Oleh: Johan Jaafar
Siapa Gila? Nasihat Shaharom untuk bangsanya
PADA tahun 1967, muncul sebuah novel berjudul Siapa Gila?. Penulisnya ialah Shaharom Husain, guru, novelis, dramatis dan nasionalis terkenal dari Johor. Siapa Gila? sebenarnya adalah salah sebuah dari 16 buah novel karya penulis yang amat produktif ini.
Shaharom sebenarnya lebih terkenal sebagai dramatis. Beliau antara lain telah menghasilkan Tun Sri Lanang, Lawyer Dahlan, Balang Emas, Tun Fatimah, Si Bongkok Tanjung Puteri dan Wak Cantuk. Beliau juga seorang ahli sejarah yang dihormati dan menjadi autoriti sejarah negeri Johor.
Novel Siapa Gila? ini mungkin merupakan salah sebuah dari novel yang paling diunder-rated di negara ini. Walaupun pengkaji sastera memberikan perhatian luar biasa pada novel seperti Putera Gunung Tahan oleh Ishak Haji Muhamad (Pak Sako) dan Anak Titiwangsa oleh Kamaluddin Muhamad (Keris Mas), tetapi Siapa Gila? paling kurang diberi perhatian.
Daripada apa sudut sekalipun, Siapa Gila? sebenarnya mempunyai unsur satira yang tidak kurang hebatnya dengan karya-karya terbaik Ishak atau Keris Mas itu. Seperti Putera Gunung Tahan dan Anak Titiwangsa, Siapa Gila? membawakan sindiran yang tajam ke atas sesiapa sahaja yang memperlakukan ketidakadilan - dari penjajah hingga pemimpin tempatan sendiri.
Seperti biasa, novelis Melayu melanjutkan tradisi gemilang Tun Sri Lanang sewaktu menghasilkan kitab Sejarah Melayu, bahawa dalam budaya Melayu sindiran sebenarnya lebih berkesan, wit dan humour sebenarnya lebih bermakna dan kias ibarat sebenarnya lebih menusuk untuk mengkritik, mengecam atau menyatakan sesuatu yang tidak disenangi.
Siapa Gila? masih relevan hingga ke hari ini. Lihat sahaja persoalannya, manusia yang digambarkannya, ketidakadilan yang ditimbulkannya, kiasan yang diwujudkannya.
Siapa Gila? sebenarnya tentang sebahagian manusia zaman merdeka yang penuh kepura-puraan. Golongan ini berkhidmat hanya kerana ganjaran atau penghormatan bukan kerana perjuangan. Mereka hanya mengejar kepentingan diri dan bukan demi bangsa dan negara.
Sasaran Shaharom ialah mereka yang mengejar kedudukan dan bintang serta gelaran. Juga kalangan politik yang hanya tahu bermuka-muka.
Menggunakan pertumbuhan Johor Bahru pada tahun 60-an sebagai latarnya, Siapa Gila? juga menyentuh tentang pembangunan tidak berhemat yang menyebabkan orang Melayu tersingkir dari bandar itu. Banyak tanah dan rumah harta pusaka orang Melayu yang terjual kepada bukan Melayu. Akibatnya orang Melayu mula berhijrah ke pedalaman.
Korban pembangunan di Johor Bahru nampaknya bukan sahaja bangsanya sendiri tetapi juga alam sekitar. ''Segala bukit dikerukratakan. Tanah lopak, paya, gaung guntung dan lurah diratakan. Tebing, lereng dan kaki bukit dikerukratakan.''
Menurut novel itu lagi, ''Itu semua kerenah manusia moden pandai mengubah, meminda, memadan dan mematutkan untuk mendirikan rumah dan bangunan-bangunan baru, walaupun terpaksa mengubah, meminda kejadian semula jadi yang dianugerahi oleh Tuhan Seru Sekalian Alam...''
Penulisnya juga menggunakan bunga-bunga sebagai kiasan watak manusia. Ambil sahaja orked atau anggerik. Di sebalik keindahan dan keunikannya, di sebalik kemegahan dan kesombongannya, orked harus bergantung hidup pada benda lain dan subur di atas junjung atau pundak orang lain.
''Falsafah orked'' menurut novel itu akan hanya merosakkan. Maka itu sifat ubi disarankan. ''Diam-diam ubi berisi. Hidup kurus subur, rendah tinggi atau mundur maju berdiri di atas dirinya sendiri.''
Novel ini mungkin dibaca oleh sesetengah orang sebagai teriakan alarmist, atau mungkin juga Shaharom akan dirangkumkan sebagai seorang lagi penulis dekad 60-an dan 70-an yang mewakili kepentingan golongan underdog. Namum demikian jangan perkecil telahan dan ramalannya.
''Sekarang dah bertambah jenis orang atau manusia gila. Ia itu gila politik, gila pangkat, gila bintang, gila ke England, gila ke universiti, gila bintang filem, gila mengarang, gila kahwin, gila makan gaji, gila berniaga dan macam-macam gila lagi...'
Siapakah yang boleh mempertikaikan jenis-jenis kegilaan yang disenaraikan Shaharom yang nampaknya turut menjangkiti manusia dekad 90-an?