Cerpen Melayu mengikut perubahan zaman

Oleh: ??????


PENGKAJIAN terhadap cerpen-cerpen Melayu sehingga tahun 1940-an menemukan genre ini sebagai bahagian kesusasteraan yang masih belum terstrukturisasi serta memiliki ciri-ciri yang masih kabur.   

Kekaburan tersebut juga terlihat jelas dari aspek tema, persoalan, watak dan sebagainya yang melambangkan bentuk dan ciri-ciri tradisi penceritaan kesusasteraan Melayu tradisional.   p

Namun, kedudukan ini mulai memperlihatkan perubahan sekitar tahun 1940-1941 terutama dari aspek tema, hasil garapan para penulis guru dan wartawan.  

Mereka lebih lantang menyuarakan pelbagai aspek seperti fenomena sosial, kemiskinan serta sosiopolitik Melayu.   

Menurut pensyarah Jabatan Persuratan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Othman Puteh, pemilihan tema-tema seperti ini di dalam cerpen Melayu merupakan refleksi fenomena semasa di sekitar mereka.  

Jelasnya, faktor utama dalam perkembangan ini ialah perubahan politik dan kemunculan semangat nasionalisme dengan tertubuhnya bebeberapa parti politik radikal pimpinan nasionalis Melayu.   

''Di sinilah munculnya bibit antipemerintahan penjajah yang dikemukan di dalam cerpen secara halus dengan tikaman sindiran yang tajam membekas, dan dengan sifat yang apologatik.   

''Cerpen-cerpen sezaman juga menyatakan protes, ketidakpuasan dan hasrat untuk membebaskan negara dari belenggu penjajah. Pergolakan dalam politik ini dipaparkan dengan jelas dan berani,'' katanya.  

Menurut beliau, persoalan era ini banyak diperlihatkan di dalam karya-karya seperti Di Sini Kita Bukannya Orang Dagang oleh Ishak Muhammad dan Cermin Pergaulan Hidup karya Shamsuddin Salleh.   

Dr. Othman cenderung melihat pada era ini, masalah ekonomi dan kemelaratan orang-orang Melayu akibat aktiviti perekonomian bukan Melayu lebih mendapat tempat dalam cerpen-cerpen penulis, terutama Ishak.   p

Keadaan ini menurutnya agak berbeza semasa pendudukan Jepun. Sebahagian besar cerpen yang dihasilkan bukan sahaja menggambarkan suasana perang, kekejaman, keperitan hidup dan sebagainya tetapi memunculkan ciri-ciri tersendiri.   

Dengan kata lain, cerpen-cerpen pada zaman Jepun jauh lebih pendek dari era sebelumnya. Malah, jauh lebih pendek dari cerpen Ishak Muhammad, Harun Muhamad Amin mahupun Rahim Kajai.   

Agak menarik dalam melihat persoalan ini ialah kedudukannya selepas perang. Sebahagian besar cerpen memperlihatkan wajah baru hasil resapan model penulisan yang berbau Indonesia, mula kukuh bertapak sejak 1948.  

Sekitar tahun 1950-an perkembangan cerpen Melayu semakin menyerlah dengan kelahiran beberapa penulis yang berbakat seperti Kamaluddin Muhamad (Keris Mas) dan A. Samad Said. Kedua-duanya membawa teknik dan gaya berunsur ciri-ciri kesusasteraan Barat.   

Hampir sezaman dengan A. Samad Said muncul pengarang-pengarang seperti Shahnon Ahmad, S. Othman Kelantan, Arena Wati dan Adi Mas yang mula menulis secara serius menterjemahkan karya-karya Barat dan lain-lain.  

''Perkembangan cerpen-cerpen dekad 1960-an merupakan kesinambungan daripada perkembangan sebelumnya. Ini termasuk kesinambungan daripada aspek tema dan persoalan yang menjadi pemikiran dan renungan pengarang.  

''Penulis-penulis pada dekad ini juga berperanan sebagai penerus kepada sejarah perkembangan itu, juga melakukan beberapa percubaan serta kelainan dalam penciptaan mereka,'' katanya.   

Menurut Dr. Othman, kelainan tersebut dapat ditelusuri menerusi karya beberapa pengarang yang berbakat besar dan berpotensi seperti Keris Mas, Arena Wati, Wijaya Mala, Hassan Ali dan Kala Dewata.  

Katanya, biarpun mereka berjaya membawa kelainan, aspek tema masih ditekankan kepada aspek manusia dan kemanusiaan sama ada cerita tentang individu mahupun kelompok dalam multi lokasi.   

Persoalan-persoalan kemasyarakatan ini diaplikasikan oleh para pengarang dengan menggunakan unsur-unsur metafora tertentu yang difikirkan relevan dengan mesej untuk khalayaknya.   

Di samping itu, ia semakin ghairah diteruskan oleh penulis muda seperti A. Wahab Ali, Ibrahim Omar, Awang Had Salleh dan lain-lain sehingga membentuk wacana kesusasteraan yang menarik dan 'sempurna'.   

Terserlahnya wawasan sastera yang lebih luas sehingga akhir 60-an ini semakin mantap dengan keupayaan bahasa dan ilmu bantu seperti psikologi, sosiologi dan sejarah dalam mengungkapkan permasalahan masyarakat.  

Kemantapan ini juga seiring dengan pembangunan pemikiran dan fizikal yang wujud dalam masyarakat.   

Keadaan ini yang menjadi penentu kepada keupayaan genre cerpen sebagai wahana perbicaraan sosial, budaya, ekonomi mahupun politik.  


BALIK