HERO

Oleh: Fudzail


Semuanya bermula dengan sebuah video. Dari cerita tentang seekor anak khinzir yang diangkat menjadi aktor utama. Ditambah dengan plot dan teknik yang baik.

Memang jalan ceritanya amat menarik. Cerita tentang haiwan, manusia dan alam sekeliling. Kehidupan dari kacamata haiwan. Karektor-karektor yang disalin dari kehidupan manusia. Begitu mudah diterjemahkan dan memang cukup menarik untuk kanak-kanak. Apalagi bila haiwan-haiwan itu nampak begitu hidup dan boleh berkata-kata.

"Anak aku hari-hari tengok video ini!" Sarji bangga bercerita. Aku terdiam.

"Malah dia dah boleh hafal babak-babak dan dialognya!" Sambung Sarji. Dan menjadikan seekor khinzir sebagai idola? Tanyaku sendiri. Sarji yang melihat aku terdiam, nampak terperanjat. Bagai membaca sesuatu yang bermain difikiranku.

"Lagipun filem ini membuatkan aku teringat masa kita menumpang di rumah keluarga angkat di New Zealand, di Wainuiomata. Kau tak ingat? Rumah di tengah ladang. Ternak kambing biri-biri. Perah susu lembu pagi-pagi sebelum ke sekolah!"

Memang filem itu membawa nostalgia di zaman persekolahan di New Zealand. Aku dan Sarji menumpang dengan pasangan petani tua yang tidak mempunyai anak, cuma dua ekor anjing dan ratusan kambing biri-biri. Nasib baik mereka tidak memelihara khinzir.

Dua tahun yang penuh pengalaman. Penuh suka duka, sebagai perantau ilmu yang masih hijau dengan kehidupan. Apalagi buat aku yang tidak pernah berpisah dengan keluarga.

"Kau ingat tak mak bapak angkat kita tu, Anne dan Ian dan dua ekor anjing?"Tanya Sarji.  

Suasana dalam filem itu yang berlatarbelakangkan kehidupan ladang di

Australia itu seakan membawa kami kembali ke zaman persekolahan. Karektor petani suami isteri itu juga hampir sama dengan Ian dan Anne. Malah dua ekor anjing yang menjadi pelakon pembantu dalam filem seakan melakonkan kembali sejarah kami.

Ian dan Anne memang terlalu menyayangi haiwan-haiwan peliharaannya, terutama anjing dua ekor itu. Yang selalu menyebabkan kami menyamak saban hari. Menyumpah-nyumpah pada the 'untouchables' yang kian dijauhi, kian mesra.

Aku mengangguk. "Entah-entah dah meninggal dunia agaknya?" "Mungkin, aku lepas balik Malaysia terus putus hubungan. Malas nak hantar surat! Kau macam mana?"

Sarji ketawa. "Engkau yang kat Malaysia pun aku tak hubungi. Apalagi dia orang!"

Kami ketawa. Sebenarnya kami baru bertemu sewaktu majlis REUNION baru-baru ini. Bertemu selepas sepuluh tahun berpisah. Kesibukan dengan karier masing-masing.  

"Tapi gambar-gambar dengan dia orang masih aku simpan baik-baik!" Sarji berkata dengan penuh semangat.

"Terutama ketika perah susu dan halau kambing biri-biri!" "Dan Herbert dan Herry, anjing bodoh yang selalu kita tendang tu!" Kami ketawa. Memang lucu mengenangkan semua itu.  

Dalam keadaan begitu fikiranku masih pada karektor khinzir yang menjadi hero. Betapa aku tidak menerima hakikat yang Sarji dapat menerima bulat-bulat filem itu! Malah gembira melihat anaknya itu menggemarinya. "Apa kau tak rasa bersalah melihat anak kau yang berusia empat tahun itu menjadikan seekor khinzir sebagai hero? Sebagai wira?" Tanyaku jujur. Sarji ketawa.

"Itu hanyalah sebuah filem. Dan kanak-kanak memang mudah terpikat dengan karektor haiwan yang dimanusiakan. Mickey Mouse, Donald Duck, Doraemon, Tom and Jerry, Sang Kancil, pelbagai lagi. Kebetulan filem itu heronya seekor anak khinzir. Lagipun ianya membawa watak yang mengajar kanak-kanak untuk berfikir, tentang setia kawan, tentang peradaban, tentang manusia sendiri!" Sarji menambah. "Aku sendiri tidak jemu menontonnya, mungkin filem ini membawa nostalgia!"

"Tidakkah engkau melihat kesan panjangnya? Dia akan menganggap khinzir itu haiwan yang sempurna, yang baik, yang boleh dijadikan kawan? Yang boleh dijadikan haiwan peliharaan?"

"Alah kau ni bukankah kanak-kanak macam tu! Sekejap saja, lepas tu lupalah dia!"

"Aku tidak bersetuju. Bila kau asyik ulang-ulang video itu, ianya akan kekal lebih lama dalam mindanya. Dia kenal khinzir lebih dulu dari alif ba ta, malah dari tuhannya, mungkin!"

"Inilah kau, aku ingat lepas jadi siswazah, dah jadi pengurus kanan ni fikiran kau lebih terbuka. Lebih rasional. Bukan jumud, membesarkan yang remeh-temeh. Bila orang bercakap tentang wawasan 2020, tentang MSC, globalisasi, internet, persaingan di dunia kompetitif. Dan kau terus saja membesarkan tentang sesuatu yang remeh-temeh!" "Kau tahu dalam agama tiada perkara remeh-temeh. Hukum tetap hukum. Khinzir tetap khinzir!"

Jawabku tegas.

Dia diam. Dan aku pun membatu. Kembali mengadap video. Sesekali tercuit juga perasaan melihat lakunan si anak khinzir.

Jauh dalam hati, aku terasa takut. Begitulah agenda besar zionis. Dengan pelbagai cara yang halus dan dibawah sedar menguasai minda kanak-kanak. Dari karektor-karektor hayalan seperti Power Rangers, Batman, Superman, X-Men, mereka bukan saja melalaikan kanak-kanak, tetapi memberi asas pada bentuk-bentuk berlainan yang lain. Menjadikan mereka terikat dengan segala bentuk hiburan yang datang dari 'storyboard' zionis. Tetapi adakah kita mempunyai pilihan dizaman tanpa sempadan ini? Selain pegangan yang mesti menjadi pendinding?

Aku tidak mahu hubungan yang kembali terjalin setelah terputus sekian lama menjadi renggang oleh isu seekor anak khinzir dalam sebuah filem Hollywood. Aku tahu dia tak mungkin dapat menerima pendapat aku. Sebagaimana dulu.  

Sesungguhnya dua tahun menumpang di rantauan memberi ruang untuk aku mengenal hati budi Sarji. Anak seorang pegawai tinggi kerajaan. Dia juga hasil produk sebuah sekolah menengah elit. Kini seorang arkitek dan rakan kongsi sebuah syarikat senibina. Profesional yang lahir dari semaian dasar ekonomi baru.

"Alah apa salahnya makan daging ni, darurat!" Beriya-iya Sarji menyuruh aku makan saja hidangan malam, hari pertama di rumah keluarga Smith. Sewaktu kami dihantar ke sebuah sekolah di luar bandaraya Wellington.

"Daging ni tak sembelih!" Bisikku dalam bahasa melayu. Cuba tersenyum pada Ian dan Anne yang kelihatan tertanya-tanya. Herbert dan Herry melingkar di bawah meja.

"Iyalah, ini bukan khinzir! Ini daging lembu, cuma tak sembelih!" Aku bertegas. Daging lembu tidak sembelih tetap haram. Lagipun aku boleh hidup lagi tanpa makan daging.

"Kenapa?" Tanya Ian padaku.

"Maafkan kami, orang Islam tidak boleh makan daging yang tidak disembelih secara Islam!" Aku berterus-terang walau mungkin membuatkan ibubapa angkatku itu akan berkecil hati. Sarji mendengus. Mungkin dia terlalu lapar.

"Oh, kami hanya diberitahu, orang Islam tidak makan daging khinzir!" Ian juga berterus-terang. Aku tidak salahkan dia kalau dia tidak tahu.  Anne melihatku dengan serbasalah. Mukanya berubah. Dia mungkin merasa amat bersalah. Sebenarnya aku juga begitu. Tetapi aku tak sanggup untuk menelan daging itu.

"Maafkan kami juga, kami tidak tahu!"

"Tak apa. Selama dua tahun mendatang, kita akan saling belajar budaya dan agama masing-masing!" Aku cuba berdiplomasi.

Sarji melihatku dengan tajam.

Dan dia terus saja mengunyah daging itu. Tanda protes. Ian dan Anne terkejut. Apalagi aku.

Sambil mengunyah, Sarji berkata. "Tetapi Islam juga membenarkan kami makan daging lembu yang tidak disembelih, juga khinzir kalau dalam darurat. Betul tak!" Tanyanya padaku. Sinis.

Ian dan Anne turut sama memandangku. Keliru.

Aku tersenyum, menyembunyikan perasaan marah bercampur malu. Aku tahu aku akan menghadapi masalah besar. Untuk mempertahankan pendirianku dan juga memberi gambaran yang baik tentang Islam.

Dan kini seolah-olah aku yang dalam keadaan defensif. "Ya, tetapi kita masih belum darurat. Boleh makan salad! tak mati tak makan daging!"

Malam pertama itu benar-benar memberi tanggapan pertama aku terhadap Sarji. Dan ianya kekal sehingga kini. Mungkin juga buat keluarga Smith yang pertama kali menerima dua orang anak angkat dari Malaysia. Yang beragama Islam.

Filem itu kembali membawa aku ke suasana itu.

"Kau ni ortodoks! Bagi aku islam itu tidak sesempit yang kau amalkan!" Hujahnya sewaktu kami sama-sama berjalan ke sekolah besoknya. Herbert dan Harry mengekor kami sampai ke sekolah. Malah menunggu kami balik sekolah juga.

"Terpulanglah pada kau. Bagiku kita perlu berterus-terang dengan Ian dan Anne. Apa yang kita tidak boleh makan, minum atau buat, kita kena beritahu. Wajib. Mereka juga ingin mempelajari budaya dan agama kita, sebagaimana kita juga ingin mengenali mereka. Kita tak perlu bertukar menjadi mereka!" Aku bukan juga dari golongan yang kuat agama. Tetapi kesedaranku semakin bertambah bila menghadapi situasi berbeza di rantauan. "Kita datang sini untuk belajar. Masuk kandang kambing, kita mengembek. Masuk kandang kerbau, kita menguak. Mengapa susahkan diri dengan remeh-temeh? Bukan begitu?"

"Itulah salahnya pepatah usang itu. Kenapa mesti begitu? Kita mesti juga mempertahankan pendirian kita. Di mana-mana juga, kita mesti tetap dengan pegangan kita walau remeh-temeh. Kerana mungkin remeh-temeh bagi kau, tidak bagi aku!"

Sarji terdiam.

"Lagipun, tuhan telah menjadikan manusia itu dari pelbagai budaya dan bangsa, agar kita lebih memahami antara satu sama lain. Ian dan Anne bukan dari golongan yang bodoh sombong. Mereka mahu mengenali kita dan kita tidak perlu takut dengan identiti kita!"

  Memang dua tahun menumpang di rumah keluarga Smith memberi banyak pengalaman baru. Sama ada kehidupan keluarga peladang New Zealand, menghayati dunia haiwan, mahupun hati budi seorang lain yang sebangsa. Sesungguhnya Sarji memang berfikiran terbuka dan tidak pernah ambil hati. Kami boleh bertengkar sepanjang hari membincangkan sesuatu isu, tetapi tidak pernah bergaduh dan tidak betegur sapa. Biar ada yang begitu sensitif untuk dipedebatkan. Walau apapun, Sarji bukan mudah menerima pendapat orang lain dan selalunya tidak mengubah fikirannya.

Kerana keterbukaannya itulah membuatkan aku selalu menjadi sahabat yang susah hati. Yang kekadang menjadi tunggul. Sekadar dapat melihat dengan hati yang cemas.

"Eh, masih menonton filem ini?" Tanyaku sewaktu mengunjungi Sarji sebulan kemudian.

Mungkin kebetulan anaknya sedang menonton filem yang sama. Entah buat ke berapa puluh kali. Sarji melihat aku dengan tersenyum. "Itu video baru. Yang lama sudah lunyai!"

Aku sekadar diam.

"Sudah jadi ketagih. Celik mata mesti nak tengok. Sebelum tidur pun mesti nak tengok!" Sarji terus bercerita. Bangga.

Sambil duduk mataku menoleh pada anaknya yang memeluk dan mencium sesuatu. Patung mainan.

"Babe! Babe!" Anaknya menyebut-nyebut.

Dan aku pun mengucap banyak-banyak. Ianya bukan perkara yang remeh-temeh lagi!  

Ianya sebuah patung khinzir. Hero filem itu!


BALIK