Pejuang Pena

Oleh: Fudzail


Apakah ganjaran pejuang pena?   

SASTERAWAN A. Samad Ahmad (Pak Samad) ternyata masih bertenaga biarpun doktor menasihat beliau supaya banyak berehat.   

Sewaktu menziarahinya di Gombak Setia, Kuala Lumpur baru-baru ini beliau hanya tinggal keseorangan kerana ahli keluarga sedang menjalankan urusan seharian.   

Kehidupan hariannya hanya bertemankan sebuah radio kecil dan beberapa naskhah akhbar yang dibacanya sebagai satu kewajipan yang dipaksanya sendiri.   

''Jika tidak ada surat khabar, tidak boleh jadi. Baca surat khabar ini macam satu kewajipan pula,'' katanya.   

Sudah lama beliau tidak menulis. Bukan kerana kehabisan ilham tetapi doktor menasihatkannya supaya banyak berehat. Tenangkan fikiran dan tidak usah memaksa otak bekerja keras seperti dulu.   

Semasa bertemu dengannya, beliau tetap bercerita tentang Nakhoda Tenggang, tentang Batu Belah Batu Bertangkup iaitu antara cerita-cerita rakyat yang ditulis dan dibukukan sekitar tahun 60-an.   

Pak Samad mengingati setiap peristiwa penting dan menyayat hati dalam kedua-dua cerita yang telah ditulisnya itu.   

Bagaimana Si Melur mendukung Si Pekan mengejar emak mereka yang sudah hampir benar masuk ke dalam mulut batu belah. Si Melur bercerita sambil meminta emaknya tunggu mereka.   

''Emak, emak tunggu dulu. Melur lapar nasi, Pekan lapar susu,'' Pak Samad bercerita.   

Kemudian ibunya menjawab. Bukan menjawab kata-kata Si Melur tetapi melaung supaya batu belah menelannya:   

''Batu belah, batu bertangkup. Telanlah aku, luluhlah aku. Aku kempunan telur tembakul!''   

Pak Samad melagukan kata-kata itu. Ternyata cara bercerita penglipur lara zaman itu sangat berkesan. Namun, segala-galanya kini sudah hilang. Menurut Pak Samad memang tidak ada lagi penglipur lara zaman ini.  

Selanjutnya Pak Samad menyatakan bahawa fenomena yang ada bukan sekadar itu. Nilai-nilai yang ada dalam sastera rakyat turut dilupai. Pada hal nilai-nilai tersebut dapat membentuk fikiran dan arah tuju generasi muda.  

Pak Samad turut menekankan bahawa membaca itu mengasah fikiran. Jika tidak membaca pasti pengetahuan akan berkurang. Tidak ada maklumat. Otak akan jadi beku dan jiwa jadi malas. Akibatnya kita akan melihat satu kumpulan masyarakat yang moyok dan tidak bertenaga.   

Sasterawan ini juga menyentuh bahawa pada masa lalu menulis adalah satu perjuangan. Beliau menjadikan Pak Sako, Ibrahim Yaakub dan ramai lagi sebagai contoh terbaik.  

  Apakah sekarang ini orang menulis merupakan satu perjuangan juga? Pak Samad hanya tersenyum ketika soalan sedemikian itu diajukan kepadanya.  

Menurutnya perjuangan sekarang berbeza dengan masa yang lalu. Pada masa sekarang seseorang lebih memikirkan apakah keuntungan yang bakal digarap hasil dari kerja yang dilaksanakannya.   

Mungkin zaman sudah beredar dan masa pula pastinya banyak berubah. Banyak tuntutan yang mesti diisi. Walaupun terlalu banyak peluang yang terbuka namun cabarannya pula tinggi dan orang sekarang sudah ramai.  

Pak Samad menyatakan menulis zaman sekarang bukan seperti zaman dahulu. Pasti sahaja sekarang kita sudah mula memikirkan ganjaran ketika menulis.  

Malah menulis juga memerlukan modal yang tinggi terutama jika kita menjalankan atau membuat satu-satu penyelidikan.   

Bagi Pak Samad dia telah menjalani satu masa yang amat payah namun segala cabaran telah berjaya dihadapinya.   

Begitu juga teman-temannya yang lain, baik yang masih ada mahu pun yang sudah pergi. Kini tinggallah angkatan baru untuk menyambung dengan cara pendekatan yang lain pula.   

Pak Samad menyelesaikan Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka dan kini buku itu seperti teks kepada pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan.  

Beliau mengusahakan buku itu dari tulisan jawi kepada tulisan rumi. Malah, ramai yang berpendapat versi yang diusahakan oleh Pak Samad itu lebih bermakna dibandingkan versi yang diusahakan oleh Shellabear.  

Memikirkan banyak perkara yang perlu ditinjau dan dikaji kembalilah maka Pak Samad mengambil daya usaha merumikan naskhah Sejarah Melayu yang dimaksudkan itu.  

  Antara perkara yang besar ialah tentang perkara siapakah yang bertikam dengan Hang Tuah dalam kisah penderhakaan yang diceritakan. Naskhah yang diusahakan oleh Shellabear menyatakan Hang Kasturi yang bertikam dengan Hang Tuah.   

Manakala, dalam cerita yang tersohor, Hang Jebat bertikam dengan Hang Tuah. Naskhah yang diusahakan oleh Pak Samad menyatakan yang bertikam dengan Hang Tuah ialah Hang Jebat dan bukannya Hang Kasturi.   

Meneliti Sejarah Melayu yang diusahakan oleh Pak Samad ternyata kita menemui beberapa hal yang penting dalam pembinaan dan perkembangan budaya Melayu.   

Wajar benarlah buku itu menjadi buku teks untuk mata pelajaran sastera bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan.   

Pak Samad beranggapan bahawa usaha yang telah dilaksanakannya itu adalah untuk kepentingan bangsa dan tanah air.   

Di mana lagi bakal dirujuk oleh generasi masa hadapan tentang budaya Melayu yang mutlak selain daripada Sejarah Melayu yang telah diusahakannya itu.  

Benarlah sebahagian yang telah dinyatakan oleh Tun Seri Lanang dalam permulaan hikayat tersebut bahawa buku itu bakal menjadi ingatan anak cucu yang akan datang dan semoga beroleh faedah apabila membacanya. Apakah ganjaran untuk seorang yang berjuang dengan pena?   

Ternyata Pak Samad tidak memikirkan itu semua. Beliau cukup sederhana dan cukup bersyukur dengan apa yang telah didapatinya.  

Pak Samad terlalu rindu dengan teman-teman yang lain. Menurutnya jarang benar teman-teman datang menziarahinya.   

''Mungkin mereka sibuk,'' katanya.   

Ketika melangkah untuk meninggalkan pintu rumahnya, dia masih lagi berkata:  

''Pin, datanglah lagi ya!'' suaranya terdengar sayu dan hiba.  


BALIK