Keris Mas

Oleh: Fudzail


Keris Mas pejuang tulen, penulis agung   

NAMA Sasterawan Negara, Kamaluddin Mohamad (Keris Mas) tetap dikenang oleh segenap lapisan anak bangsa sebagai tokoh nasionalis dan penulis agung.  

Ketajaman penanya menjadi obor kepada mereka ketika negara masih terbelenggu penjajahan.   

Biarpun, Keris Mas telah meninggal dunia lebih lima tahun lalu namun jasanya untuk anak bangsa tetap hidup. Tidak hanya termuat dalam karya-karya sastera tetapi pelbagai aspek politik.  

Keris Mas menggilap namanya dalam dunia sastera dan politik sejak pembabitan serius di Utusan Melayu sebagai wartawan. Hubungan erat dengan tokoh wartawan, Tan Sri A. Samad Ismail banyak mengubah arah penulisan dan perjuangannya.   

Kemunculan beliau di tengah-tengah kehangatan perjuangan menyatukan Tanah Melayu dan Indonesia (Indonesia Raya) yang digagasi oleh Ibrahim Yaakob memberi kesan penting dalam dunia Keris Mas.   

Menurut A. Samad, Keris Mas adalah seorang yang kreatif dan peka terhadap masyarakat dan tanah airnya. Ketajaman pena dan kebernasan fikiran meletakkannya sebaris dengan tokoh radikal di Utusan Melayu.  

''Beliau adalah seorang nasionalis agama dan lebih terbuka dan liberal. Perjuangannya banyak dipengaruhi oleh perjuangan parti-parti Islam Indonesia. Dia juga akrab dengan sejarah kebangkitan Islam yang dipelopori Mohd. Abduh.   

''Dua aliran dari kebangkitan Islam di Indonesia dan Timur Tengah mewarnakan tanggapannya dalam perjuangan di Semenanjung dan Singapura. Akar Islamnya kuat. Inilah juga maka Keris Mas tidak terlibat dalam Parti Komunis Malaya,'' katanya.   

A. Samad berkata demikian ketika membentangkan kertas kerjanya pada ceramah Hari Mengenang Dan Baca Cerpen Keris Mas di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.   

Menurut A. Samad, dunia kewartawanan dan penulisan dianggap oleh Keris Mas sebagai alternatif terbaik menentang penjajah dan membebaskan kehidupan bangsanya.   

Katanya, di Utusan Melayu Keris Mas mendapat seluas kesempatan, tidak sahaja mengasah bakat tetapi menyambung perjuangannya. Tetapi agak aneh katanya, Keris Mas meninggalkan Utusan Melayu yang menjadi sebahagian dari perjuangannya.   

''Ini disebabkan kemelut dan perasaan tidak puas hati terhadap pimpinannya. Beliau kemudiannya bekerja di Warta Negara yang lebih konservatif.  

''Warta Negara merupakan surat khabar Melayu yang cenderung menyokong kepentingan golongan aristokrat Melayu dan bersikap menentang nasionalisme Melayu radikal serta 'liberal' terhadap Inggeris,'' tegas beliau.  

Katanya, tidak dapat dinafikan perjuangan Keris Mas membela nasib bangsanya penuh dengan pelbagai halangan.   

Hubungan yang dekat dengan beberapa tokoh politik telah menimbulkan cemuhan dari segelintir masyarakat. Beliau dituduh seorang borjuis dan telah diserapkan ke dalam establishment.   

Menurut A. samad, walau pelbagai tuduhan dilemparkan kepadanya, Keris Mas tetap dengan caranya sendiri, berpegang teguh pada dunia kewartawanan dan penulisan untuk membina minda bangsa.   

''Ramai teman-temannya dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) menyeberang ke barisan kerajaan, Keris Mas tetap dengan pendiriannya. Bukan mengangkat senjata tetapi mengasah pena.  

''Sikap sederhana dalam serba serbi tindakannya disalahertikan sebagai seorang berjiwa kerdil dan takut berhadapan dengan risiko. Namun, pada hakikatnya beliau berani mempertahankan pendiriannya misalnya dalam ASAS 50,'' tambahnya.   

Menurut beliau, sebagai seorang penulis nasionalis, Keris Mas melahirkan tulisan-tulisan yang berbau semangat perjuangan serta kritikan-kritikan terhadap penjajah serta golongan feudal Melayu.   

''Meskipun terpaksa menghadapi pelbagai kritikan dan cemuhan dari segelintir masyarakat kerana sikap tegas terhadap pendiriannya, Keris Mas tetap dengan caranya iaitu ketajaman pena,'' tegas A. Samad.  


BALIK