PENSEJARAHAN MALAYSIA SEBELUM ABAD 20

PENGENALAN

"Sejarah merujuk kepada keseluruhan masa yang sudah berlepas. Tiada suatu bidang yang boleh dikatakan terkeluar daripada lingkungan sejarah. Ekonomi atau sastera atau politik atau agama dan sebagainya sama ada seseorang ahli sejarah layak atau tidak layak mengendalikan satu-satu aspek pengajian itu bergantung kepada latihan yang pernah diterimanya." Apabila menyebut tentang sejarah maka skop sejarah tidak terhad kepada hal-hal politik sahaja. Sejarah juga merujuk kepada keseluruhan zaman yang sudah lepas. Oleh itu, bolehlah dikatakan segala peristiwa yang telah berlaku atau yang telah lepas sama ada ianya meliputi Ekonomi, sastera atau politik dan sebagainya yang menyentuh tentang manusia maka ia bolehlah dikatakan sebagai sejarah.
'Pensejarahan' pula ialah penulisan sejarah. Manakala, 'Pensejarahan Malaysia' pula merujuk kepada karya-karya sejarah mengenai sama ada keseluruhan Malaysia atau satu-satu bahagian yang terkandung dalam entiti politik Malaysia. Dikatakan bahawa, sejarah Malaysia dikatakan bermula lebih kurang pada abad ke 15 iaitu sesuai dengan masa adanya karya-karya sejarah dalam ertikata yang lebih tepat tulisan itu pada umumnya tertumpu kepada kesultanan Melayu Melaka dan dikenali sebagai Sejarah Melayu. Dan dengan wujudnya Sejarah Melayu maka bermulanyalah yang diistilahkan sebagai Pensejarahan Malaysia walaupun sebelum itu telah wujud beberapa penulisan sejarah tentang Malaysia. Sejarah raja-raja Riau, Syair Perang Siak, Silsilah Raja-raja Brunei, Hikayat raja-raja Pasai dan Hikayat Patani merupakan karya-karya sejarah yang juga menyentuh tentang Malaysia.

PENSEJARAHAN MALAYSIA

Penyelidikan setakat ini menunjukkan bahawa selama beberapa kurun dari awal tahun masihi lagi sudah ada tulisan-tulisan yang sekurang-kurangnya menyentuh "Semenanjung Kencana" ini. Catitan- catitan yang dibuat oleh para pengembara dari berbagai negara seperti China, Sanskrit, Pali, Arab dan sebagainya. Namun, penulisan yang dibuat tidak dapat dipastikan kebenarnya kerana pada masa itu istilah yang digunakan tentang Semenanjung Tanah Melayu lebih kepada bahasa yang mereka gunakan iaitu seperti Langkasuka, Chin Tu, Pan-Pan dan sebagainya. Walaupun Kedah yang tertua dan pernah dikenali sebagai sebuah pusat perdagangan yang penting sejak awal tahun masihi lagi yang biasa dilawati oleh pedagang dari india dan antarabangsa tetapi penulisan tentang Kedah hanya tertumpu berkenaan hal-hal perdagangan dan hal-hal kebudayaan yang wujud di lembah Bujang . Hanya sebuah negeri sahaja yang menulis tentang keseluruhan pelaksanaan di dalam negeri dan luar negeri iaitu Melaka dan Tidak keterlaluan kalau Sejarah Melayu (ada tuntutan mengatakan bahawa Sejarah Melayu telah siap dikarang pada tahun 1536 berdasarkan kajian yang diperbuat oleh sarjana menunjukkan pengambilan waktu yang amat panjang. Misalnya daripada versi awal 1535/36 menuju kepada bentuk yang panjang yang dibawa dari Goa iaitu versi 1612. ) dianggap sebagai karya sejarah mengenai Malaysia yang pertama.
Pensejarahan Melayu antara abad 17 hingga 19 memperlihatkan beberapa ciri tertentu dari segi isi kandungannya ia lebih merupakan sejarah istana dan memang ditulis untuk mengharumkan pemerintahan seseorang raja. Tumpuan secara menyeluruh diberikan kepada golongan atasan, gambaran tentang kehidupan dan keadaan rakyat jelata tidak pernah dipaparkan. Pada zaman dahulu ada lebih kurang dua faktor yang mendorong seseorang penulis untuk mengarang iaitu yang pertama, ingin menyebarkan ajaran dan pengetahuan agama dan kedua bagi mengharumkan keagungan satu-satu wangsa atau pemerintah. Oleh itu, tidak hairanlah apabila dikatakan bahawa;

Fungsi utama pensejarahan atau tradisi lisan ialah;
1. untuk menunjukkan kesahihan kedudukan satu-satu kerabat diraja
2. untuk mengukuhkan kedudukan tradisi sosiopolitik yang perlu dipatuhi oleh masyarakat. Keperluan ini telah melahirkan banyak pensejarahan dalam bentuk salasilah.
Tiadanya penulisan sejarah berkenaan masyarakat pada masa itu adalah kerana pada masa itu semua sumber ini adalah berasaskan kepada sastera sahaja dan pada masa itu belum ada lagi konsep sejarah sebagai satu bidang ilmu yang kerana;
1. Tiada satupun istilah dalam perbendaharaan Melayu lama yang membawa konsep History sebagaimana dimengertikan zaman sekarang
2. Pensejarahan Melayu lama yang membawa unsur mitos dan lagenda dicantumkan
Maka, penulisan sejarah lebih ditumpukan kepada hal-hal istana sahaja terutamanya zaman Kesultanan Melayu Melaka. Setelah Portugis menyerang dan menakluk Melaka pada tahun 1511 maka telah wujud beberapa penulisan barat di Tanah Melayu. Walaupun tulisan itu tidak diterbitkan pada masa itu tetapi ia telah cukup membuktikan bahawa karya yang ditulis oleh rakyat tempatan adalah benar seperti tulisanan Alfonso De albuquerque. Alfonso De Albuquerque tidak hanya menakluk Melaka, beliau juga banyak menulis tentang Melaka dalam surat-suratnya kepada Raja Manuel yang menjadi bahan asas anaknya Bras De albuquerque menerbitkan buku pada tahun 1557 dan diberi judul Cammentarios De Alfonso De Albuquerque.
Setelah penaklukan Portugis ke atas melaka maka Sultan Mahmud telah lari ke Kampar dan mangkat di Kampar pada 1528 dan penerusan kesultanan Melayu Melaka telah diasaskan oleh Sultan Alauddin Riayat Shah II. Semasa di Johor inilah Sejarah Melayu dikarang oleh Bendahara Johor iaitu Tun Seri Lanang pada tahun 1612 . Setelah itu, apabila pergolakan politik yang paling genting berlaku pada awal kurun ke 18 dan melibatkan orang Minangkabau dan orang Bugis. Zaman kucar-kacir dalam sejarah Johor Lama itu menjadi bahan untuk penyusunan beberapa karya sejarah dan sesungguhnya penulisan tentang zaman inilah yang paling lengkap dalam sejarah negeri-negeri Melayu Semenanjung. Sebelum kurun ke 19 karya-karya itu ditulis oleh ketiga-tiga pihak iaitu Bugis, Minangkabau dan orang Melayu tempatan. Ada nada berat sebelah bahkan kadangkala kenyataan diputarbelitkan Pada masa ini, walaupun terdapatnya karya-karya dari tiga pihak tetapi antara abad 18 dengan abad 19 dikatakan bahawa hanya dua buah negeri Melayu telah memperlihatkan kesedaran tentang sejarah yang agak ketara iaitu Johor dan Kelantan. Namun, walau bagaimanapun wujudnya karya-karya itu yang pastinya Sejarah Melayu dan Hikayat Merong Mahawangsa tergolong dalam satu jenis pensejarahan Melayu yang agak unik bersama-sama dengan banyak cerita atau tradisi lisan.
Tingginya nilai pensejarahan Melayu lama sudah disedari oleh para sarjana. Banyak kitab-kitab lama telahpun dikaji dan dikupas sebagai bahan-bahan asas untuk pengkajian sejarah Tanah Melayu. Tumpuan karya terakhir dari rangkaian kronologi ialah Tuhfat Al-Nafis karangan Raja Ali Haji. Tuhfat AlNafis sebenarnya bukanlah karya yang terakhir kerana ada banyak lagi bahan yang menjadi bahan kajian Pensejarahan Malaysia seperti Misa Melayu, Sejarah dan Syair Siak, Peringatan sejarah negeri Melayu dan lain-lain lagi , yang merupakan usaha pensejarahan yang serius dan bukan "cerita atau Hikayat dewa Mambang.

PENULISAN MODEN

Terdapat penulisan yang berbentuk moden sebenarnya telah lama wujud iaitu semasa penaklukan Portugis di Melaka lagi telah ada penulisan tentang Malaysia seperti tulisan Alfonso. Setelah kedatangan orang British maka terdapat satu versi penulisan yang menyentuh tentang Tanah Melayu. Nama-nama seperti Winstedt dan Frank Swettenham tidak asing lagi sebagai ahli sejarah yang menulis sejarah-sejarah Tanah Melayu. Tetapi amatlah menyedihkan sebagai orang luar yang sepatutnya tertakluk dengan disiplin sejarah pada zaman itu penulisan mereka amat mengabaikan hakikat objektif dalam penulisan sejarah. Sebenarnya, telah ada penulis tempatan yang termahsyur dalam lembaran sejarah Malaysia iaitu Munshi abdullah, beliau lebih menumpukan pada sastera seperti Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah adalah merupakan sumber sejarah yang amat bernilai. Tulisan Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantaan dan Hikayat Abdullah (1842) merupakan tulisan riwayat hidup yang pertama dalam sejarah kesusasteraan Melayu.
Pada tahun 1847, James Richardson Lagon mengasaskan Journal Of The Indian Archipelago and Eastern Asia. Journal ini menceritakan tentang bahan-bahan yang amat bernilai di Semenanjung Tanah Melayu. Penulis yang sering kali mencurahkan tenaga ialah Capt. James Low, Dr. Robert Little, Thomas Braddell dan Thomas Oxley. Selain itu nama seperti C. J. Irving, Frank Swettenham , W.E. Maxwell, W.A Pickering dan A. M. Skinner. Sering kali menulis tentang sejarah Tanah Melayu. Antara peranan yang dimainkan oleh Journal ini adalah untuk mencari nama Tanah Melayu. Pada masa itu Semenanjung Tanah Melayu belum diberikan nama yang tertentu. Oleh yang demikian sesuatu perkara penting yang menarik perhatian persatuan itu ialah mencari nama. Maka disinilah bermulanya perkataan 'Malaya' yang terus digunakan hingga abad 20 dan seterusnya.


KESIMPULANNYA

Bahan-bahan Pensejarahan Malaysia amatlah banyak dan seringkali pengkajian yang dibuat ke atas bahan- bahan ini amatlah sedikit. Pensejarahan Malaysia lebih menceritakan kepada kita tentang alam Malaysia pada dahulu kala berdasarkan Hikayat, sejarah, silsilah, kisah dan lisan yang disampaikan. Walaupun Pensejarahan masih lagi belum dicapai sepenuhnya untuk dikaji tetapi dengan adanya bahan-bahan tersebut maka kita akan dapat mengetahui tentang peristiwa yang pernah berlaku pada masa lampau.





NOTA AKHIR

1 Khoo Kay Kim, Pensejarahan Malaysia, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Kuala Lumpur, 1975, hlm 25
2 Ibid, hlm 1
3 Ibid,
4 Ibid, hlm 2-3
5 Ibid, hlm 1
6 Ibid, hlm 2
7 Ibid, hlm 3
8
9 Op.cit, hlm 3
10 Ali Ahmad, Karya-karya Sastera Bercorak Sejarah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987, hlm 7-8.
11 Banyaknya versi yang dibuat menyebabkan banyak kajian yang dibuat dan penterjemahan semula Sejarah Melayu seperti contohnya Sejarah Melayu yang diselengarakan oleh Shellabear. Lihat W. G. Shellabear, Sejarah Melayu, Penerbit Fajar Bakti, Petaling Jaya, 1989 .
12 Khoo Kay Kim, Panji-Panji Gemerlapan:Satu Pembicaraan Persejarahan Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1979, hlm 5
13 Khoo Kay Kim, Pensejarahan Malaysia, hlm 4
14 Khoo Kay Kim, Panji-Panji Gemerlapan:Satu Pembicaraan Persejarahan Melayu, Op.cit hlm 2
15 Ibid, hlm 2
16 Khoo Kay Kim, Pensejarahan Malaysia, op.cit, hlm 5 dan 31. Lihat juga buku Albuquerque Caesar Timur, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1995, hlm 91-99, 135-185,249-306, 240-243. Halaman-halaman ini mengandungi dan menceritakan tentang surat-surat yang pernah Alfonso kirimkan kepada Raja Manuel di Portugal semasa dia menjadi Wizurai di Goa dan penaklukan terhadap Melaka. Pada muka surat 332 pula terdapat salasilah keturunan Alfonso.
17 "Bahawa beta minta perbuat hikayat pada Bendahara, peristiwa dan peraturan segala-raja-raja melayu dengan istiadatnya sekali, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daruipada kita diingatny oleh mereka itu, syahdan beroleh faedahlah ia daripadanya" Lihat Ali Ahmad, Op.cit, hlm 9. Dan lihat juga W. G. Shellabear, Op.cit.
18 Boris Parnickel, Perkembangan Sastera Nusantara Serumpun abad ke 7 hingga 19, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1995, hlm 54 dan Boris menyatakan hujah ini disokong oleh R.O Winstedt, The Date, Authorship, Comtents and Some New Manuscripts of The Malay Romance of Alexander The Great, JMBRAS, Jilid 16, 1938, Roolvink, R., The Variant Versions of The Malay Annals, Leiden, 1967, Braganski, dan Wake C. J. Malakain The Fifteenth Century: Malay Historical Traditional And The Politics of Islaminazation, The Transformation of a Malay Capitol (1400-1980), 1983.
19 Khoo Kay Kim, Panji-Panji Gemerlapan:Satu Pembicaraan Persejarahan Melayu, Op.cit, hlm 4-5
20 Khoo Kay Kim, Pensejarahan Malaysia, Op.cit, hlm 4
21 Khoo Kay Kim, Panji-Panji Gemerlapan:Satu Pembicaraan Persejarahan Melayu, Op.cit, hlm 2
22 Tuhfat Al Nafis adalah merupakan karya yang mengutarakan hal-ehwal kedatangan dan kekuasaan orang Bugis di Dunia Melayu. Lihat Boris Parnickel, Op.cit, hlm 111.
23 Khoo Kay Kim, Panji-Panji Gemerlapan:Satu Pembicaraan Persejarahan Melayu, Op.cit, hlm 5
24 Buku-buku yang dihasilkan selalunya dijeniskan sebagai sastera sejarah ini tercipta di istana-istana raja- raja Melayu sejajar dengan istana itu sebagai tempat berumpulnya cendiakiawan Melayu di zaman tradisi. Buku-buku itu adalah seperti; Hikayat Raja-Raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Sejarah Melayu, Hikayat Aceh, Misa Melayu, Sejarah Raja-Raja Riau, Hikayat Upu Daeng Manambun, Hikayat Negeri Johor, Hikayat Siak, Silsilah Melayu Bugis, Aturan Setia Bugis Dengan Melayu, Hikayat Raja-Raja Johor, Silsilah Kotai, Hikayat Banjar Dan Kota Waringin, Hikayat Pattani, Hikayat Seri Kelantan, Hikayat Bengkulu, Silsilah Perlis, Silsilah Brunei, Silsilah Pahang Dan Tuhfat Alnafis Dalam Bentuk Tulisan, Manakala Dalam Bentuk Puisi Pula Ialah Seperti Syair Perang Siak, Syair Sultan Maulana, Syair Musuh Kelantan, Syair Perang Johor Dan Syair Abu Bakar Ibni Sultan Ibrahim. Lihat Ali Ahmad, Op.cit, hlm 7-8.
25 Khoo Kay Kim, Pensejarahan Malaysia, Op.cit, hlm 17
26 Muhd. Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1971, hlm 25
27 Khoo Kay Kim, Pensejarahan Malaysia, Op.Cit, hlm 8
28 Boris Parnickel, Op.cit, hlm 111
29 Khoo Kay Kim, Pensejarahan Malaysia, Op.cit, hlm 7
30 Ibid, hlm 4-5
31 Bukunya yang terkenal tentang Semenanjung Tanah Melayu ialah 'British Malaya:Account Of The Origin and Progress Of British Influeance in Malaya' Lihat, Khoo Kay Kim, Ibid, hlm 4-5
32 Ibid, hlm 4-5.
33 Petikan itu berbunyi 'Several have been suggested, and of them all i prefer the name "Malaya" as being of once ythe most simple and the most intelligible' Lihat Ibid, hlm 10.


Balik