ISU-ISU SEMASA DI TANGAN REMAJA - SUATU PENGALAMAN PERIBADI

Oleh: Faisal Tehrani


SEPERKARA yang sering ditanyakan kepada saya ialah, bagaimana merampas isu semasa dan persoalan terkini masyarakat setempat dan dunia, lalu menggaulnya sebagai teras cerpen. Persoalan yang amat perlu pula saya tanyakan kembali ialah mengapa memuatkan isu-isu sekeliling di dalam cerpen anda?

Mengapa Remaja Harus Memperjuangkan Isu-isu Semasa Di Dalam Cerpen Mereka?

Ada beberapa sebab mengapa remaja harus menampilkan isu-isu terkini di dalam karya mereka, termasuklah cerpen, puisi atau novel. Isu-isu semasa yang disorot secara kritikal rasanya lebih berakar jika ditonjolkan menerusi cerpen.

Saya secara peribadi merasa begini kerana puisi sedikit ketat arah dan bentuknya, secara umum, puisi memerlukan penjimatan kata-kata, namun ia masih tidak mustahil. Saya teringat puisi 'Budi Judi' karya Wira Budiman Azizan yang menyentuh persoalan spekulasi mata wang. Saya juga pernah menampilkan persoalan gadis Melayu yang galak murtad untuk mengahwini lelaki bukan Islam di dalam puisi saya 'Puisi Untuk Perempuan Murtad' (Berita Minggu 2 Mac 1997) dan masalah RM jatuh meredum di dalam puisi 'Seperti Titanic Kita Ini' (Tamadun Feb 1998). Ini bermakna membawa isu semasa di dalam puisi adalah mungkin. Sementara memanfaatkan isu semasa dengan kritikal di dalam novel juga boleh berlaku, lihat sahaja Jukstaposisi (Berita Publishing 1996) karya Hizairi Othman yang merenung persoalan dunia wayang kita digalur dengan kebangkitan Melayu-Islam, usaha menempatkan dunia seni kita di tahap terbaik, serta menempatkan masalah-masalah semasa orang filem secara khusus (orang seni secara umumnya) di waktu ini. Namun seseorang pengarang jarang berupaya menulis novel dua atau tiga kali setahun semata-mata untuk mengejar isu semasa. Barangkali (dengan segala prosedur dan birokrasi penerbitan buku di negara kita ini, penerbitan novel memakan masa sehingga setahun atau dua), apabila novel itu diterbitkan, isu tersebut sudah agak ketinggalan dan timbul isu lain yang lebih menggugah.

Oleh itu cerpen adalah antara medan terbaik untuk mencurah isu-isu semasa secara kreatif dan kritikal, kerana ia tidaklah terlalu sempit seperti puisi, atau terlalu luas seperti novel. Ia mudah tiba ke khalayak, memandangkan dua akhbar utama di Semenanjung - Berita Minggu dan Mingguan Malaysia - setiap hujung minggu menawarkan tempat untuk cerpen, di samping ada berpuluh-puluh penerbitan majalah dan akhbar tabloid yang mengkhususkan ruangan cerpen bagi pembaca-pembacanya. Oleh itu ia mudah tiba ke khalayak kerana peluangnya besar.

Pertama, remaja harus sedar kita hidup di zaman yang amat berbeza dengan zaman penulis-penulis veteran kita. Datuk A.Samad Said misalnya merasai Perang Dunia Kedua, ini memberi dorongan lahirnya 'Salina' 'Adik Datang' 'Sungai Mengalir Lesu' 'Balada Hilang Peta' dan drama pentas 'Lantai T. Pinkie'. Pak Arena Wati merasai dunia laut membolehkan beliau menulis 'Sudara' misalnya dengan begitu hebat dan tulen. Dato' Shahnon Ahmad pula akrab dengan alam pedalaman dan desa, kenalnya beliau dengan tanah dan sawah menghasilkan 'Ranjau Sepanjang Jalan' atau penderitaan petani Baling dekad 60 an dan 70 an membolehkan 'Seluang Menodak Baung' tercipta.

Dekad yang kita hidup ini nyata amat berlainan.

Kedua, remaja yang berhasrat menjadi penulis mesti sedar, karya sastera yang baik bukan sahaja berbahasa indah, berkreativiti tinggi tetapi boleh menjadi rakaman dekad, khazanah antropologi dan sosiologi, yang suatu masa nanti akan dirujuk orang. Contohnya, 'Salina' masih dirujuk sebagai dokumentasi tahun-tahun bahana selepas perang. Sejarawan masih menyelongkar 'Salina' kerana ia dapat memperincikan kehidupan orang-orang Melayu Singapura yang menderita akibat perang. 'Patriarch' dan 'Sutan Baginda' karya Shahnon Ahmad pasti akan dirujuk semula oleh generasi mendatang sebagai rekod kegilaan kuasa politikus era ini. Dalam erti kata lain, penampilan isu semasa yang betul boleh menjamin hayat sesebuah karya lebih panjang.

Ketiga, kemudahan untuk mendapatkan bahan-bahan semasa adalah amat banyak. Akhbar memuatkan isu, majalah Massa misalnya, menampilkan segala berita dan permasalahan masyarakat yang dikira penting, majalah Tamadun pula mengitar isu semasa dari sisi lain atau sekiranya isu-isu yang dikira mustahil untuk dibentangkan di media utama, kadang-kadang penerbitan kecil seperti Aliran juga menjanjikan sesuatu, atau boleh kita dapatkan menerusi enjin pencari dunia internet.

Keempat, dengan menyelitkan isu-isu semasa secara kreatif, kita secara tidak langsung merangsang pembaca untuk terus menatap karya-karya kita tersebut. Secara tidak langsung jika kita terus-terusan memilih sesuatu isu, ia akan menjadi jati diri kita. Shahnon Ahmad misalnya dikenali kerana karya-karya beridentiti 'kampung' dan 'Islam' dan akhir-akhir ini karya-karyanya berperibadi tersendiri iaitu 'politik dan kepimpinan.'

Kelima, merampaikan cerpen kita dengan isu-isu terkini di sekeliling, baik isu nasional atau internasional, memberi peluang kepada kita, para remaja, untuk memberi pandangan atau menyalurkan kefahaman serta kesedaran intelelek tentang sesuatu isu secara kreatif dan kritis.

Keenam, kisah-kisah cinta, nilai persahabatan sesama rakan sekolah, masalah rakan sebaya, memanglah dunia yang kita harungi sehari-hari tetapi kita tidak dapat menafikan ia adalah isu lama yang membosankan. Sebagai penulis, mempunyai bakat, kita harus benar-benar menggunakan kemampuan kita itu dengan bijaksana dengan memberi suatu warna baru (atau sumbangan) kepada masyarakat, bukan terkhayal oleh dunia kecil yang terkongkong. Kita harus melihat dunia secara lebih luas dan menangani isu-isu semasa) terutama yang tidak diketahui masyarakat) boleh kita lakukan dengan berkesan melalui cerpen.

Ketujuh, isu-isu semasa adalah bahan paling segar dan paling setia di sisi kita. Mengabaikannya bererti kita sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga.

Isu-isu Semasa Dalam Cerpen : Pengalaman Peribadi

Saya akan cuba berkongsi pengalaman saya dalam menerapkan isu-isu semasa dalam menulis cerpen. Ia akan didasari menerusi cerpen-cerpen saya, iaitu: Laungan Tanpa Suara (Dewan Sastera Ogos 1997), Perempuan Anggerik (Mingguan Malaysia 7 Julai 1996), Senja Haram (Mingguan Malaysia 16 November 1997) dan Kissaten Teduhan Esok (Berita Minggu 4 Januari 1998).

Laungan Tanpa Suara - Suara Bisu Petani Utara!

Cerpen ini asalnya berputik di dalam benak apabila saya terbaca laporan majalah Massa mengenai masalah petani-petani di utara Semenanjung yang merungut mengenai kegiatan tani mereka yang semakin tidak menguntungkan. Dakwaan mereka, kerajaan terlalu mementingkan perindustrian sehingga sektor pertanian terabai. Harga benih terlalu mahal, harga barangan terus naik, kos untuk membajak sehingga menuai tidak lagi setimpal dengan apa yang diperolehi. Petani-petani ini digambarkan begitu putus asa. Saya kemudian sangat terkesan oleh laporan akhbar tabloid 'Harakah' yang menyiarkan gambar seorang ibu di Kerpan, Kedah sedang mendakap anaknya sambil menangis, si ibu terpaksa menghantar anaknya ke Rumah Anak-anak Yatim lantaran tidak lagi berupaya menanggungnya akibat tanah bendang mereka diambil kerajaan untuk dijadikan sesuatu projek. Pampasan untuk tanah itu pula amat tidak adil.

Dua isu ini amat menyiat hati saya. Saya mula mengkhayalkan tiga watak utama. Ilot, petani perempuan yang gigih tetapi semakin kalah dengan masalah kenaikan kos menanam padi. Haji Bachik, bekas pejuang kemerdekaan zaman silam, yang bersungguh mahu mempertahankan tanah dari tergadai. Adi, cucu Haji Bachik yang berada di dalam dilema kerana terperangkap oleh tugas, mengusir petani termasuk datuknya untuk diambil tanah-tanah mereka.

Saya bahagikan kepada tiga fragmen cerpen ini. Setiap satu saya paparkan keluhan dan kerisauan watak. Saya perturunkan isu-isu semasa itu untuk dijadikan bahan emosi watak.

"Dulu harga benih 20 ringgit sebeg…sekarang sudah 29 ringgit sebeg. Mak Ilot nak tahu, tepung dah naik, daging dah naik…semuanya naik belaka. Api, air…khabarnya terberak pun nak dicukaikan." Rungut Wahab Darat yang ditemui di Pekan Jentayu seminggu berlalu.

Dan perhatikan perenggan ini:

Haji Bachik menarik nafas lagi, dia berhenti sejenak sewaktu melepasi petak-petak sawahnya. Dia sesungguhnya hairan bagaimana pihak berkuasa telah menggazetkan tanah mereka untuk tujuan pengambilan tanpa pengetahuan tuan-tuannya. Dia bukan bodoh, dia tahu benar undang-undang mewajibkan pemilik hadir di pejabat tanah mengurusi hal pampasan dan sebagainya. Dia tidak perlu menjadi pandai untuk mengetahui itu semua tetapi dia berasa tertipu dan terhina dengan tindakan yang dianggap sebagai merampas itu. Apakah dia nanti akan menjadi pelarian di negeri sendiri?

Atau perenggan ini :

Tanah-tanih subur itu akan diambil untuk projek raksaksa rekreasi air yang tidak tentu mendatangkan faedah. Adi sedar dirinya tidak ubah seperti badut yang digerakkan dari belakang tirai. Dia tidak berupaya.

Saya akhiri cerpen ini dalam fragmen kesimpulan, di mana tanah itu tergadai juga, dengan Ilot berhati berat terpaksa melepaskan tanah sawah yang sudah ditelan pembangunan itu. Saya ingatkan kepedihan ini kepada pembaca dengan kata-kata Adi : "Tidak ada guna melawan orang gila kuasa dalam sistem kuasa yang gila. Ingat, tangan berduit selalu di atas."

Penyelesaiannya pedih dan sakit tetapi itulah realiti semasa!

Perempuan Anggerik - Secantik Itukah Singapura?

Cerpen ini sebenarnya terhasil secara terpisah-pisah. Bahagian pertama yang tercipta ialah puisi 'Perempuan Anggerik' itu sendiri. Bahagian kedua adalah latar, di mana saya memang berada di sekitar World Trade Centre yang membelakangkan Pulau Sentosa. Saya mencatit suasana senja di WTC itu semasa berkunjung ke Singapura dalam bulan April 1997. Setelah pulang ke Malaysia, isu penyatuan semula Malaysia-Singapura ditimbulkan oleh pemimpin kanan Singapura - Lee Kuan Yew. Media agak riuh menandai isu ini. Pada awalnya saya melihat pencantuman sebagai sesuatu yang positif tetapi apabila saya membaca semula sejarah Malaysia-Singapura, nyata penyatuan semula adalah satu kesilapan, sama silapnya memisahkan Singapura dari Persekutuan Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Kebetulan beberapa buku yang saya baca ketika itu berlingkar mengenai Cina Seberang Laut (CSL) dan kecurigaan beberapa pihak mengenai besarnya pengaruh dan kuasa CSL ini. Kerana merasakan semangat 'Singapura' belum memadai untuk digerakkan sebagai karya, saya sekali lagi ke Singapura, selang tiga minggu kemudiannya. Ketika ini, terdapat empat ramuan yang sedia dicantum-cantumkan untuk menjadi sebuah cerpen. Perempuan Anggerik sudah 1/3 tertulis ketika saya berada di Singapura.

Ia haruslah melihat isu semasa dari perspektif silam iaitu sejarah, dengan mengekalkan nilai estetik, seperti kewujudan puisi, kemisterian watak Ru Yi (perempuan anggerik) dan pakcik itu. Ia sama celarunya dengan watak 'saya' itu, oleh itu cerpen telah tergaul dalam keadaan bersepah-sepah sebagai lambang kacaunya perhubungan Malaysia dan Singapura yang saya kira masih 'bergelora di dalam senyap'. Saya bumbui semua itu dengan kebimbangan mengenai peluasan kuasa CSL. Hilangnya Ru Yi di Kuala Lumpur dan hancurnya harapan 'pakcik' adalah lambang kepada isu penyatuan Singapura dan Malaysia itu sebagai tidak terarah, berkesudahan dan mustahil berlaku. Pencantuman ramuan tersebut telah menghasilkan 'Perempuan Anggerik' yang amat puas dari segi penciptaan bagi saya. Apatah lagi anggerik memang dapat menggambarkan Singapura secara tepat ( saya diberitahu seorang teman penulis, anggerik, adalah bunga kebangsaan Singapura). Bukankah anggerik cantik tetapi berhantu!

Saudara Mawar Shafei dalam kertas kerjanya Menu Intertekstualiti: Juadah Oleh Tiga Penulis MPR yang dibentangkan di DBP pada 11 April 1998 ada menyentuh mengenai cerpen ini:

Melalui protagonis ini secara perlahan-lahan dan lembut kita diheret lebih jauh ke episod selektif pengarang iaitu sejarah politik Singapura seawal era David Marshall dan Lim Yew Hock. Rentetan daripada halaman sejarah awal itu, episod tragis 13 Mei 1969 sehinggalah isu Mutakhir penyatuan kembali Malaysia-Singapura….

Saudara Amir Muhammad menulis cerpen ini di dalam 'Meet the real-life Malay - New Straits Times 17 Oktober 1997' sebagai 'it is reminiscent of but better than The English Patient'. Namun mesej tersirat saya yang nampaknya dapat ditangkap oleh Amir ialah,

…dan ia berakhir dengan kesedaran tentang kejamnya kerakusan politik. (Kertas Kerja Amir Muhammad -Asap & Cermin - dibentangkan di DBP pada 11 April 1998).

Ini terdapat pada perenggan terakhir cerpen 'Perempuan Anggerik': Saya melihat ombak makin bergumpal, semacam berarus, tetapi tidak menentu tujuan. Nafsu dan ketamakan pemimpin sering menelan kita. Selalu ada tragedi. Biarlah kebenaran yang menjadi neracanya.

Perempuan Anggerik tidak akan hanya menjadi dokumentasi keindahan cinta Ru Yi dan pakcik, kezaliman pemimpin hingga menatijahkan kehitaman sejarah tetapi lebih penting adalah teras isu penyatuan Singapura-Malaysia yang mengelirukan, bakal menjadi rakaman zaman, mengenai gelisahnya semua orang apabila isu itu tiba-tiba dilontarkan. Saya berdoa usia cerpen ini panjang, lebih panjang dari diri saya sendiri.

Senja Haram - Bahana Boros Dan Keangkuhan

Senja Haram adalah cerpen yang lahir kesan pengalaman menunaikan ibadat umrah di Haramain tahun lepas. Semasa berada di Mekah dan Madinah, saya dan ibu saya mengalami gangguan kerana kejatuhan nilai ringgit yang mendadak. Kejatuhan ringgit itu tentu merisaukan bagi seseorang yang berada di negara asing dan masih banyak hari-hari yang perlu ditempuhi. Ada perbahasan mengenai kenapa ini harus berlaku dengan penukar wang berbangsa Pakistan, Javid, yang menyediakan perkhidmatan itu di bawah hotel tempat kami menginap. Javid nyata bukan sekadar penukar wang tetapi adalah pemerhati yang bijaksana, sama seperti namanya. Saya catitkan seluruh perbincangan itu, walaupun tidak sehangat mana tetapi nyata ia menjadi faedah untuk diketengahkan secara kreatif pula. Saya ditanya Javid, Malaysia selalu mendakwa sebagai pusat kebangkitan semula Islam di dunia (pemikir kita selalu menyebut perkara ini), apakah orang-orang Melayu benar-benar bersedia untuk memimpin umat? Di tengah segala macam gawat, termasuk gawat ekonomi, gawat akidah, gawat moral dan akhlak, gawat siasah, adakah Malaysia benar-benar bersedia, tanyanya lagi? Dan soalan itu nyata terngiang-ngiang di telinga saya sehinggalah saya pulang ke Malaysia. Ketika itu ekonomi kita makin parah, ringgit makin menjunam, dan lahirlah Senja Haram.

Latar Madinah dan perjalanan dari Mekah ke Tana'eim, tempat berihram itu saya catat sendiri di atas bas. Saya membawa pen ke mana-mana tetapi tiada kertas ketika itu, lalu mencatit kesan perjalanan di atas tiket sahaja.

Saya bangkitkan tiga watak. Saiful Izham, semacam mewakili diri saya sendiri. Mohtashemi, khayalan saya dan Muneer, sahabat dari Afrika Selatan yang saya kenal di Masjidil Haram. Muneer, Melayu Afrika Selatan, pertama kali ke Mekah, banyak bercerita tentang rasa kerdilnya berada di tanah suci, dan soal keruntuhan tamadun dunia, yang saya analisis sebagai ada kaitnya dengan kemerosotan ekonomi kita ini. Saya selitkan falsafah Ibnu Khaldun, Malik Ben Nabi dan Emile Durkhiem, telah sedia saya kunyah lumat sejak sekolah menengah lagi, masing-masing melihat kemerosotan kemewahan (ekonomi) satu-satu tamadun berasal dari kemerosotan akhlak dan spiritual masyarakatnya. Nah, itulah yang kita alami sekarang ini. Masyarakat kita memusuhi nilai-nilai spiritual, banyak contoh boleh diberikan, kerana borosnya kita dari sisi rohani,, kita ikut boros dengan wang lantas ringgit menjunam. Kerana tidak dapat mencari sesiapa untuk disalahkan kita mulai menuding jari sesuka hati kita. Javid saya timbulkan di dalam cerpen ini sebagai cameo. Pada perenggan inilah letaknya mesej sebenar yang ingin saya hantar.

Akhlak lupus dan berantakan. Masyarakat atas ke bawah boros. Juga spontan diri terkenangkan kejatuhan RM, ketika dia baru tiba, RM 100 bersamaan 128 Saudi Riyal. Kini, kejatuhan menjunam-junam, RM 100 bersamaan 107 Saudi Riyal. Javid, sarraf atau penukar wang bersebelahan Hotel Asia menyindir pahit.

"Kerana Soros atau kerana boros?"

"RM…ringgit Malaysia atau rupee Malaysia?"

Ingat, tamadun Melaka yang hebat itu jatuh bukan sebenarnya kerana meriam Portugis tetapi kerana berantaknya moral rakyat dan korupnya pemimpin ketika itu.

Saiful Izham terdiam. Sesak untuk menerima hakikat yang Melayu diharap-harap akan menjadi pemimpin umat Islam. Dia terkenangkan bohsia dan bohjan di Kuala Lumpur. Terbayangkan ratus ribu Melayu jadi penagih dadah di belakang lorong Haji Taib…

Hasilnya Senja Haram menjadi cerpen semasa yang menyiasat ke akar umbi mengapa kita ditimpa bahana bencana ekonomi dengan latar Mekah dan Madinah diselang seli pula oleh derita jihad Rasulullah dan insiden pembunuhan Saidinna Othman, sebagai clip.

Kissaten Teduhan Esok - Tiada Esok Untuk Pengguna Wang Kertas! Cerpen ini saya kira paling semasa dan paling intim dengan kita. Kegawatan ekonomi! Ia adalah sebuah lagi cerpen yang paling puas dari sisi pembikinannya.

Apabila krisis matawang meletus secara tiba-tiba penghujung tahun lepas. Saya cuba menganalisis dengan berhati-hati persoalan ini. Saya cuba tidak mencari salah sesiapa dan menggali akar sebenar insiden buruk ini. Siapakah sebenarnya yang durjana? Semua orang secara tiba-tiba menjadi tidak percaya lagi kepada 'ekonomi' sedangkan ketika kemuncaknya, 'ekonomi' menjadi isteri muda yang dibahagiakan.

Selepas menilai, membaca dan mendengar, saya mengambil keputusan menyalahkan diri kita sendiri kerana terlalu 'mengimani' sistem kapitalis. Dan mendapati segala-gala ini adalah perancangan bangsa yang amat dibenci Hitler.

"Kita mendokong penuh sistem kapitalis dan kita ditindas, kenapa masih nak pertahankan sesuatu yang menyeksa kita?"

"Maksud Yati?"

"Ambil sistem lain."

"Sistem sosialis? Sistem Islam…Apa? Nada mendesak.

"Yahudi mencipta kerangka sistem kapitalisme ini. Yahudi perkenalkan penggunaan mata wang kertas. Kerana mata wang kertaslah yahudi boleh kuasai sesiapa dikehendakinya, dan memperhambakan kita tanpa disedari. Jangan berlagak tidak tahu. Jenayah wang itu boleh berlaku kerana mata wang kita seluruh dunia daripada kertas. Kenapa kita nak marahkan Soros atau spekulator mana pun, kita sudah lama terima cara dia…"

Saya dirikan watak Nurhilyati yang membincangkan soal krisis ekonomi ini dengan Tan Sri Hasnol, seorang tokoh korporat yang mempunyai kepentingan di Jepun. Latarnya Jepun, negara gergasi ekonomi yang nampaknya ikut terjejas oleh kesurutan sistem kewangan. Untuk mengindahkannya, saya jalinkan Junaidah, sahabat Nurhilyati yang gemar mengusik. Oleh itu cerpen mempunyai unsur humor yang tidak memaksa keseriusan audien dengan perbincangan yang berat. Dan kerana bumbu cinta biasanya lekas dilayan orang, saya bina plot, di mana watak Tan Sri Hasnol ada menyimpan hati kepada Nurhilyati, sarjana yang dikasihinya secara diam.

Seperti yang telah saya tekankan, penerapan isu semasa secara kreatif memberi kita ruang penuh untuk menyalurkan pandangan.

"Jangan salahkan sesiapa. Semua kerana salah urus. Kenapa sebelum ini ada penyelewengan ekonomi kita tak pernah buka mulut?" Nurhilyati menghirup setengah cawan kopi."

Watak Nurhilyati saya akhiri memilih seorang lelaki tua untuk dijadikan teman hidup. Lelaki tua yang memiliki kemewahan ini adalah bandingan kepada sistem ekonomi Islam. Ini bermakna Nurhilyati mahu kembali kepada sesuatu yang lama, tetapi menjanjikan, sebagai teduhan esok. Suatu isyarat halus yang perlukan penelitian untuk menangkapnya.

Rumusan

Kesimpulannya penmanfaatan bahan-bahan semasa yang dikupas secara berani, kritis, logik boleh menjadikan karya kita menarik dan bertenaga. Akan tetapi, ingat, sebagai penyalur ide, kita tidak boleh sama sekali menampal isu begitu sahaja tanpa memberi jalan keluar atau kesimpulan atau sekurang-kurangnya, kita perlu menentukan sikap kita. Hanya dengan itu cerpen akan menjadi lebih hidup dan lebih berharga untuk ditatapi pembaca.


BALIK