MONTAJ NASUHA

Oleh: Mawar Shafie


“KEHIDUPAN adalah trek pencarian yang tak sudah.”

Hah! Kata-kata itu segera mengingatkan aku kepada Thia, seorang kenalan free thinker di Southampton yang kerap mengepit al Quran dan Injil ke mana saja perginya. Apatah lagi dia sering senang sendiri di pojok terlindung chaplaincy di school kami. Atau pernah dia meminta izin untuk menumpangbelek kitab-kitab versi Inggeris di mussola yang hanya beberapa meter dari chaplaincy. Thia, memang seorang manusia pencari yang aku kenali. Berbalik kepada kata-kata itu aku akan menyudahkan dengan, “Ia akan bernoktah juga.” Hah, aku berjaya membuat Thia menoleh untuk beberapa kali.

Kurang daripada sebulan aku kembali semula ke jabatan dan Dia akan muncul dengan garis wajah yang keruh. Dan pagi itu begitu keruh. Punggungnya mengambil tempat di kerusi rehat kanvasku dan sebelum itu tangan berjemari agak runcingnya sempat menarik beberapa kertas tisu di sudut kanan meja kerjaku (kertas tisu yang selama ini kugunakan untuk kerja melukis plan yang comot). Dan Dia akan mula terkedu tanpa berkata apa-apa. Dan aku dengan mudah menghulur lagi tisu yang masih berbaki untuknya.

Aku membiarkan Dia sehingga, “Dia kata aku bodoh, Yang.”

“Aku fikir bukan dimaksudkan kau, tapi plan yang kau sediakan.”

“Tiada bezanya, bukan,” Dia menyeka hidungnya yang masih basah lalu menyambung,”Plan itu bodoh, katanya. Dan plan itu aku yang siapkan. Bukankah bermakna aku yang membuatnya turut bodoh.” Hah, Dia makin rancak menyeka hidung tirus dan mata cantiknya. Aku tidak lagi menghulur tisu, sebaliknya menyua segelas air putih milikku yang belum diusik. Kata orang, satu dua teguk air akan menenangkan. Aku harap begitu. Dia sambut. Lembut.

“Setiap awal pagi ketika mula memandu ke pejabat, aku selalu mengucapkan terima kasih kepada Tuhan kerana menciptakan matahari baru untukku. Lalu aku mengharapkan segala yang indah akan menjadi milik bersama sepanjang hari itu. Tapi hari ini, oh Yang, aku lupa. Aku lupa untuk melakukan rutin itu. Aku terlewat bangkit dari ranjang semalam kerana menyiapkan pembentangan plan pagi ini. Dan dalam buru-buru itu aku memandu tanpa apa-apa ucapan untuk Tuhanku”.

“Aku fikir Dia sudah cukup insaf. Kau tahu sepanjang setahun kau berada di Warwick, Dia mengalami trauma yang amat dahsyat yang begitu menggemparkan.” Ya, air putih itu agak membantu, Dia menyambung, “Dia hampir kehilangan diri. Berat badannya turun dengan begitu mendadak. Dia hilang selera makan yang drastik sekali, Yang. Kau tahu hampir semua makanan tidak dapat dijamahnya. Bagaimana Dia mahu menelan segalanya apabila semua yang dihidu berbau darah.” Ada jeda yang pendek, lalu disambungnya, “Air susu yang cuba menggantikan diet seimbangnya, dilihat sebagai air merah pekat dan berbau, wek, memedukan!”

Aku menelan air liur untuk beberapa kali.

Sejurus itu terpanggil aku untuk menjenguk cerita Brother Asraf di mussola school lamaku. Ceritanya agak persis. Seorang ahli korporat yang akhirnya menemui ajal kerana apa saja makanan yang dilihat semuanya darah. Dia bukan mati kelaparan tetapi akibat serangan jantung yang bukan kepalang hebatnya.

“Akhirnya melalui seorang alim yang dibawa sama menyelidiki kasus tersebut, Dia didapati belum pernah mengenepikan hasil pendapatannya untuk fakir dan mereka yang memerlukan.”

Aku terkasima.

“Tapi Dia sudah menunaikan umrah dan haji lebih daripada dua kali aku kira.”

“Menggunakan wang yang bukan haknya.”

Hah, aku menghela nafas yang berekor.

Terbayang lagi akan Thia. Perempuan kelahiran kota London yang kerap bertanya itu ini. Dan pernah bertanya tentang alms dan alms tax (zakat). Aku memanjang apa yang aku jelas tentang itu. Terbayang juga seorang kenalan dari Brussels, Daphne Mengal Abdullah yang berasa takut dan penuh rasa bersalah ketika tiba di hadapan Baitullah. Takut tidak diterima dan rasa bersalah atas segala dosa. Allahu akhbar! Itu baru Daphne Mengal Abdullah yang baru setahun dua bersama Islam. Bagaimana dengan Dia yang Islam sejak dilahirkan. Ho ho, usianya kini kurang lebih separuh abad, aku kira!

“Aku sebagai pekerjanya tidak pula pernah mendoakan yang bukan-bukan untuk ketua sendiri. Hei, kita wajar mengharapkan kebaikan untuk orang lain dan diri sendiri, bukan?” Dia senyum untuk pertama kalinya sepanjang berada di kamar kerjaku ini. Kemudian Dia menyambung lagi, “Tapi aku sering tidak memahaminya, Yang. Kadangkala Dia manusia yang okay tetapi....” Dia terhenti di situ. Ah! Kau juga sedang mencari-cari.

Aku sekali sekali menyelak halaman buku catatan kerja. Wajah Dia, ketua jabatan kami berkelewaran di sini sana. Mencelahselit antara timbunan kertas dan deretan buku-buku. Sebenarnya aku agak baru dengannya. Semasa pemergianku ke Warwick untuk program kursus kerja selama setahun, jabatan masih di bawah pentadbiran ketua lama. Tamat kontrak, diganti dengan Dia. Namun seperti kata Dia sebagai jurubina syarikat yang bertanggungjawab menyediakan plan bangunan baru blok pameran, “Dia manusia okay. Kadangkala.”

“Minggu pertama aku di sini, kita mengadakan mesyuarat kewangan, kau hadir sama, bukan?” Tanpa menungu Dia mengangguk aku berdiri menghampiri jendela kaca kamar kerjaku yang sebahagian besarnya kusangkut dengan langsir putih jernih. Ia pemberian seorang pensyarah Inggeris muslim yang sempat kukenali semasa berada di Nottingham. “Dia ada sebut fasal pembekuan untuk kita dapatkan kemudahan yang bersifat nice to have. Malah yang good to have pun mungkin tidak lagi. Sekarang semuanya yang must to have. Maklum kedudukan matawang kita. Sebarang kegiatan di luar dengarnya pun dibekukan.”

“Atau yang mereka katakan sebagai ditangguhkan?” Dia meledakkan ketawa dengan tiba-tiba. Aku menoleh. Dia kemudian bangkit dari kerusi rehat kanvasku. Harum pewanginya yang manis dan tajam itu, menjamah sel-sel organ bauan. Pasti saja pewangi kiriman kekasih barunya dari negara Menara Eiffel. Sebelum ini Dia kerap juga menerima bungkusan istimewa pewangi dari kekasih pertamanya, warga Amerika Latin. Hah, perempuan berkekasih antarabangsa. Gelaran nakal kami untuknya. Dia cantik. Beraut wajah putih kuning, ada iras perempuan Timur Tengah. “Aku orang Malaysia.” Biasanya cepat Dia mematikan usikan yang begitu dengan pengakuan yang sedemikian.

“Begitulah. Elaun tiga peratus dicantas. Aku dengar dari jabatan kewangan syarikat kemungkinan besar pameran sulung efemeral kita, ehemmm, ditangguhkan.” Aku terlongo. Dia mengangguk. Aku untuk sekian kali meneguk air liur untuk beberapa kali.

“Tapi kerja sudah hampir separuh berjalan. It is something that we must to have, man.” Aku tersedar akan frekuensi suaraku yang tiba-tiba meninggi. Hah, sejak di Warwick lagi banyak kerja yang sudah bermula. Hasil kerjaku sendiri dan kerja-kerja dari senarai artis jemputanku. Waduh bagaimana harus kukhabarkan kepada teman antropologis Burkina Wuli yang akan membawa hasil seni efemeral terdiri daripada perempuan-perempuan Tuareg dan Furah dari Nigeria, Sunflowers dan Nest dari Nils Udo. Apa pula kata Wolfgang Laib yang sedang sibuk mengaut debunga dandelion untuk Sifting Hazelnut Pollennya. Waduh!

“Tuhan sedang mendidik kita.”

Hello, itu kata-kata signifikan. Kata-kataku juga ketika Thia bertanya tentang ibadah menahan lapar dan dahaga pada al mubarak lalu, kau tahu. Yap, Tuhan sedang mendidik kita sebenarnya. Mungkin Dia, ketua jabatan kami itu hanya sebagai wadah, sebagai alat untuk mendidik. Bukankah umat Muhammad seharusnya bersederhana dalam apa juga tindakan dalam hidup. Aku sebenarnya agak terusik apabila dimaklumi selama ini terlalu banyak yang nice to have dimiliki mereka yang berada di atas. Aku baru sedar dan tahu. Kalau hingga ke sini ke sana berambil dan berhantar sedangkan punya kemudahan mobiliti milik sendiri, hei, pergi sendiri saja. Kita belum layak dan tidak layak untuk menghambakan orang lain. Kita ini hamba semulajadi, bukan? Hah, aku sedar tanganku terketar.

Hello, ini benar-benar ujian Tuhan. Benar-benar. Setiap pencarian untuk sesuatu yang mahal tidak semudah yang difikirkan. Pasti saja ia satu jalan yang maha sulit dan menyukarkan. Ada orang kata, jiwa itulah tebusan untuk mendapatkannya. Mencabar, bukan? Namun ada pula suara yang memujuk: Jangan pula berputus asa daripada rahmat-Nya. Ini hanya tempat menyinggah. Transit. Ini mandala sementara kita.

Hah, sementara. Efemeral. Segalanya bukankah bersifat efemeral. Seperti Red on Green oleh Anya Gallaccio, Germania oleh Hans Havacke atau We are leaving here forever oleh Ilya Kabakov yang pernah aku lihat di sebuah tapak galeri di Austria. Fana. Sementara. Mana ada yang kekal kecuali Dia. Aku mencampakkan mata ke seberang perbukitan sana.

“Ingatan bahawa esok kita akan mati merupakan satu falsafah yang amat bistari.” Teringat sekali lagi cerita Brother Asraf rupa-rupanya Izrail menziarahi manusia tujuh puluh kali satu hari dan dia hanya memerlukan satu arahan dari Tuhan sama ada akan ditarikrakus nafas kita atau kita masih diberi secuplik masa. Aku hampir saja tergugu apabila memikirkan di luar sedar selama ini ada yang menjenguk diri tujuh puluh kali sehari. Masya Allah.

“Ingin saja aku jadi watak fiktif pemahat batu nisan dalam Di Negeri Belalang Anwar Ridhwan. Aku turut mengharapkan agar genta tembaga yang disangkut seperti yang dilakukan si pemahat nisan itu, apabila disapa pawana liar akan menghasilkan nada gemerincing yang mengingatkan aku pada setiap ziarah yang hadir.” Dia senyum pendek mendengar itu.

“Kau lihat di luar sana,” aku menyua arah ke perbukitan. Di kaki bukit berketinggian sederhana itu kelihatan tidak henti-henti kenderaan berlari. “Terlalu banyak nikmat yang Tuhan telah kurniakan. Dan kita masih begini. Sukar sekali mengucap terima kasih buat Tuhan. Nah, kini terimalah akibatnya.”

“Kau tahu untuk ke luar negara hatta untuk beribadah umrah pun dibekukan. Maksudku perlu ditangguhkan. Hei, bayangkan hukuman Tuhan untuk kita hamba-Nya yang kufur nikmat ini. Nikmat beribadah pun mula Tuhan ambil daripada kita. Sebab kita terlalu berkira dengan Tuhan sendiri. Kita banyak mempersoalkan hukum hakam Tuhan. Hingga merasakan kita lebih tahu apa yang terbaik untuk diri. Astagfirullah.... ” Itu kata-kata seorang teman sejabatan yang duduk di sebelah waktu mesyuarat kewangan berlangsung.

“Oh Tuhan, terima kasih dengan matahari barumu untuk kami hari ini. Terima kasih Tuhan. Terima kasih.” Aku mengaut nafas yang dalam dan panjang apabila mendengar suara Dia sebelum meninggalkan kamar kerjaku. Aku tidak pasti sama ada tisu kerjaku atau air putih itu atau apa yang berjaya mengembalikan dirinya. Atau mungkin saja episod trauma ketua jabatan kami yang sempat kucuridengar, “Itulah hukuman Tuhan buatnya kerana melanggar fitrah. Konon boleh hidup sendiri. Konon hidup tidak perlu anak dan isteri,” telah berjaya mengembalikan segala-gala untuk menjadi haknya yang sementara.

* * *

Dan aku persis dikhabarkan pawana yang maha halus dengan paduan tenunan pengertian dari kota London. Pagi itu juga aku menerima kartu cantik bergariskan urna sculpture Ernst Barlach yang bertajuk The Reunion. Persis aku terdengar lagi suara tinta Thia. Bunyinya, “Aku masih mencari. Ia belum bernoktah lagi, Yang.”


BALIK