DANGDUT AMAL DEWIL

Oleh: Fudzail


Boleh dikatakan semua akhbar, majalah dan TV menyiarkan berita itu. Sensasi. Terkini. Menggemparkan. Sesuatu yang selama ini terpinggir dalam arus perdana muzik tanahair. Terutama selepas anugerah AIM yang seakan menganaktirikan satu dari irama Malaysia.

"Konsert Amal Dewil di London!"

Wajah Dewil terpampang besar diiringi pengurus yang juga teman lelakinya, Dewata (nama sebenar Kartono) di KLIA seakan peristiwa terpenting minggu itu. Setelah kegemparan catuan air dan kebakaran hutan bukan lagi berita yang menarik. Sudah jadi biasa dan sebahagian dari angkara El-Nino. Bersama kegawatan ekonomi yang sama menjadi fenomena pusingan ekonomi global. "Saya akan memperkenalkan dangdut versi alternatif ke peringkat antarabangsa sambil sama memperkenalkan Malaysia ke seluruh dunia!" Bersemangat Dewil, ratu dangdut alternatif yang bermekap tebal dan memakai pakaian dangdut, menampakkan hampir keseluruhan bentuk tubuhnya. "Sudah sampai masanya muzik ciptaan Malaysia dipasarkan secara meluas. Seperti raggae, bhangra dan macarena yang dapat diterima oleh masyarakat Barat. Lagipun dalam era globalisasi ini dan keadaan semasa dengan kegawatan ekonomi, kita artis-artis mesti lebih kreatif!" Dewil, nama sebenar Dewi Liana (Dewil adalah sebutan pelat sejak kecil) bercakap perlahan-lahan kerana kata-kata itu

hafalan skrip yang ditulis oleh Eksekutif Promosi syarikat piring hitamnya. Untuk menampakkan sedikit kecendiakawan dan keilmuan seorang artis dangdut alternatif dengan kelulusan SPM gred tiga. Yang pernah bekerja menjaga tandas awam dan GRO sebelum ditemui oleh Dewata yang sedang mabuk-mabuk mencari ilham di sebuah karaoke. Pancaran cahaya dari lampu kamera jurugambar terus berkelipan. "Langkah pertama saya ialah dengan mengadakan sebuah konsert amal untuk tabung bantuan pelajar-pelajar kita di London. Apa salahnya kita membuat amal jariah dalam menangani masalah para pelajar kita yang bakal menjadi para pemimpin masa depan! Mungkin juga boleh mempromosikan SUKOM!" Beriya-iya Dewil menonjol-nonjolkan keprihatinannya. Mungkin setelah kejayaan tiga albumnya yang mencecah ratusan ribu. Dengan platinum berganda. Yang lirik-liriknya lebih banyak "Ah! Ah! Ah!" atau "Ewa! Ewa!" dan perkataan-perkataan berunsur VHS (Vulgar, Horror, Sex) yang mungkin lebih difahami oleh mereka yang datang dari seberang. Yang menjadi pembeli dan peminat utama dangdut alternatif. Sambil memandang manja ke arah Dewata, Dewil berkata perlahan. "Sayangnya Dewata yang telah menaikkan nama saya dengan dangdut alternatif ini tidak dapat bersama di London nanti kerana kesibukan dengan album terbarunya!" Para wartawan yang menggerumi mereka mengangguk. Seorang wartawan tiba-tiba mencelah nakal. "Bukan kerana Dewata hanya mempunyai SPLP, tidak boleh buat paspot antarabangsa?" Merah padam muka Dewata yang sebenarnya sebahagian dari 2 juta pendatang mencari rezeki di bumi Malaysia. Dari menjadi tukang masak,  berjaya mencuri hati isteri majikannya yang kebetulan seorang artis. Kemudian berkahwin dengan artis tersebut (setelah artis itu mengandung dua bulan hasil dari perkongsian rohani dan jasmani).   Dewata kemudian menceraikan artis itu setelah mendapat kad pengenalan merah dan menempa nama dengan lagu-lagu dangdut alternatif. Setelah matlamat utamanya berhasil. Lagipun artis itu telah berusia empat puluhan lebih. Mungkin sudah menopause. Sedangkan Dewata baru masuk awal tigapuluhan. Masih kuat dan bertenaga. Itulah tarikan peribadi Dewil pada Dewata selain pengalaman. Kini Dewata menjadi salah seorang produser rebutan, sebagai penggerak dangdut alternatif yang utama. Seakan namanya senonim dengan dangdut alternatif.

"Benarkah begitu Dewata?" Wartawan itu terus mendesak dalam keadaan yang tiba-tiba sunyi dengan sedikit ketegangan. Dewata yang cuba menahan marah dari dalam menampakkan wajah bersahaja, mencari idea untuk memberi alasan. Wartawan tersebut memang sudah lama menyimpan soalan tersebut sejak Dewata semakin angkuh dengan 'kerakyatan' Malaysia yang didakwanya. Dan pertanyaan itu seakan diberi jawaban secara tidak langsung bersama pecah ketawa bila Dewil yang cuba menutup sesuatu tidak semena-mena menjawab dalam bahasa Inggeris dengan serius, "Please do not drop his water face lah! He got red passport already lah!". London.

"Mana pergi si Dewil ni, tak nampak batang hidung?" Tanya Zack atau nama sebenar Zakaria, ketua penganjur "Konsert Unplugged Dangdut Amal Dewil - ratu dangdut alternatif - Untuk Tabung Siswa London", setelah menunggu begitu lama di lobi hotel. Dia nampak risau sungguh. "Tak balik shopping lagilah tu!" Jawab setiausaha, Ebby atau nama sebenar Abu Bakar sambil merungut. Menunggu sejak awal pagi. Dewil berjanji sewaktu perbincangan secara MOU melalui telefon tempoh hari, setelah dibawa membeli-belah dan bersiar tiga hari berturut-turut serata London, Dewil akan berlatih. Berlatih bersama kugiran bidan terjun dari kalangan para pelajar Malaysia yang berminat dengan muzik. Selain dengan tape 'minus-one'.  

"Banyak juga duit si Dewil ni untuk dihabiskan!" Zack membebel. "Kaya sangat ke penyanyi dangdut alternatif?"

Kedua-dua Zack dan Ebby telah di'swasta'kan, yakni di tarik biasiswa setelah gagal dua kali berturut-turut. Konsert yang akan berlangsung di sebuah dewan kecil besoknya itu memang amat bermakna untuk mereka. Perancangan awal secara rambang menunjukkan ada sambutan ramai. Mungkin kerana perkataan "amal" yang menjadikan segalanya nampak begitu suci murni. Kegawatan ekonomi dan menurunan nilai ringgit berbanding pound British memang menyukarkan. Terutama buat pelajar swasta yang terpaksa berbelanja lebih. Apalagi buat mereka yang seperti Jack dan Ebby yang sekian lama bermewah dengan duit rakyat atas nama biasiswa. Atas nama bumiputera. Kemudian mempersiakan peluang dan duit oleh pemikiran yang pendek dan dangkal.  

"Memang ramai artis-artis kita ni buruk perangai macam hisap dadah dan tidak berdisplin. Ramai yang semata-mata nak glamour tanpa bakat dan ilmu, malah bila popular sikit macam sudah jadi raja. Tengoklah, hari semalam beriya-iya janji kali akhir untuk membeli-belah!" Ebby sama berleter.  Zack ketawa tiba-tiba. Ebby yang sudah mencuka wajahnya keheranan. Ada dua tiga wajah berpaling mendengar gelak Zack yang seakan bernada marah. "Berapa banyak dia melebur di Oxford Street pun aku tak tahu, mungkin dia beli barangan buatan Malaysia di Harrods kot untuk dibawa balik. Menunjukkan semangat patriotisme dan mengalirkan ringgit kembali ke Malaysia!"

Mereka tergelak. Mungkin sebetulnya sama saja perangai keduanya dengan ramai artis Malaysia. Tiada tanggungjawab terhadap bangsa dan negara, selain meruntuhkan banyak nilai moral dan budaya. Zack dan Ebby sejak dari A-level lagi sudah menunjukkan kejalangan, ponteng kelas sebagai hobi. Sedangkan wang rakyat yang menjadi pertaruhan masa depan sama dihabiskan di tempat-tempat hiburan. Tanpa rasa bersalah.

"Kau tengoklah gaya Dewil tu, pergi London macam segala-galanya. Buat konsert dekat dewan kampung pinggir London macam dekat Royal Albert Hall. Satu Malaysia gempak, buat konsert di London! Bertaraf antarabangsa, boleh dapat anugerah. Hebat!'

Mereka terus ketawa. Menghibur kemarahan. Seperti biasa, dalam seronok mengumpat.

"Yang lagi kelakar, kalau penonton tu Mat Salleh tak apa juga, balik-balik muka Jawa macam kita! Muka pelajar yang tiada kerja lain. Balik Malaysia cerita punya gempak! Konsert sianu berjaya mencuri perhatian penonton London! Cerita sebulan pun tak habis lagi, di zaman Internet ini orang kampung pun lama-lama sudah tahu semuanya cerita propaganda, pembohong belaka!"

Berdekah-dekah ketawa Zack dan Ebby sebelum Dewil muncul dengan dua beg besar.

"Sorrylah brother, after concert I kena terus fly balik, takut no time to shopping!" Dewil beriya-iya memberi alasan terbaik. Sambil menarik nafas setelah tergesa-gesa bila teringat janjinya pada kedua penganjur separa-profesional itu. Selalunya dia memang tidak suka menepati janji kerana berjanji adalah untuk menyedapkan hati dan telinga orang sahaja. "Kita sudah tiada banyak masa Dewil, besok nak konsert, berlatih belum lagi!" Zack cuba memperlahankan suara walhal mahu saja dia mencekik leher Dewil yang berbaju-T dan berseluar jeans ketat. Apalagi melihat sikap acuh tak acuh dengan masa.

"No worrylah brother, I artis professional, relaxlah, I song my sing very well tanpa exerciselah..!"

Zack dan Ebby terkulat-kulat menahan ketawa. Memang Dewil menghiburkan apalagi bila bercakap dengan menggelek-gelek kemanjaan dan menggairahkan. Imej dangdut alternatif yang serba sumbang. Kuala Lumpur.

  Dewata terus memandu kereta sportsnya ke arah lebuh raya sebaik Dewil memunggah semua barangnya. Nasib baik tiada wartawan tahu kepulangan Dewil yang dicepatkan sehari kerana kad kredit  Dewil sudah maksima. Nak bayar sewa hotel pun tiada duit.

"Berapa dapat bayaran bersih?" tanya Dewata yang tiada lesen memandu itu sambil menjeling ke beberapa bahagian tubuh Dewil yang didedah-dedahkan. Yang selama ini bukan asing lagi dan sudah menjadi terlalu biasa. Mungkin berpisah selama lima hari menjadikan Dewata amat rindu pada sesuatu yang juga lama tidak dinikmati. Dewil mendengus. Bibirnya yang berwarna merah gelap muncung. Dewata terperanjat. Sangkaannya Dewil sudah tentu gembira dengan segalanya. "Kenapa?" tanya Dewata sambil tangan kirinya di peha Dewil. Dewil segera memasang api ke rokok jenama mahal yang dibeli di Heathrow dan terus menghembuskan asap semahunya. "Apa bayaran? Dia orang kata konsert amal! Apa nak ada bayaran?"

"Habis kata dulu semua tiket, penginapan dan makanan akan dibayar balik selain bayaran untuk persembahan?" Terbeliak mata Dewata sambil sama merokok. Dewil menghentak-hentak kakinya di lantai kereta. Meraung sekuat hati sehingga lagu terbaru duet mereka bertajuk "Memori Sebatang Pinang", yang leleh mendayu dari pemain keset kereta itu seakan lagu latarbelakang dari satu babak filem box-office terbaru, "Kaya dan Kayap II". Karya produser yang jadi jutawan dengan filem-filem jiwa-jiwa ala hindustan. Ala dangdut alternatif yang kosong dan hiburan tanpa wawasan. Yang tidak lagi relevan dengan wawasan 2020. London

"Tak cukup juga?"

Tanya Ebby dengan air liur yang meleleh. Zack menggeleng setelah berkali-kali membuat kiraan untung rugi. Mendengus sambil menghirup udara musim panas yang sepanas hatinya. Walau tidak sepanas Kuala Lumpur dengan segala bala dan bencana, tetapi cukup panas untuk menjadikan otaknya mendidih memikirkan perancangan yang tersasar.

"Apa nak cukup, dijangka sekurangnya lima ratus orang. Seorang bayar 10 pound, sudah kutip lima ribu. Yang datang 20 orang saja brother, apa yang cukup?" Konsert itu bukan saja membuatkan Dewil terpecah suara beberapa kali, tersalah 'key'  kerana tidak berlatih secukupnya, malah kedua penganjurnya terpaksa membayar sewa dewan dengan gigi. Kutipan kurang dari belanja bayar sewa. Perolehan negatif. Zack memandang jauh ke arah Tower Bridge. "Itupun kita tak bayar sesen pun pada Dewil!" Walaupun kiranya ramai yang datang, memang konsert amal itu tak lebih ambil saku kanan masuk saku kiri. Lainlah yang datang penduduk London yang bukan rakyat Malaysia. Lagipun sebenarnya keluar poket pelajar yang terpedaya dengan nama 'amal' ke poket Zack dan Ebby untuk membayar sewa rumah mereka yang tiga bulan tertunggak. Yang bermakna mereka berdua akan jadi 'homeless' baru di kota London bermula hari ini. Tiba-tiba Ebby ketawa macam orang hilang akal sambil bergelek sumbang dangdut alternatif. Dia menjerit-jerit seakan mahu terjun ke Sungai Thames yang berbayang seribu wajah bertopeng menggerikan. "Memang inilah konsert dangdut amal  si DEVIL, kau Dewil jahanam!"


BALIK