MALAYSIA: 'SYURGA' JADI 'NERAKA'?

Oleh: Faisal Tehrani


RETURN TO PARADISE begitu judul filemnya. Ia semacam menyarankan Malaysia sebagai destinasi pelancongan 'syurga'. Andai tidak berwaspada, awas 'syurga' boleh bertukar menjadi 'neraka' sekelip mata. Filem ini dihebohkan sebagai menghina sistem perundangan Malaysia. Gambaran mahkamah yang tidak adil, hakim yang tiada tolak ansur (dilakonkan oleh seorang celebrity Malaysia) dan tentu penjara Dunia Ketiga yang amat buruk layanannya.

Sejauh mana kebenaran filem ini? Buat saya terpegun sebetulnya, berfikir dan berfikir buat beberapa jenak. Filem ini ditayangkan di Amerika Syarikat pertengahan Ogos lalu. Kalau mengikut congak, ia bukan jenis filem yang mahu ditonton rakyat negara tersebut. Tiada letupan atau aksi lincah. Vince Vaughn (The Lost world: Jurassic Park 1997) pelakon lelakinya, sekadar pernah memegang beberapa watak yang tidak begitu penting sebelum ini di Hollywood. Anne Heche (Six Days Seven Nights 1998), siapalah yang ada selera menontonnya setelah heboh mengaku lesbian tahun lalu. Dan Jada Pinkett Smith (The Nutty Professor 1996) sebagai jurnalis MJ. Kemudian David Conrad dan Joaquim Phoenix sebagai Tony dan Lewis. Selebihnya pelakon yang kurang dikenali, beberapa pelakon tambahan pula adalah personaliti dikenali di sini.

Ceritanya tidak kita ketahui benar atau tidak, nyata begitu membuai emosi. Tiga sahabat yang bertemu di Malaysia sepanjang cuti tiga minggu berkongsi keseronokan darah muda. Perempuan lacur, arak, ganja dan impian masa hadapan. Dadah itu dipaksakan ke atas mereka oleh beberapa pemuda tempatan. Di hujung cuti, Tony dan Sheriff pulang ke Amerika. Lewis (yang dilakonkan oleh Joaquin Phoenix, abang kepada pelakon lagenda River Phoenix yang mati membunuh diri kerana dadah) membuat keputusan untuk menetap di Malaysia buat beberapa ketika sebelum berlepas ke Borneo untuk satu projek Greenpeace membantu menangani kepupusan orang utan.

Dua tahun kemudian Beth, seorang peguam tiba di Manhattan memaklumkan yang Lewis dipenjarakan sejak kepulangan mereka berdua atas tuduhan mengedar dadah. Hanya tinggal lapan hari lagi untuk Lewis ke tali gantung. Beth malah memberitahu, tawaran dari peguam negara Malaysia, Lewis mungkin dipenjarakan untuk satu tempoh sahaja sekiranya Sheriff dan Tony mahu pulang ke Pulau Pinang dan mengaku mereka berkongsi hasis tersebut dan membelinya. Cuma pilihan itu akan membuatkan mereka dipenjarakan setiap seorang tiga tahun dan jika hanya seorang yang pulang, korban itu akan ditahan enam tahun.

Tony kini graduan Harvard, arkitek berjaya dengan tunang jelita. Sheriff mungkin tidak sehebat Tony tetapi tetap sudah berkarier dan yang penting dia bebas menghirup udara di luar jeriji besi. Di sinilah bermula dramatic tension yang amat mengguris hati. Mahukah mereka pulang? Berkorban atas nama persahabatan? Beth (lakonan Anne Heche yang sangat efektif) berusaha keras memujuk dua sahabat lama itu. Ini termasuk meminta Sheriff menonton pita video rayuan Lewis dari kamar penjara yang gelap. Dalam seminggu itu, kita menonton manusia-manusia dalam dilema. Pulang atau tidak? Bebas atau dipenjara? Dan yang paling sukar sekiranya mereka mementingkan diri - Lewis akan mati -

Konflik menjadi lebih hebat, Beth dan Sheriff mulai jatuh cinta, atau mungkin Beth memberikan 'sesuatu yang lebih' supaya Sheriff mahu pulang ke Malaysia dan menyelamatkan nyawa Lewis. Di sini muncul MJ, jurnalis yang memang gemar cerita begini untuk dihebohkan di media. Dia mahu cerita hebat dengan byline darinya. Dia bimbang jika cerita tersebut terlepas ke tangan wartawan lain. Janjinya, cerita yang disiarkan boleh membantu Lewis. Beth enggan bekerjasama dengan MJ, beri masa tiga hari sehingga selesai sesi rayuan di mahkamah Malaysia pintanya. Akan tetapi MJ tidak boleh tunggu selama itu, date line makin hampir. Beth gusar, riuh di media akan menyebabkan pihak berkuasa Malaysia menarik semula tawaran tersebut. Kerajaan Malaysia memang tidak sehaluan dengan media barat (bukankah seperti dakwaan PM, media barat memang cemburu dengan kejayaan Malaysia membina KLIA dan KLCC?), tegas Beth lagi.

Dan Tony serta Sheriff pulang ke Pulau Pinang. Adengan paling berkesan di dalam filem ini adalah apabila Sheriff menemui semula Lewis di dalam penjara yang kusam dan teruk, sementara Lewis menangis sambil menawarkan secawan teh. Aku menyebabkan engkau akan dipenjarakan kata Lewis, menyalahkan diri sendiri. Lakonan Phoenix, meski sekejap amat kuat. Sebagai lelaki yang menanti masa mati, resahnya, gagapnya dan gugupnya berdepan dengan semua di keliling sungguh menyayat hati. Adengan lebih mencucuk, terutama apabila Lewis diheret ke tali gantung sambil menjerit saya tak mahu mati dan Sheriff dari dalam bilik tahanannya melaung kepada Lewis, aku di sini kau tidak keseorangan, jangan takut kawan. Filem diakhiri dengan wajah pilu Beth mengharung hujan lebat untuk membawa pulang mayat Lewis ke Amerika yang sebenarnya adalah abang kandungnya.

Joseph Ruben, pengarah filem ini dikenali ramai setelah mengarah filem Sleeping With The Enemy lakonan Julia Roberts (1991) dan memiliki ijazah sarjana dari University Waltham. Filem Return To Paradise ini berdasarkan sebuah filem Perancis Force Majeure. Penulis lakon layarnya Wesley Strick dan Bruce Robinson menulis secara berasingan; ada kewarasan yang turut disuntik pada adengan hakim memberitahu Beth, kami membersihkan pengedar dadah dari jalanraya supaya tiada lagi penagih berleluasa. Kerja sinematografi Reynaldo Villalobas sangat berbekas sementara penataan cahayanya sungguh mengkagumkan. Filem ini malah dibandingkan dengan calon filem terbaik untuk oskar tahun 1978, Midnight Express, kisah pelancong Amerika yang dipenjarakan di Turki. Anne Heche yang memegang watak Beth, tidak mustahil akan dicalonkan untuk oskar memandangkan lakonannya yang tidak boleh diejek-ejek. Latar filem amat meyakinkan terutama pada adengan-adengan akhir dengan penggunaan bahasa Malaysia yang betul dan suasana mahkamah yang mirip seperti apa yang ada di sini. Cuma adengan banduan bersembahyang subuh nyata kesasar dan gambaran awal Pulau Pinang lebih menyalin keadaan di Bangkok, dengan realiti seolah patpong.

Menurut laporan salah sebuah stesen televisyen pada 25 Ogos 1998 lalu, Lewis, banduan yang tidak pernah wujud. Menteri Luar, Dato Abdullah Ahmad Badawi tidak begitu ambil peduli. Soalnya saya kira bukan penghinaan ke atas sistem perundangan Malaysia. Tulang filem adalah persahabatan, daging yang menyalutnya itulah isu death penalty di negara ini. Pun begitu sistem perundangan kita memang tidak sempurna. Kita tidak boleh mendakwa sistem di sini amat adil dan saksama. Ingat, sistem ini dicipta oleh manusia, justeru memang ada manusia tidak bersalah yang teraniaya. Pengalaman Dr Syed Hussein Ali yang dibukukan dalam Tahanan Tanpa Bicara cukup untuk menggambarkan penjara di negara ini. Atau keluhan Dato Seri Anwar Ibrahim di akhbar dua hari setelah dipecat, betapa sistem perundangan tidak lagi menangani dakwaan dan pembelaan diri dengan adil. Sebelum itu pun terlalu banyak pula kes-kes perundangan ala 'x-files' di sini. Penuh misteri dan tiada kejujuran. Kebenaran hanya ada di luar. Oleh itu kita sendiri tidak boleh bising jika dihina (kalau betullah kita dihina) di dalam filem Return To Paradise.

Dan bagi Amerika, mereka memang bijak menggambarkan penjara kita yang buruk dan layanan yang amat teruk. Kita tidak boleh pula lupa bagaimana Sheikh Mukhtar yang buta itu dituduh tanpa bukti berasas meletupkan Pusat Dagangan Dunia New York dan dipenjarakan. Penjaranya dikatakan menyamai kandang babi. Bukan itu sahaja, ulama besar itu tidak dibenarkan mendapat rawatan diabetes, dipaksa berbogel dan dipermainkan kemaluannya. Penghinaan ke atas umat Islam yang amat berat.

Sistem perundangan Malaysia dan Amerika tidak sempurna. Siapa yang berani mendakwa sistem perundangan kita adil dan saksama seratus peratus angkat tangan? Yang sempurna, saya percaya semua orang yang mengaku Islam tidak akan berani mempertikaikan, ialah undang-undang langit.

Dan iya, kalau Lewis dan rakan-rakannya dihukum berdasarkan undang-undang samawi mereka tidaklah akan dihukum sampai mati, kerana nyawa di dalam Islam amat terpelihara. Tapi sayang kerana kita masih terhamba kepada perundangan bersalut nafsu yang kita buat sendiri. Memang kalau menerima hukum yang semata beralas akal 'syurga' mana pun boleh bertukar menjadi 'neraka'. Itu tidak terkecuali Malaysia atau Amerika.


BALIK