Montaj Pesona

Oleh: Mawar Shafie


“JANGAN mudah putus asa daripada rahmat Tuhan.” Kerap Ustaz kelas tafsir Quran berkata begitu pada setiap pagi minggu. Aku sesegera itu menghirup nafas dalam-dalam seraya menjatuhkan mata pada kereta yang sengaja kuletakkan di bawah lindungan pokok yang agak rendang. Ia kuletakkan di situ sementara ke toko buku yang berhampiran. Kemudian dalam terik matahari jam empat petang itu, aku masih dapat memerhatikan daun-daun kering yang luruh. Ada kalanya menimpa kepala kereta. Ada kalanya ia terus luruh ke tanah. Tetapi dalam terik itu juga dapat kuperhatikan ada daun-daun hijau segar yang baru hendak keluar dari celah dahannya.

Aku sempat melihat segalanya itu. Ya, aku sempat.Namun antara celahan daun-daun muda itu turut dapat aku petiakan justifikasi terhadap apa yang menimpa pundak fikir peribadiku selama ini. Betapa aku wajar menerima segala seadanya. Ya, segalanya sebagai satu fitrah. Sebagai qadar Tuhan pada setiap ciptaannya.

* * *

Ah! Murahan amat! Picisan sekali!

“Kau mungkin belum lagi memahami gerak dan tularannya di sana. Aduhai, ia sekarang ini dikatakan begitu mujarad dan penuh dengan kehalusan makna. Kau pun mungkin belum tahu lagi setiap inci pergerakannya meruat mana-mana saja mata hati yang mengalaminya. Ah, bukankah kau juga penggemar estetika yang begitu!”

Hah, hiperbola saja!

“Kau cuba dulu.”

“Tempat itu panas. Balasan Tuhan terhadap perlakuan yang dimurka.”

Dia ketawa besar. “Karut. Perasaan kau saja. Perancangan dan pembangunan yang tidak seimbang membuatkan Pulau jadi begitu. Justeru itu lembaga pengarah syarikat bersetuju untuk menghantar kau mengimbangi semula fenomena pembangunan yang keterlaluan di sana. Hello, kau pakar dalam falsafah alam sekitar, bukan? Pastinya ini satu cabaran yang begitu sensasi. Ayuh!”

Aku mencampakkan ingatan itu ke hujung sana. Jeti telah agak jauh ditinggalkan. Aku sengaja mengambil feri untuk ke Pulau, dan tidak terbang seperti biasa. Biar dapat kurasakan sendiri kesan peribadinya. Lagipun aku ke sini lebih tiga tahun lalu, meraikan ulangtahun perkahwinan kami. Entah bagaimana perubahan dan kesan itu. Ah, kepanasan bisa saja mematikan. Bukankah di benua jiran kiri dan kanan, kepanasan mengorbankan banyak nyawa. Begitu banyak juga anomali suhu dan episod ribut taufan, hujan lebat dan kemarau panjang. Segalanya berlaku dengan rakus. Dan pulau kecil ini tidak terkecuali daripada segala ketidakwajaran itu. Segala bentuk angin kerakusan dan kezaliman yang liar menular, benar-benar menyesakkan!

Panas.

Aku dapat merasakan angin rimas yang menjuak serta menampar-nampar muka. Aku mendongak. Matahari tidaklah sehebat mana. Malah ia terlindung di belakang awan yang agak tebal juga. Tapi masih terasa peritnya. Ah, bukankah lazimnya kerengsaan itu hadir apabila ada sesuatu yang dimurka Tuhan. Bukankah setiap inci rasa yang banyak gelisah dan nanar merupakan satu analogi kesalahan yang pernah dilakukan. Itu satu manifestasi mazmumah yang kian dianggap lumrah.

Ah, terlalu banyak misalannya!

"Kita hampir tiba di jeti, cik."

Aku menoleh sekilas. Lelaki berbadan kecil yang mungkin juga petugas feri, menegur ramah. Pantas segala dialog dan monolog tentang diri berkelewaran. Aku mengangguk dalam senyum basa-basi tanda terima kasih. Sebelum melangkah masuk ke perut feri semula, aku sempat melihat sebuah arca yang begitu lebar dan besar di jeti yang menyambut kami di sana. Ah, itu pastinya arca jentayu yang didirikan kurang lebih setahun lalu.

Sewaktu melepasi kawasan jeti, arca jentayu itu masih menarik mataku. Ya, ia sungguh besar. Sayapnya melebar ke kiri dan ke kanan begitu menyesakkan ruang fikiranku. Entah mengapa ia terasa begitu menganggu dengan tiba-tiba. Terasa ia seakan mahu membumikan fikiranku dengan lebar luas sayapnya itu. Ah! Aku terus dimamah nanar yang maha besar!

Rupa-rupanya arca jentayu itu terus-terusan berselerakan di setiap inci sudut kegelisahanku hingga tibanya kakiku di lobi hotel yang agak melebar. Rupanya ia benar-benar merincukan juzuk himpunan yang tersimpan lama. Ya, begitu lama sehingga aku jarang menoleh apalagi melakukan kerja-kerja ekskavasi - mencarigali kembali segala itu, sesuatu yang wajar kulakukan dalam satu jalur konsistensi.

Aku menghela nafas.

Masih basah kata-kata suamiku, “ingat kebarakahan dan kebahagiaan yang kita mohon bersama sejak awal lahir cinta. Rasa itu biar kita simpan sampai bila-bila. Kanda menerima segala seadanya, Sayang. Barang yang lepas jangan dikenang.”

Aku terkedu. Ah, suamiku yang baik!

Setelah meneguk air dari botol compliment, aku menyelak langsir tingkap kaca kamar hotel. Aku cuba menirustajamkan kesedaranku di sekitar kawasan belakang hotel. Segala yang di situ agak mengecewakan. Dari tingkat lima bangunan hotel ini aku dapat petiakan runtuhan bangunan-bangunan lama di kawasan itu. Agaknya. Masih ada sisa tembok bangunan yang tegak berdiri. Ada sebusut kayu-kayu dan papan-papan panjang. Turut kelihatan satu longgokan pasir di sudut kanan kawasan yang begitu merimaskan. Ia begitu mengilukan, aku fikir.

Segalanya cukup menimbulkan kerimasan dan mengilukan antara warna siang yang ceria dan terang dengan sekawasan runtuhan yang kian mencahang pandang. Aku menghela nafas yang agak panjang selepas itu. Apalagi apabila aku mendongak ke langit Pulau, segalanya seperti berbalam. Walau di seberang perbukitan sana masih dalam mataku, namun persis ada tabir halus dan nipis yang merayap antara bangunan hotel ini dengan segala apa yang ada di seberang sana.

Sesekali di langit Pulau ada beberapa ekor burung yang mendepakan sayap kecil mereka. Aku mengangguk sendiri. Semua itu seperti warna warni arca jentayu yang menebarkan sayap di kiri dan kanan di jeti tempat feri berhenti. Aku kian jadi keliru. Antara kecilnya sayap burung di langit Pulau dengan lebarnya sayap jentayu. Binasa segala yang ada. Mempesona segala yang ada. Aduh, kejam bukankah itu!

Jentayu?

Seketika datanglah seekor burung jentayu itu. Maka bertemulah keduanya menyambar denan paruhnya, berkibar-kibaran dengan sayapnya, terlalulah amat berdahanam gemuruh bunyinya di udara itu. Hairanlah segala yang melihat burung kedua itu berperang; jikalau burung garuda di atas burung jentayu memagut-magut serta keluar dari mulutnya api menyala-nyala. Terbakarlah burung jentayu itu lalu hilanglah kembali kepada tarkasnya.

Aku kembali kepada jauhnya jarak daripada gravitasi kekinianku. Atas nama kekinian itu aku terkedu. Aku pernah jadi jentayu itu. Aku pernah begitu. Di Laut Kuala Changgung milik Raja Kelinggi, akulah antagonis yang cuba meranapkan kepercayaan bahawa ketentuan Tuhan itu tidak wajar ditentang. Ya, akulah jentayu itu. Jentayu yang pernah menghumban makna kemurnian jauh ke dasar lantai haloba dan kepentingan diri. Hingga kini.

“Senioriti. Itu yang mereka dakwa sebelum ini. Kita siapa, okay, budak hingusan, bukan? Ini urusan kami, pernah mereka berkata begitu pada aku dahulu, betul?”

“Sudahlah. Itu cerita lama. Apa yang penting Pulau. Sudah jadi apa sekarang?”

“Aku peduli apa!”

“Bawa istighfar. Ini habluminannas, kawan. Niat untuk Allah.”

“Aku bukan berdendam. Tapi aku hendak mereka bertanggungjawab atas apa yang mereka lakukan selama ini. Semua the bread and butter economic forces ini bukan urusan kita. Hello, mereka pernah hidup untuk kepentingan diri sendiri. Sedangkan kita pada waktu itu setengah mati ingin merancang agenda hidup yang penuh jalur jujur dan murni di sana sini. Dan, hei, ingat kita dikatakan punca pesona!”

“Ah, kau terlalu mengikut perasaan.”

“Dan kau bercakap macamlah kau tidak ada perasaan!”

“Maksud aku....”

“Kau mula lupakan sejarah, kalau ia dapat dinamakan sebagai sejarah. Kita pernah jadi bahan pesona di Padang Mat Sirat. Kita tidak sudah-sudah dikatakan menjadi busur yang melepaskan panah pesona kepada spesies Deramang. Dan akhirnya kau pun tahu, bukan, tombak sakti yang menghukum keperitan pesona, terpaksa menimpa pundak lemah kita. Malangnya segala pesona itu berlanjutan hingga ke hari ini. Hello, atau kau sudah mula lupa itu semua.”

Aku terkedu terus.

Bukan pada aku saja pesona menimpa; malangnya. Lewat minggu sudah, Zah, rakan akrab yang bergelar pengarang alias pencinta sekitaran turut ditimpa pesona. Rintihnya, “kami tidak diiktiraf lagi. Untuk kami hak menyimpan gelar Pengarang Negara, belum layak, kata mereka. Entah bila. Sedang mereka terus mengumpul gelar itu dan ini dengan rakus dan tidak pernah hendak berhenti. Sementara kami terus menjadi mangsa pesona itu, kau tahu. Terus begitu. Shit!” Terbayang aku wajah rafik berambut pendek itu; begitu cekal mengarang sejak zaman sekolah lagi.

Dan baru pagi ini, tiba di kamar kerja, aku menyelak warkah mel di dada monitor. Nota pendek dari teman sekampus yang kini menjawat tugas pegawai domestik alias suri rumah sepenuh masa mengocakkan kesabaranku. Adunya, aku fikir duduk di rumah dengan tugas domestik terhad begini, aku akan terselamat daripada pesona yang kian menular di luar. Hah, rupanya aku turut dijamah pesona itu, kawan. Aku dikatakan mengambil kesempatan atas nama suami (somebody?) untuk memasarkan keringat dalam syarikat cottage kami. Huh!

Dan aku?

Hah, pesona juga. Apa tidaknya. Dulu dipesona sebagai budak hingusan dalam plan pembangunan Pulau. Dan kini, ho ho! “Hei, nak cuba balas dendam?” Pesona lagi.

“Dana geran penyelidikan dan pembangunan sebanyak RM25 juta sudah kita perolehi. Yang penting sekarang sebagai wakil syarikat kau turun padang untuk melihat apa yang sedang berlaku dan pasti saja tindakan selanjutnya berbuat sesuatu untuk menyelamatkan Pulau!”

Hah!

Teringat aku pada kata-kata Ustaz kelas tafsir pagi mingguku, “wanita memang punca banyak pesona sejak Hawa lagi.” Dan ia begitu membuat aku terus terkaku. Batu. Justeru itu zalimkah aku? Hah!

* * *

”Taubat?”

Aku mengangguk tanpa mengangkat muka. Ada beberapa keping halaman akhbar yang berselerakan di meja bayaran itu. Mukaku panas. Pelik sangatkah subjek buku yang kutanyakan itu. Semerta terbayang wajah sejuk suamiku. Aku menolak diri sedikit ke tepi, memberi jalan kepadanya. Kulihat dia sekejap di rak itu dan kemudian ke rak sana. “Hei, ada buku tentang taubat tak?” Jeritnya ke arah belakang kedai. Mukaku panas lagi. Mungkin dia bertanya kepada si rakan di bahagian stor. Senyap.

Aku masih menanti.

“Kak, ini bukunya.”

Aku menyambut. Senyum. Ternyata itu yang kuinginkan. Kucari. Kuperlukan. Sesuatu yang kuyakin bukan lagi efemeral. Fana. Bukan lagi pesona.

Noktah.


BALIK