DOLLY

Oleh: Fudzail


Namanya Dolly.

Itu sahaja yang aku tahu. Lebih dari itu adalah imaginasi. Bayangan terhadap apa saja yang boleh digambarkan oleh fikiran dan perasaan. Pastinya dia bukan seekor klon kambing biri-biri yang mencipta sejarah. Bukan juga ikon Hollywood yang menggambarkan imej yang memberahikan mana-mana lelaki normal.

(Ya, seperti yang ada di fikiran ramai orang, dia pastinya bukan Dolly Parton. Dolly Parton tak mungkin boleh bercakap Melayu).

"Inilah Dolly, seorang perempuan tanpa seurat benang!"

Pengenalan dari tapak web www.seksklusif.com itu memang menarik. Kata-kata sebegitu mencabar logik kebanyakan lelaki untuk mahu tahu lebih lanjut lagi tentang Dolly. Apalagi tapak web itu berpengkalan di Amerika Syarikat. Walau aku tahu sesiapa saja boleh mendaftar tapak web mereka di Amerika secara proksi dan maya.

Pastinya tiada siapa mengizinkan tajuk Seksklusif sebagai jenama tapak web di Malaysia. Tetapi dari segi ejaannya, dapat dijangka, Seksklusif memang mencari sasaran mereka yang berada di Asia Tenggara. Jarang sekali melihat sebuah tapak web yang berbahasa Melayu sepenuhnya terutama bila era globalisasi bermakna bahasa Inggeris menjadi de facto. Apalagi banyak tapak web dari Malaysia sendiri tidak langsung berbahasa Melayu. Sesuatu yang lain dari yang lain. Sastera Melayu erotik di halaman siber. Aneh tetapi benar.

"Oleh itu berlangganlah dengan www.seksklusif.com, sesuatu yang bakal menceria minda anda sebagai manusia lelaki Melayu kontemporari! Anda mesti lelaki dewasa yang mempunyai minda terbuka, tidak prejudis, tidak rasis dan tidak takut untuk berterus-terang mengenai seksualiti anda dan apa saja yang berkaitan."

Kata-kata bergrafik disebalik bayangan tubuh wanita itu cukup menganjak paradigma kelakianku. Yang selama ini terdedah dengan segala yang datang dari Hollywood. Dengan ribuan malah jutaan tapak web klasifikasi xxx yang semakin bertambah bersama kecanggihan teknologi Internet.

Kerana itu aku tidak teragak-agak untuk berlanggan dengan www.seksklusif.com. Menekan nombor kad kredit dan bersetuju membayar USD19.90 sebulan. Dalam keadaan kegawatan sekarang, ianya bermakna hampir RM80.00. Kegawatan jugalah membuatkan ramai orang yang dulu sentiasa sibuk menikmati kemewahan kini menghampiri tapak-tapak web sedemikian untuk mencari idea-idea baru.

Termasuk aku, pengkritik sastera profesional yang semakin sukar untuk mengkritik kerana tiada banyak lagi buku-buku sastera baru. Sama ada bermutu atau tidak. Sama ada tebal atau nipis. Sama ada dari penulis baru atau lama. Sama ada berunsur Islam atau berunsur jahiliyah. Sama ada bersifat konvensional atau eksprimental.

Kalau ada pun lebih banyak yang berunsur hiburan dan politik, mungkin persiapan awal menjelang pemilihan tahun parti depan. Kegawatan sepastinya turut melumpuhkan kegiatan seni dan budaya. Seakan nahdah kebangkitan sastera nusantara turut merundum bersama pasaran saham dan matawang serantau.

Nah, mudah untuk menjadi ahli kelab Seksklusif. Setelah dibenarkan untuk log in, ternyata Dolly tidak menghampakan. Anda jangan membuat kesimpulan melulu. Tiada siapa tidak berpakaian di tapak web Seksklusif. Tiada gambar bogel. Tiada perempuan murahan memperagakan tubuh badan dibawah nama perkhidmatan seks eksklusif.

"Inilah aku, Dolly, hos web seksklusif, seorang perempuan tanpa seurat benang.....dalam minda anda kalian!" Kata pengenalan itu cukup kuat untuk menarik aku ke dalam sebuah dunia baru. Dolly itu sekadar sebuah ikon berbentuk bibir merah ungu.

Tidak, aku memang tidak tertipu. Dia memang tanpa seurat benang pun dalam minda aku. Tidak perlu imej jpeg. Teks sudah cukup memadai untuk menarik aku pada Dolly. Bukan ikon bibir itu juga. Bukan namanya sama dengan Dolly Parton. Jauh sekali kerana namanya sama dengan kambing biri-biri klon yang diberitakan telah bunting!

Memang cukup menarik. Sebagaimana ribuan lelaki lain yang telah melanggani Seksklusif sebelum aku. Kebetulan nombor keahlianku ialah 2020. Lantas menjadi pelanggan istimewa yang menjanjikan satu pertemuan eksklusif dengan Dolly di suatu masa yang akan ditentukan. Harapanku, sebelum tahun 2020 kerana aku sudah terlalu tua waktu itu.

Dari arkib web, ternyata malam demi malam ratusan menghantar utusan teks tanpa henti memperkatakan tentang impian atau fantasi seks mereka kepada Dolly. Dolly pasti melayan dengan penuh mesra. Bagai seorang juruperunding yang cukup mengancam. Tidak heran keahlian seksklusif telah melebihi 2020, mengatasi wawasan 2020 sendiri. Bayangkan pendapatan Dolly setiap bulan dalam nilai matawang dollar Amerika. Apalagi dalam ringgit!

Dan memang tidak dapat aku membayangkan ramai lelaki siber Melayu kontemporari yang rupanya pelarian dunia realiti. Mereka menjadikan siber sebagai ruang alternatif dalam permasalahan seksual. Tanpa bertanya siapa Dolly sebenarnya. Tanpa ragu-ragu memberitahu dengan terperinci apa saja yang berkenaan. Tiada malu dan rasa bersalah.

Sepatah komen dalam buku pelawat Seksklusif yang menggunakan nama TongkatAli. "Membaca teks dalam seksklusif ini sebenarnya lebih erotik dari isi Playboy mahupun Penthouse. Selain bahasa Melayu yang cukup bernilai tinggi mutu sasteranya, banyak rahsia seksual lelaki Melayu kontemporari yang boleh menjadi rujukan generasi akan datang. Ini adalah ilmu dan sejarah dalam pembinaan. Apakah tiada badan tertentu mahu mengkaji fenomena ini?"

Satu komen jujur yang menggambarkan kegawatan lelaki Melayu kontemporari. Menjelaskan mengapa seksklusif dan Dolly adalah ikon Melayu abad siber ini. Itulah kekuatan Seksklusif dan Dolly yang sebenarnya. Menjadikan juga pengkritik sastera seperti aku terpegun dengan nilai kesusasteraan dalam Seksklusif. Nilai anugera sastera negara dan Hadiah Nobel!

Mungkin tiada tempat lain untuk mereka para lelaki Melayu kontemporari ini mencurahkan perasaan terpendam. Dunia Internet tanpa wajah dan identiti sebenar menjadi alternatif terbaik. Siapa peduli tentang identiti kerana maya tanpa sempadan sebenarnya juga semakin kecil untuk jadi Mat Kepoh. Lagipun, tiada Dolly dalam dunia sebenar yang tidak prejudis terhadap lelaki. Yang menggangap lelaki punca kepada segala masalah dunia, dari perang hingga ke masalah ekonomi. Memang mereka anti lelaki Melayu kontemporari!

Kadang-kadang kelucahan Dolly berkata-kata dengan maksud tersirat menjadikan kepanasan alam siber memeluhkan tubuh sesiapa saja yang normal. Seperti aku, mungkin kerana perpisahan dengan isteri menjadikan kegawatan minda menerima Dolly sebagai kawan siber yang paling akrab.

Isteri atau lebih tepat kini bekas isteri telah melarikan diri bersama kekasih sibernya yang rupa-rupanya sama berjiran di USJ. Meninggalkan aku dengan alasan dia telah menemui cinta sebenar melalui denyutan elektronik. Mungkin juga kerana dia tidak tahan dengan sikapku yang melebihkan dunia kritikanku dari mendengar kritik kawan-kawanya yang aku tidak dapat memberikan dia zuriat. Walau hakikatnya memang aku tidak dapat memberikan zuriat kerana Tuhan masih belum mengizinkan. Bukan salah kelakianku. Walau apapun, Dolly lebih mengerti keadaan aku sekarang. Lebih rapat dari yang lain kerana dengan ahli bernombor 2020, Dolly menggangap aku istimewa. Mungkin sebagaimana perhubungan rahmat antara teknologi dan seksualiti. Kerana salah satu punca utama Internet itu sendiri berkembang pesat ialah seks. Malah seks menjana bisnes elektronik!

Dan seperti mana keperluan asas yang lain, seks adalah sebahagian dari kehidupan. Tanpanya tidak mungkin ada peradaban dan apa saja yang bernaung di planet bumi.

"2020" Tiba-tiba panggil Dolly melalui IRC yang mengejutkan aku setelah membaca pelbagai perbualan ahli. Melalui chatroom "Fantasi Dolly!", yang 24 jam menjadi nadi tapak web Seksklusif. Sehingga bila Dolly mengundurkan diri dari chartroom, ahli-ahli lain terus saja menyambung perbualan. Kadang-kadang mereka bergaduh sesama sendiri sekadar untuk mendapatkan perhatian Dolly. Kerana ramai terperasan masing-masing istimewa buat Dolly melebihi yang lain. Mengejar kasih Dolly yang tanpa wajah dan jisim itu. Sekadar sebuah ikon dilayar komputer bersuara teks.

"2020 di sini!"

"Apakah fantasi anda malam ini lelaki bertuah!"

Aku memandang layar komputer dengan kekosongan. Lain-lain pengguna telah dipaksa keluar oleh Dolly. Hanya kami berdua dalam chartroom. Eksklusif. "Tiada fantasi! Sekadar pemerhati yang ralit, tekun dan berfikir tentang manusia lelaki Melayu kontemporari diluar sana, yang mungkin semakin tenggelam dalam fantasi terkini dan sensasi!"

"Ha! Ha! 2020 jangan jadi hipokrit. Setiap malam tidak lengkap tanpa fantasi seksual! Lelaki Melayu kontemporari sentiasa panas dan kreatif dalam berfantasi. Tiada sempadan fantasi sebagaimana tiada sempadan siber!"

"Ya, Dolly, tetapi malam ini tiada fantasi kerana fikiran terganggu oleh catuan air di sini, tiada fantasi lain selain untuk menikmati air bersih seperti dahulu!"

"Ha! Ha! Apakah itu mempunyai maksud tersirat?"

"Tiada maksud tersirat selain itulah realitinya. Sudah seminggu tiada air di sini, mengharapkan lori tangki air datang di musim kemarau seumpama menagih janji kekasih yang tidak sudi! Atau janji ahli politik yang mahu menyedapkan hati pengundi!"

"Ah, kau rindukan sesuatu bukan. Yang datang bersama air! Menunggu tangki air dibawah terik mentari kemarau, aduh, betapa puitisnya kata-kata itu! Kau bagai cuba memberitahu sesuatu! Katakan 2020, wawasan kedahagaanmu itu!"

Tiba-tiba isu catuan air melebatkan mindaku dengan idea. Bagai diasak oleh sesuatu yang sekian lama berfantasi sejak aku mengenali Dolly secara on-line. Secara minda berimaginasi tentang ikon bibir merah ungu itu.

"Okeylah, selasa depan hari jadi aku, aku berfantasi untuk bermalam dengan Dolly dalam sebuah fantasi seksual yang realiti, bukan dalam dunia siber, sekiranya Dolly sudi!"

Ajakanku yang nampak sekadar main-main. Yang sebenarnya juga sebuah lamaran sepenuh harapan. Mengapa tidak? Semua orang semakin berfikiran terbuka. "Apa salahnya, bukankah hadiah menjadi ahli yang ke 2020 masih belum diberikan lagi!"

"Jadi apakah ini bukan lagi imaginasi dan fantasi untuk bersama Dolly!"

"Tunggu Dolly di malam hari jadimu itu di Hotel Kuda Emas, bilik penginapan percuma dari Dolly dan Seksklusif! Istimewa buat 2020!" Tiada yang lebih menggembirakan untuk seorang penghuni Lembah Klang seperti aku, yang sekian lama dalam catuan air untuk tinggal di sebuah hotel bertaraf antarabangsa. Musim catuan air yang sekian lama turut menyeksakan minda seorang lelaki Melayu kontemporari yang normal dan sihat segala-galanya.

Segala fantasi dan imaginasi yang datang bersama janji Dolly menjadikan aku tidak lelap tidur. Apakah semua ini bukan sebuah permainan Seksklusif untuk menjadikan tapak webnya lebih popular? Apakah ini sesuatu yang dinamakan keajaiban dunia siber?

Sehinggalah malam itu. Bila berdepan dengan Dolly diluar dunia siber.

"Kau terkejut?"

"Ini bukan satu kesilapan?" tanyaku keliru di bilik penthouse itu.

"Tidak! Memang akulah si Dolly!"

Aku masih belum percaya. Ternyata ianya sebuah mimpi paling ngeri di malam jahanam.

"Ya, aku si Dolly. Seorang lelaki Melayu kontemporari seperti kamu!"

Aku tergelak sepuasnya dengan kebodohan manusia siber yang mudah menerima apa saja tanpa berfikir dua kali. Sehingga Dolly memelukku untuk menenangkan diriku yang seakan orang kehilangan akal. Sambil dia berbisik perlahan.

"Kau tahu, Dolly ini juga seorang lelaki Melayu Kontemporari yang gay!"

Dan malam itu aku mendapat bekalan air secukupnya setelah lari ketakutan terjun dalam tasik lombong depan hotel. Menyejukkan kepanasan dari dalam yang memualkan. Yang keluar bersama muntahan dari perut yang memulas, dan tertumpah atas karpet hotel.

Ah! Dolly! Ah! Lelaki Melayu Kontemporari! Cis! Dunia maya!


BALIK