Penulis sebagai jurubicara

Oleh: Fudzail


TIGA puluh dua tahun empat bulan dahulu Tun Razak telah menegaskan penulis mestilah mengerti saat (moments) sejarah yang dilalui zamannya.  

Katanya, ''... penulis hendaklah mempernyatakan kekaguman dan keharuan saat sejarah itu dalam bentuk cerpen, novel yang indah, yang mengandungi nilai sastera dan seni.   

''Tuan-tuan dan puan-puan tentulah sedar bahawa kita sekarang hidup dalam zaman yang amat bersejarah, kejadian-kejadian dalam tanah air sekarang besar ertinya dari segi sejarah.''   

Zaman yang diperkatakan oleh Razak adalah waktu rancangan gugusan Felda dibangun dan dimajukan dan di ambang tamat konfrontasi dengan Indonesia. Waktu per kapita Malaysia dua kali ganda tinggi daripada negara-negara jiran kita dalam ASEAN kecuali Singapura. Brunei masih sebuah tanah jajahan British.   

Di zaman pentadbiran Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, per kapita kita selepas kegawatan ekonomi dan penurunan nilai ringgit pun masih tinggi lagi: AS$4,287 berbanding dengan Indonesia AS$998, Thailand AS$2,505 dan India yang ada bom nuklear AS$387 dan Pakistan yang mempunyai peluru berpandu dan sudah pun buat ujian letupan bom nuklear, AS$465. Mereka yang boleh membaca dan menulis atau kadar literasi kita adalah 89.3 peratus, India 52.1 peratus, Pakistan 37.8 peratus, Thailand 93.8 peratus, Filipina 94 peratus, Indonesia 84.4 peratus dan Jepun 100 peratus!  

Ingatan saya berkejar kembali kepada Malam Kesenian Penulis di Dewan Bandar Raya Tanjung (Georgetown), Pulau Pinang 20 Februari 1966. Memori saya masih segar kerana pada malam itulah benih Hadiah Sastera (kini Anugerah Sastera) telah tersemai dalam hati Razak apabila beliau berkata: ''Kalau tuan-tuan dan puan-puan berkehendakkan kerajaan mengadakan Hadiah Sastera perkara itu bolehlah saya timbangkan.'' Hadiah Sastera diumumkan oleh Razak sendiri pada 27 Julai 1967.   

Razak adalah wira bahasa kebangsaan walaupun bahasa Inggerisnya (seperti juga Tunku Abdul Rahman Putra) lebih baik. Orang muda harus diperingatkan semasa Razak menjadi Menteri Pendidikan (waktu itu Menteri Pelajaran antara 1955-1959) Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan dan termaktubnya di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Razak telah menerima semua usul Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Pertama di Johor Bahru - termasuklah pembentukan Jawatankuasa Ejaan bersama dengan Indonesia.   

Walaupun Razak wira bahasa kebangsaan, beliau juga seorang patriot realis yang menghargai realiti politik, ekonomi dan rangkaian kehidupan dan tamadun antarabangsa. Maka di Tanjung malam itu, Razak telah menasihati anak bangsanya: ''Ada biasiswa-biasiswa atau scholarship-scholarship luar negara yang boleh diikhtiarkan untuk penulis-penulis muda belajar mengasah bakat dan mempertinggi teknik mereka dalam lapangan novel dan cerita pendek. Dan jika ada antara tuan-tuan dan puan-puan yang mempunyai cita-cita ini silalah berhubung dengan saya atau Setiausaha Politik saya (waktu itu penulis menjawat pangkat itu). Saya sukacita menganjur mereka yang layak dan patut menerimanya. Kerana workshop-workshop untuk pengarang-pengarang dan penulis-penulis semuanya di negara-negara Barat, maka mustahaklah pula calon-calon mempunyai pengetahuan bahasa Inggeris yang baik atau bahasa Barat yang lain. Bagaimana pun saya suka menasihatkan kepada tuan-tuan dan puan-puan bahawa ilmu pengetahuan yang sebaik-baiknya untuk penulis-pen

ulis dan sasterawan-sasterawan atau pengarang-pengarang adalah terdapat di tanah air sendiri. Ilham (idea) dan dorongan untuk menulis didapati bukan di luar negara tetapi di kampung halaman sendiri; bukan di kampung halaman orang lain.     

''Ini tidak bererti saya menganjurkan penulis supaya bersikap 'parochial' atau 'kedaerahan'. Tidak demikian maksud saya. Dunia sasterawan ialah dunia manusia - soal-soal yang dihadapi oleh dunia dan oleh manusia, cita-citanya, harapannya, mimpinya, kehampaannya, kekejamannya, kemajuannya dan kekecewaannya. Apa yang saya maksudkan ialah sasterawan mestilah berpijak tegak pada alamnya sendiri, alam tanah airnya, alam sanubari manusia Malaysia.   

''Penulis-penulis mestilah mengerti saat (moments) sejarah yang sedang dilalui oleh rakyat dan negaranya dan mempernyatakan kekaguman dan keharuan saat sejarah itu dalam bentuk cerpen dan novel yang indah, yang mengandungi nilai sastera dan seni. Tuan-tuan dan puan-puan tentulah sedar bahawa kita sekarang hidup dalam zaman yang amat bersejarah, kejadian-kejadian dalam tanah air kita sekarang besar ertinya dari segi sejarah.  

''Bagaimanakah perasaan seorang peladang yang turun temurun tidak mempunyai tanah manakala menerima bantuan daripada kerajaan untuk mendirikan rumah tangga baru di bawah Rancangan Felda atau seorang nelayan yang turun temurun ke laut dengan sampan sekarang menangkap ikan dengan motobot, soal hidup, cita-citanya yang baru yang dibawa oleh kemudahan-kemudahan dan zaman baru, atau kekecewaannya dan perjuangan hidup yang dia mesti hadapi dalam zaman orang hendak naik ke bulan, tetapi kemajuannya masih juga belum sewajar dengan kemajuan sains dan teknologi.   

''Apakah yang difikirkannya? Apakah yang dirasakannya? Apakah harapannya? Apakah yang didoakannya dalam hati? Lukisan jiwa dan perasaan ini dalam bentuk cerita pendek dan dalam bentuk novel, diolah dan digambarkan dalam satu hasil kesusasteraan yang mengandungi nilai yang tinggi, halus dan dengan teknik yang baik inilah satu contoh hasil kesusasteraan yang sesuai untuk zaman pembangunan sekarang.   

''Saya tidak menganjurkan tuan-tuan dan puan-puan menulis hasil-hasil karya yang berbau propaganda. Tetapi dalam pada itu pula tidak syak lagi pembangunan luar bandar ialah satu kenyataan hidup yang sedang berlaku di tanah air kita sekarang. Seorang sasterawan ialah seorang pelukis yang hidup di zamannya. Dan, betapa dia melihat proses pembangunan sekarang dari kaca mata seorang sasterawan akan besar gunanya esok untuk anak cucu kita memahami perkembangan yang bersejarah di tanah air kita hari ini.'' Beberapa orang penulis telah dihantar ke luar negara secara langsung atau tidak oleh Razak, termasuklah seorang yang kini seorang dekan di Universiti Malaya.   

Saya tidak menganjur penulis, sasterawan, pengarah dan produser filem, drama dan teater menjadi propagandis kerajaan, Mahathir atau UMNO. Saya mahu mereka menjadi jurubicara zaman mereka, melukis dan menggambarkan cita rasa, perasaan yang sebenar, idea manusia (dan bangsanya) di dalam satu ketika dan di saat genting, tergugat, ceria dan mewah.  

Saya percaya pendapat Mahathir pun sama. Mahathir mahu, saya kira, penulis akhbar dan media elektronik menjadi ejen perubahan ke arah menjadikan bangsa kita satu bangsa yang maju, bertamadun dan dihormati oleh bangsa lain, (kawan atau pun lawan). Saya yakin Mahathir ingin melihat isi kandungan (content) media kita apa bentuk pun lebih bermutu dan positif. Berapa ramai pula penulis, editor, pengarah filem, penulis drama dan sasterawan yang boleh diangkat sebagai interpreter atau pelukis pembangunan bangsa dan negara dalam alam teknologi maklumat?   

Berapa ramai pula yang sudah sampai ke tahap George Bernard Shaw, Oscar Wilde, Evelyn Waugh, Shakespeare, Tun Seri Lanang, Hemingway, Greene, hatta Abdullah Munshi, Rahim Kajai dan Zaaba dalam ingatan dan kenangan manusia Malaysia. Shaw, Lawrence, Henry James, Greene, Dickens dan Hemingway menghasilkan karya yang abadi dan indah, melukiskan yang benar mewakili zaman dan tamadun ketika mereka hidup.   

Bagi saya satu tugas yang amat penting bagi sasterawan, editor dan karyawan-karyawan kini ialah menanam semangat baru di kalangan bangsa kita dalam alaf yang mencabar dan menunggu kita, menekan sifat berdikari, menyemai cinta kepada ilmu pengetahuan dan melengkapkan diri dan minda kepada satu kehidupan dan life-style yang sesuai dengan tuntutan tahun 2000 ke atas.   

Keadaan selalu berubah dengan cepat - sebelum Julai tahun lepas kita gagah - tetapi kini kita menghadapi kegawatan ekonomi dan nilai ringgit yang rendah. Tetapi apa pun kita mesti bersedia menghadapi keadaan terdesak ini dengan penuh tabah dan bertindak bijak agar kita segera kembali kepada era cemerlang yang menjadi teladan kepada negara-negara membangun. Kita akan cepat pulih andainya kita berdepan bersungguh-sungguh dengan masalah dan menghayati sejujur boleh sifat-sifat positif dan mendisiplin diri, pandai berjimat cermat dan banyak menyimpan.   

Kita semua - penulis, politikus, pentadbir, korporat, rakyat dan akademia - dalam mengejar kemajuan dan modenisasi, serta pembangunan fizikal dan material haruslah mengimbangkannya dengan ciri rohaniah yang tidak sempit tetapi sesuai dengan ajaran Islam sebenar dan tulen yang tidak diselewengkan oleh mereka yang menjaja agama seolah ia satu barang dagangan!     

Tugas kita semua adalah menyelami lubuk hati rakyat, melukis dan membela aspirasi dan menggambarkan jiwa yang meresapi mereka yang inginkan keadilan sosial, ekonomi dan siasah. Kita tidak akan tahu kita berjaya atau tidak. Verdict (atau keputusannya) hanya akan dibuat oleh generasi kemuka.  


BALIK