PROTOTAIP

Oleh: Fudzail


Menjadi seorang wartawan siber yang berada dalam dunia berbeza-beza memungkinkan Roy menjadi lebih kritikal dengan apa yang terpapar sama secara mata kasar atau di layar. Sama ada dalam bentuk teks atau grafik. Kelebihan Roy ini semulajadi, bukan dari latihan di mana-mana akademi. Kerana itu Roy telah dapat melihat sesuatu yang lain pada diri Prof. X melalui tapak web www.the-X.com.my. Profesor dari Universiti Bestari Ulung yang dikatakan baru berusia awal dua puluhan. Yang juga baru menerima Doktor Kehormat Teknologi dalam Siber dan dilantik sebagai Profesor Kehormat di Universiti Budaya Sejagat secara elektronik.

Prof X adalah generasi pelopor sekolah bestari Malaysia yang dikatakan seorang renaissance man atau lelaki nahdah. Seorang seniman yang bersungguh dan dikatakan berhasil menggabungkan bentuk-bentuk media baru, emel, foto, PC, TV, LP, CD, MIDI, penyiaran digital dan segala teknologi dalam pembudayaan minda generasinya dan masa depan.

Prof X juga adalah seorang produser, pelukis, pemuzik, penulis, pengarah yang turut menyumbang idea dan tenaga untuk pembangunan masyarakat madani siber. Dia mengeksploit teknologi dan mengasimilasikan seni dalam teknologi. Dengan teori 'budaya bersepadu'.

Kekadang dia turut berbicara berkaitan kewanitaan, sakit puan, kegawatan ekonomi, karya-karya seni silam dan liga bola profesional. Apa saja kerana Prof X adalah lambang kejayaan pendidikan negara untuk melahirkan insan yang serba lengkap dengan ilmu dan pengetahuan am.

Kerana itu Roy sanggup menghabiskan tiga bulan untuk memburu dan mewawancara Prof X. Sama ada melalui IRC, emel atau telefon. Prof X tidak pernah muncul secara fizikal, sekadar di tapak webnya. Kerana itu Prof X menjadi ikon misteri yang melambangkan keintelektualan baru.

Seperti mana projek-projek Prof X, wawancara itu bercampur baur, berubah-ubah haluan dan menjurus pada sesuatu yang saling kontradiksi, tidak seimbang dan lebih bersifat prototaip.

Siapakah Prof X? Pertanyaan itu sering menjadi spekulasi, tetapi dia benar-benar ujud. Disahkan oleh pihak berwajib. Biarpun sebenarnya tidak lengkap, terhasil sebuah wawancara secara bersiri tanpa mengikut prioriti. Roy bermula dengan memprovokasi: "Dalam segalanya adalah multimedia dan bestari, seni dan sastera tidak relevan lagi untuk generasi alaf 2000. Mengapa Prof mahu jadi pejuang sia-sia?"

"Memang benar kata generasi sebelum kita yang P.Ramlee tidak relevan lagi!" Jawab Prof X. "Tetapi mungkin P.Ramlee sedang berkembang dalam banyak bentuk-bentuk dan bidang-bidang lain. Dalam nama-nama berbeza. Seperti mana ada tamadun manusia yang telah subur ribuan tahun dan kini terlalu asing untuk generasi kita. P.Ramlee mungkin tidak relevan dalam bentuk asal...."

"Apakah yang dikatakan Nahdah Kebangkitan Nusantara?"

"Nahdah sekadar sebuah gambar yang tidak lengkap dan tercarik-carik. Ianya tubuh kita yang capek. Lebih bersifat barbarian. Sebaliknya dalam kecacatan itu ada haluan ke arah kesempurnaan dan ketentuan. Sekadar rasa yang nikmatnya bukan di lidah kita! Ah! masa lalu hanyalah arkib, diulang tayang bila perlu"

"Bagaimana masa depan?"

"Masa depan bukan sesuatu yang menarik. Kerana masa adalah kelajuan cip-cip dan kecepatan proses sesuatu maklumat untuk dijadikan produk. Segalanya perlu berpatah pada permulaan kemanusiaan. Nyatanya akan lebih ramai prodigi lahir dalam setiap bidang kerana pembentukan genetik mengikut keperluan. Masa depan juga gambaran tentang setiap yang ingin kita elakkan dalam nahdah yang lalu, segala kegagalan perancangan pasca DEB dan wawasan!"

"Apa maksud budaya bersepadu yang seakan menggantikan wawasan?"

Setelah seminggu, baru dijawab oleh Prof X.

"Kamu tahu apa yang sangat saya benci mengenai komputer, IT dan apa saja berkaitan? Masalah besar komputer ialah ianya kekurangan seni dalam senibina dan mindanya. Kamu tahu kenapa muzik terus menjadi teras dalam budaya manusia seluruhnya? Kerana ianya adalah manusia itu sendiri. Tidak begitu komputer, ianya kian menjauhkan kemanusiaan dalam diri manusia!"

"Prof tidak menjawab soalan saya tentang budaya bersepadu!"

"Apakah cara untuk menjadikan komputer atau IT berbudaya? Bukan sebaliknya.

Saya selalu bertanya apakah yang membuatkan saya benci pada komputer? Setelah lama berfikir, jawabannya mudah. Komputer tidak menggunakan keseluruhan kemanusian saya. Sekadar sepasang mata menatap layar. Sekadar menggunakan sebelah tangan dan tetikus bodoh. Bagaimana anggota tubuh yang lainnya? Bukankah ini sebuah penjara? Jadi kita memerlukan komputer yang boleh menggerakkan jantung dengan menarikan teks, grafik dan mesej, menggunakan seluruh tubuh kita. Itulah Budaya Bersepadu!"

Prof X menyambung terus. "Dan lagi, kebanyakan sejarah diubah oleh mereka yang bencikan sesuatu. Kita tidak menjadi bestari dengan komputer kerana bestari itu bukan sebuah perisian dalam komputer. Buatlah komputer yang direkabentuk oleh wanita-wanita sehat dan seksi yang banyak masa untuk dihabiskan dalam hidup mereka. Jangan sekali menggunakan kepakaran mereka yang memang nerds, kaki komputer dan bermindakan sistem!"

"Kenapa Prof begitu menyimpang dari wawasan yang selama ni termaktub sebagai perlembagaan tidak formal?"

"Isunya mudah, kita sepatutnya mencipta sesuatu yang berkait dengan fizikal secara lebih baik. Bukan secara komersil yang memerlukan lebih banyak pilihan dan kos untuk mengaut laba. Tetapi pemikiran semula konsepsual dalam meneroka wawasan tidak lagi perlu. Jelasnya perhubungan antara mesin dan kemanusiaan akan lebih berhasil dengan mengurangkan pilihan! Manusia mencipta komputer, bukan sebaliknya"

"Apakah sebenarnya muzik X yang cuba di ketengahkan oleh Prof? Bagi saya ianya tidak lebih gabungan pelbagai muzik etnik, pop, jazz, rock dan lain-lain ke dalam satu bentuk multimedia!"

"Kadang-kadang terasa janggal mendengar muzik yang mungkin ciptaan saya dari mendengar muzik ciptaan saya disiarkan oleh radio asing! Muzik yang mungkin saya tulis tetapi tidak! Kerana itu saya membina muzik, bukan menulis muzik. Antara pembinaannya ialah menyalin alam semulajadi dalam bentuk-bentuk asal. Hampir kepada konsep muzik bersistem. Konsep setiap pendengar adalah seorang melukis, muzik saya interaktif dimana mereka boleh menjadi pelukis dengan memilih bunyi-bunyi muzik yang mereka mahu dengar dan mengubah mengikut citarasa atau mood. Setiap muzik mempunyai parameter dengan material asal yang mentah. Pendengar berhak membuat resepi sendiri!"

"Maksud Prof., semua ini menjurus muzik interaktif?"

"Bukan interaktif tetapi separuh siap. Setiap bahan tidak siap sepenuhnya dan mesti disiapkan oleh pendengar sendiri. Menyudahkan muzik ciptaan saya mungkin bertakrif interaktif. Segalanya diatas layar komputer. Sesuatu yang berbentuk revolusi minda. Sebagaimana peralihan idea yang teks adalah segarisan perkataan ke teks adalah tapak web. Perubahan besar diluar kesedaran kemanusiaan kita!"

"Apakah pula mesin muzik X?"

"Mesin muzik X adalah seperti screen server yang perlu di beri maklumat mengenai citarasa dan boleh sentiasa diubah. Muzik automatik. Ia boleh dimainkan sendiri mengikut maklumat yang diberi. Mesin ini juga mengandungi arkib lagu-lagu popular yang boleh diubah mengikut rentak, zaman atau suasana. Terpulang pada kehendak pendengar, tiada batasan selera!"

"Kembali pada budaya bersepadu, ke mana sebenar haluannya?"

"Tiada haluan hakiki kerana bergantung pada individu. Sebagaimana taman tema yang menjadi budaya format baru dan semakin berkembang. Dalam taman tema memungkinkan pengalaman multimedia dan individu mempunyai pilihan! Tepatnya, budaya bersepadu adalah apa saja yang on-line serta menggabungkan realiti dan maya dalam diri individu."

"Apa pandangan Prof. untuk generasi selepas kita?"

"Mereka adalah umpama bingkai gambar yang bukan sekadar kayu penghias tetapi ruang yang mengandungi masa dan tempat. Bagaimana kita boleh merekabentuknya semula? Salah satu cara ialah dengan mengevolusikan seni. Mungkin imejan grafik komputer bergenetik. Jadi teorinya setiap sesuatu boleh dievolusikan!"

"Bagaimana dengan evolusi tiruan yang pernah Prof. cuba ketengahkan melalui pelbagai tulisan di tapak web X?"

"Evolusi tiruan adalah alat. Ianya boleh membawa kita ke mana-mana yang mungkin kita sendiri tidak pernah fikirkan, mengembangkan sesuatu bentuk atau mungkin mencetus organisme yang diluar kebiasaan. Kegunaan lain ialah untuk menghasilkan maklumat terperinci yang mungkin tidak mampu untuk kita lakukan dalam keadaan biasa. Dan akhirnya, kegunaan utama untuk mencipta spesis baru yang boleh kita kembangkan dalam generasi berikut!"

"Bukankah itu sebenarnya kehidupan tiruan?"

"Keidupan tiruan adalah melayari gelombang kompleksiti yang semakin bertambah. Sehingga ke sempadan antara kawalan ketat oleh yang asal dan kegawatan dalam diri setiap anggota. Ini wajib sebelum boleh melepasi tingkatan kompleksiti yang berikutnya! Manusia telah lama mempunyai kehidupan tiruan dalam fantasi atau fiksyen sains. Menrealisasikannya melangkaui siber bukanlah mudah dan tidak juga sukar! Bergantung pada sejauh mana komitmen!"

"Prof X adalah insan bestari yang mempunyai cip paling berkuasa dalam otak. Apakah IT telah mempengaruhi segala pemikiran Prof? Atau Prof sendiri merasakan yang Prof. adalah sebuah mesin?"

"Kalau saya adalah mesin, mesin ini mesin yang biasa, tiada kelebihan kerana semua mesin adalah mengikut arahan perisian atau gerakan mekanikal yang telah diprogramkan. Sesuatu yang monotonous. Tetapi mesin ciptaan saya melebihi itu semua dan melakukan fungsi diluar jangkaan! Tetapi kalau saya mesin, saya mahu jadi mesin heuristic yang mempunyai arahan umum dan kabur. Bukan berbentuk algorizam yang mempunyai kumpulan arahan tepat dan tiada kompromi!"

Profesor X ketawa melalui IRCnya.

"Bagaimana diri Prof sebagai seniman?"

"Seniman itu mungkin juga seorang kurator. Seseorang yang menghimpukan serpihan sumber. Tetapi perubahan zaman menyukarkan untuk mengklasifikasikan siapa seniman siapa tidak. Banyak format-format baru yang dikelaskan sebagai seni. Semakin terbuka definisi seni itu sendiri. Mungkin seniman adalah sekadar penyambung segala segala sumber ke bentuk-bentuk baru!"

"Selain seniman, Prof. juga seorang saintis dan pakar IT, apakah ini tidak membahayakan kesihatan?"

"Tiada perbezaan kerana manusia mempunyai batas tertentu. Kesihatan tidak kena mengena dengan karier. Dalam diri saya ada mesin, ada algorizam, ada pendekatan sistematik, ada warna-warna alam, kuasa emosi, masa dan tentunya ruang. Yang penting komunikasi antara fizikal, minda dan dalaman berterusan!"

"Siapakah sebenarnya bangsa Prof X kerana selama ini langsung tidak berbahasa Melayu walau mendapat pendidikan tempatan sepenuhnya?" Prof X tidak pernah menjawab soalan itu walau itulah isu utama untuk Roy. Identiti sebenarnya menjadi rahsia kebangsaan atas nama keselamatan antarabangsa. Prof X juga tidak mempunyai identiti agama. Identitinya adalah ikon bersimbol X.

Tapak web dan aliran mindanya memang menampakkan kebestarian! Sekolah bestari membestarikan sebuah generasi dari satu bangsa yang tidak bestari. Malah wajah Prof X adalah gabungan wajah bangsa Malaysia. Wajah generasi X. Kesimpulan Roy yang sebenarnya separuh masak, Profesor X adalah sebuah prototaip manusia Malaysia yang lahir dari sebuah perisian aplikasi perdana MSC, bio-kejuruteraan dan kemanusiaan elektronik! Ianya hanya ujud dalam siber.

Sepatah kata Editor Dewan Siber yang datang dari generasi sebelumnya,

Allahuallam!


BALIK