanya. Hatiku ini   bagai telah kering dibahangi kehangatan cintanya. Buat engkau, doakanlah   kewarasan sahabatmu ini. Aku akan cuba meneruskan hidup, biarpun   Mustaqim belum berjaya kubuang dari ingatanku!

         Titik.

Saya mengesat birai mata yang basah. Terlalu sayu. Pilu mengenangkan  kisah Mustika dan Mustaqim yang berakhir sedemikian tragis. Cinta mereka   mula bernyala, bersemarak, dan juga berakhir kala hari-hari rusuhan.   Gegaran di Jakarta itu nyata terlalu kuat. Mustika itu adalah mangsanya.     

     Kami terus berutusan meskipun tidak sekerap dahulu. Saya sedar,   Mustika memerlukan masa untuk memulihkan semangatnya. Sedih juga. Bahana   kehalobaan pemimpin meragut segala-galanya. Nyawa, harta, dan cinta.   Harga yang harus dibayar untuk sebuah keadilan!         

   Sewaktu saya menyerahkan manuskrip cerpen itu kepada editor,   saya tiba-tiba dihujani rasa bersalah. Cerita duka sebegini sewajarnya   dikulum kemas, tanpa diluahkan kepada sesiapa. Tetapi rasa simpati yang   merembes hebat mendesak saya memaparkannya juga. Kisah cinta luka yang   bukan mainan.

         Sebuah cinta kala gegar Jakarta!


BALIK