Diwali @ Marumalarchi

Oleh: Uthaya Sankar SB


   “mdbra sato ma sat gamaya

tamaso ma jyotir gamaya

mrityor ma amritam gamaya”

         Bunuhlah aku secepat mungkin. Kalau tidak, aku akan sentiasa memburu dan membunuh kau. Nescaya menjelang Diwali, orang ramai sudah mendapat cahaya kejernihan fikiran. Bukan lagi kau yang diraikan, tetapi Karna.     

Mustahil kau sudah lupa tentang muslihat yang kau gunakan untuk melemahkan Karna. Ya. Bukankah sudah banyak kali juga aku mengulang-ulang kisah itu kepada kau apabila aku berjaya memburu kau!    

 Aku tidak kisah apa pandangan orang lain terhadap kau. Buat sementara waktu, biar mereka mendewa-dewakan kau. Biar mereka menyembah kau pagi petang. Biar mereka cipta mitos tentang kau. Itu hak mereka. Hak orang yang tidak tahu peribadi sebenar orang yang disembah.    

 Atau pilihan orang-orang yang tidak mahu menerima hakikat warna kelabu pada peribadi kau. Mereka melihat yang putih sahaja. Yang hitam pun diputihkan. Apatah lagi yang kelabu!   

  “Aku mahukah baju besi dan anting-anting kau.”   

  Demikian kau meminta kepada Karna. Dan si tolol itu – maaf – pula langsung tidak sedar bahawa insan fakir yang menemuinya adalah kau yang memang pandai menyamar untuk menipu.   

  “Aku tahu bahawa kau memang dermawan …”   

  Tanpa banyak soal, Karna mengambil pisau lalu memotong baju besi dan anting-anting itu. Diserahkannya kepada kau. Ah! Betapa kau sampai hati meminta pahlawan itu memotong baju besi dan anting-anting yang melekat pada tubuhnya sejak lahir.   

  Tetapi tiada apa-apa yang perlu dihairankan. Bukankah kau memang pakar mengatur muslihat? Tujuan kau hanya mahukan kemenangan di pihak kau. Apa-apa yang lain, kau persetankan.   

  Kau marah mendengar pendedahan berani ini?   

  Ha! Burulah aku. Bunuhlah aku, wahai pahlawan bacul. Kalau tidak, aku akan terus memburu kau dengan segala penceritaan kisah lampau. Akan aku ulang dan ulang dan ulang dan terus mengulang segala peribadi hitam kau. Biar berdesing telinga kau mendengarnya. Biar kau tahu malu.    

 Kau eksploitasikan kasih sayang di antara ibu dan anak demi untuk menjayakan rancangan kau. Kau dedahkan kepada Kunthi Devi siapa sebenarnya Karna.   

  Diffuse to two-shot.   

  “Apa? Diakah bayi yang aku hanyutkan di sungai dahulu?”   

  “Ya. Dialah dosa yang kau cuba sembunyikan …”   

  “Aku terpaksa,” Kunthi Devi merintih. “Anak itu lahir sebelum aku berkahwin. Aku terpaksa membuangnya mengikut trend semasa.”     

“Tapi kini bayi itu muncul sebagai Karna untuk menghapuskan anak-anak kau yang sah. Karna bersumpah akan membunuh Arjuna.”     

“Aduh! Betapa malang nasibku. Apa yang harus aku lakukan?”      Lalu kau meminta Kunthi Devi bertemu Karna. Kau ajarkan dia apa yang perlu dilakukan sewaktu menemui Karna. Seperti yang kauajar, Kunthi meminta Karna bersumpah untuk tidak cuba membunuh adik-beradik Arjuna yang seramai empat lagi. Karna diminta bersumpah tidak akan melepaskan panah sakti lebih daripada sekali ke arah Arjuna.   

  Bukankah begitu rancangan kau? Bukankah dengan cara itu kau berjaya melemahkan Karna?   

  Dissolve to flashback.   

  Di medan perang, panah sakti yang Karna lepaskan hanya mengena mahkota Arjuna. Maka terlepaslah Arjuna daripada takdir mati di tangan Karna.  

 Tapi apakah kau berhenti di situ? Apakah kau puas setelah merampas baju besi dan anting-anting yang lahir bersama Karna? Atau setelah kau berjaya menyelamatkan nyawa Arjuna?   

  Kau minta pula Arjuna melepaskan panah sewaktu Karna belum bersedia. Sewaktu roda rata Karna tersekat dalam tanah. Sewaktu Karna melucutkan senjata lalu berusaha menolak ratanya.   

  Masihkah kau ingat? Masihkah kau ingat?   

  Masakan kau sudah lupa. Mana mungkin kau lupa selagi aku berada bersama kau. Mana mungkin aku berhenti mengingatkan kau akan segala perbuatan keji kau terhadap Karna. Itulah misiku kini.   

  (Insert comic relief: 45 sec.)   

   Selagi aku masih hidup, selagi itulah aku akan terus memburu kau. Selagi itulah aku akan terus menikam kau. Selagi itulah aku akan terus mengungkit-ungkitkan perbuatan keji kau terhadap Karna.    

 Masih ingatkah muslihat itu?   

  Swish pan to:   

  “Cepat! Panahlah sekarang,” kata kau kepada Arjuna sewaktu Karna turun menolak rata. “Panahlah!”   

  “Tapi …”   

  “Usah bertapi, Arjuna. Patuhi arahanku. Lepaskan anak panah sekarang juga! Panah sementara Karna belum bersedia untuk mempertahankan diri.”    

 Lalu gugurlah Karna di medan perang. Gugur sebagai wira di tangan dua pahlawan yang dayus. Ya, aku maksudkan kau dan Arjuna. Kau sesungguhnya dayus. Tidak berani menentang secara berdepan.   

  Kemudian datanglah Kunthi Devi meratapi kematian yang memang sudah diduga. Datanglah Arjuna menyesali perbuatan membunuh insan yang baru diketahui abang sulungnya. Berkerumunlah para extras.    

 “Aduh! Aku telah membunuh abang kandungku sendiri. Celakalah aku. Hinalah aku. Generasi akan datang pasti menghina aku.”     

“Kau?” Kau ketawa angkuh memandang Arjuna. “Aku yang membunuhnya. Aku yang mengarahkan kau melepaskan anak panah tepat pada saatnya. Aku yang menyelamatkan nyawa kau sewaktu Karna melepaskan panah saktinya. Jika kau mampus waktu itu, akan mampukah kau melepaskan panah yang membunuh Karna? Kau telah aku peralatkan untuk membunuh Karna. Akulah yang berhak menerima pujian kerana membunuh perwira sejati ini.”    

 Arjuna dan adik-beradiknya terdiam. Cuma Kunthi terus meratapi anak luar nikahnya. Para askar pihak Pandawa dan Kaurawa sudah mengerumuni mereka.   

  “Tidak!” ratap Kunthi. “Akulah yang telah membunuhnya. Jiwanya telah mati sewaktu aku membuangnya ke dalam sungai dahulu. Yang hidup selama ini hanyalah jasadnya. Jasad tanpa jiwa. Akulah ibu yang tidak berperikemanusiaan. Aku telah membunuh anakku sendiri. Akulah yang bersalah. Tangkaplah aku, Tuan Inspektor. Akulah—”     

Cut!   

  “… Akulah yang bersalah. Akulah yang berdosa. Akulah!”   

  “Tidak, ibu,” Arjuna mendapatkan Kunthi Devi. “Kita telah sama-sama membunuhnya. Jiwanya mati apabila ibu menghanyutkan bayi itu di dalam sungai. Kini panah saya mencabut nyawanya. …”   

  “Aku! Akulah yang membunuh Karna. Akulah yang amat berkuasa mencabut nyawa Karna.” Kau tudingi dada. “Akulah. Akulah sahaja yang berkuasa. Kau, Arjuna, dan kau, Kunthi, hanyalah boneka yang aku jadikan wahana untuk melangsaikan tugasku.”   

  Dengan megah kau rapati Karna yang terbaring di riba Kunthi. Gugur air matanya (Kunthi) kerana bakal kehilangan anak sulung. Gugur air matanya (Karna) kerana sedih dipanah secara dayus oleh Arjuna.    

 “Sebelum roh kau terbang dan kembali kepada Pencipta, berikan aku apa yang kau ada!”   

  “Aduhai. Apa lagi yang ada padaku?” tanya Karna dengan suara perlahan dan terputus-putus.   

  “Pahala kau. Sedekahkan segala pahala kau kepadaku! Aku akan bawa ke Jabatan Pendaftaran dan daftarkan segalanya ke atas namaku.”    

 “Oh, jangan!” tempik Kunthi Devi. “Pahala itu milik kau, wahai anakku. Jangan serahkan hakcipta dan hakmilik kepada sesiapa. Pahala itulah yang akan dipertimbangkan di hadapan Pencipta nanti.”   

  “Diam, Kut—”   

  Retake.   

  “Diam, Kunthi! Ini urusan antara aku dengan Karna.”   

  “Tapi …”   

  “Bertenang, ibu. Aku lahir sebagai dermawan. Biarlah aku mati pun sebagai dermawan. Hanya pahalalah yang ada padaku sekarang,” kata Karna sebelum berpaling ke arah kau. “Nah! Kau ambillah segala pahalaku. Itu sahaja yang ada padaku kini. Ambillah dan biarkan aku menghembus nafas terakhir dengan tenang. …”   

  Kau ketawa dan kembali ke kayangan bersama segala pahala yang dikumpul oleh Karna sepanjang hayatnya. Kau teruskan pemerintahan di inderaloka dengan aman damai. Kau nantikan kelahiran berpuluh lagi Karna agar dapat kau kumpul pahala dengan cara paling mudah.   

  Kau bawa segala pahala insan di bumi dan kau tukar kepada nama kau. Kononnya untuk mengaburi mata Pencipta pada Hari Pembalasan.    

 Bukankah begitu? Kau boleh menipu dunia tetapi kau tidak boleh menipu aku. Kau boleh sahaja mengupah orang untuk mencipta mitos dan coup de grace yang muluk-muluk tentang diri kau. Manusia biasa akan percaya. Tetapi tidak aku. Manusia akan mendewa-dewakan kau. Tetapi tidak aku.    

 Manusia tidak tahu citra diri kau yang sebenar. Tetapi aku tahu. Dan aku akan senantiasa mengungkitkan hal ini sepanjang hayatku. Akan aku buru kau senantiasa. Akan aku bunuh kau senantiasa. Tanpa henti.    

 Bunuhlah aku kalau kau mahu bebas daripada buruanku. Hapuskanlah roh Karna yang mengalir bersamaku. Roh yang berjaya menyedarkan aku betapa buruk citra sebenar diri kau. Lontarkan jauh-jauh pahala yang kau rampas daripada Karna. Pahala yang berjaya menyucikan aku daripada dosa bersubahat dengan kau sebelum ini.   

  Pada saat pahala Karna mengalir masuk ke dalam diri kau tempoh hari, pada saat itulah aku mula sedar siapa diri kau sebenarnya. Aku nampak citra diri kau. Pada saat itulah aku bersumpah untuk memburu dan membunuh kau.   

  Aku mahu kau mati di tanganku sendiri. Di tangan aku yang mustahil dapat hidup jika kau tidak lahir dahulu.   

  Aku juga telah menginterpretasi segala kisah hidup kau. Betapa bijak kau memutar-belitkan citra peribadi. Kau yang hina, kau yang bacul, kau yang hanya membuat riawara hambar dan lucah, kau yang bersifat playboy dan womanizer, kau yang hanya pandai bermain cinta asmara dengan wanita dungu telah lahir pula sebagai dewa yang maha suci dalam karya-karya sastera. Kau didewa-dewakan dan disembah sejumlah manusia.    

 Betapa aku harap aku boleh mendedahkan citra diri kau yang sebenar kepada dunia. Tetapi apakah dayaku. Aku hanya berupaya memburu untuk membunuh kau. Itu sahaja yang berkuasa aku lakukan.    

 Dan aku mahu melaksanakan tugas itu dengan sempurna. Sempurna sesempurnanya. Nescaya menjelang Diwali, orang ramai sudah mendapat cahaya kejernihan fikiran. Bukan lagi kau yang diraikan, tetapi Karna.    

 Talking to the restless camera: Kau belum selamat. Jangan lupa. Aku masih memburu kau. Jangan leka. Jika boleh, bunuhlah aku sebelum aku membunuh kau. Matikan aku. Bunuhlah kenangan silam kau. Itulah sahaja cara untuk kau terus kekal sebagai wira di mata dunia. Itu sahaja cara untuk kau hidup tenang berlatarkan silhouette yang indah.    

 Bunuhlah aku sebelum telemovie yang sudah aku lakukan spof dan butchering ini berakhir. Tetapi akan mampukah kau membunuh kenangan silam yang sudah menjadi imej pada seluloid?   

  Freeze. Credit title.      

     “pimpinlah kami daripada ilusi kepada yang nyata

  daripada kegelitaan kepada cahaya

  daripada kematian kepada keadilan”


BALIK