WARISAN TAN SRI LAGENDA

Oleh: Fudzail


Ianya adalah sebuah perisian yang telah dibangunkan di zaman kegemilangan komputer Commodore. Komputer awal dengan perkakasan dan perisian legasi. Hampir tiga puluh tahun dahulu. Tahun lapan puluhan sebelum berakhir abad 20. Di hujung alaf 1000 yang dikatakan menjana industri teknologi maklumat. Dikatakan ujudnya budaya baru yang bernama IT. Sama menjadi aspirasi wawasan sebuah negara maya yang merdeka dari kolonialisme.

Ianya telah juga wafat bersama pepijat alaf. Tepat jam 0.01, saat peralihan dari tahun 1999 ke tahun 2000. Bersama masalah Y2K yang diceritakan dalam teks-teks sejarah di arkib web telah menelan trillion ringgit dalam pembaziran, semata-mata untuk memuliharakan komputer yang tidak memahami kedatangan tahun 2000.

Dikatakan juga pepijat alaf bermula bersama industri dan budaya IT sendiri. Bermula dengan kegopohan manusia untuk menjimatkan pelaburan membina sistem-sistem komputer. Menyelamatkan dua digit untuk tahun yang boleh menjimatkan ruang aksara dan seterusnya menjimatkan wang. Walau akhirnya penjimatan itu bertukar sebagai kos pemuliharaan yang jauh lebih tinggi selain masalah yang tidak habis-habis sehingga kini, menjelang 2020. Dia pun salah satu mangsa pepijat alaf yang wafat sebelum waktunya. Walau diakhir kegemilangannya, dengan kedatangan pelbagai perisian baru yang lebih canggih waktu itu, dia telah dicemuh-cemuhkan oleh para peminat setianya sendiri. Dikatakan telah tidak relevan lagi di zaman yang begitu berdaya saing. Perisian yang sudah lapuk dan tidak pragmatik. Tidak canggih!

Apalagi untuk bersaing dengan produk perisian multimedia dan serba berorientasikan Internet yang tiba-tiba memenuhi pasaran. Dengan keangkuhan empayar Microsoft (yang kini memerintah puluhan buah negara termasuk mempunyai kuasa veto di PBB, UNESCO, WHO, Majlis Keselamatan, Pentagon, CIA, Jabatan Keadilan Amerika dan lain-lain secara komersil dan politik) menakluki setiap ruang maya. Dengan kedatangan dan kepupusan Java yang dulunya menjanjikan dunia serba gemilang berasaskan satu bahasa perisian. Dia memang beransur tenggelam dengan segala keterbatasan dunia serba kekurangan komputer Commodore. Tetapi ianya sudah cukup mesra pelanggan. Dengan gaya persembahan yang hampir kepada pengguna dan lebih mendekati masyarakat sezaman.

Kerana itulah dia telah menjadi lagenda setelah kewafatannya. Tiba-tiba seluruh ahli masyarakat maya merasa rindu pada ketiadaannya. Merasa kehilangan besar pada negara maya yang kini hilang sebuah perisian penghibur bertaraf perisian agung! Seakan-akan masih belum ada pengganti setarafnya mahupun menghampiri kehebatannya yang versatil. Serba boleh! Lantas setelah 13 tahun dia terkubur dalam dunia maya,, negara telah menganugerahkan pingat bergelar Tan Sri. Sesuatu yang tidak pula mendapat tentangan sesiapa kerana dia dikatakan memang layak untuk anugerah itu, walau dia telah lama wafat bersama segala kegemilangan yang mungkin melebihi mitos dari hakikat. Satu fenomena yang menjadi warisan Melayu dalam arkib maya online.

Maka semua orang mengenalinya sebagai Tan Sri Lagenda. Perisian Agung Nusantara yang evergreen! Walau sebenarnya banyak perkara yang diungkit-ungkit mengenai Tan Sri Lagenda tidak lebih dari cerita-cerita yang sama. Dikupas dari perspektif yang sempit. Di ulas dari sudut-sudut yang kadangkala melucukan. Tidak berilmu dan bersifat stereotaip manusia Melayu yang suka membesar-besarkan perkara kecil kerana perasaan rendah diri yang terus menghantui wawasan 2020.

"Dia perisian istimewa yang tiada tolok bandingnya dalam dunia Melayu. Seperti Hang Tuah, dia akan hidup selama-lamanya dalam pemikiran orang-orang Melayu. Malah lebih besar lagi kerana dia adalah wira bangsa teragung diakhir alaf 1000. Dia akan hidup lebih seribu tahun lagi hingga ke alaf 3000, 4000 atau hingga kiamat! Kerana pepijat alaf telah menjadi mitos semata-mata!"

Sepatah kata editor majalah humor IT on-line yang membuat liputan besar-besar sempena ulang tahun kewafatannya yang disambut setiap tahun. Yang sebenarnya tidak pernah hidup di zaman kegemilangan Tan Sri Lagenda. Editor itu sendiri tidak pernah menggunakan perisian Tan Sri Lagenda kerana dia telah dewasa dalam dunia aplikasi MSC yang dibanjiri dengan perisian impot yang jauh lebih kedepan dalam serba serbi.

Dengan perisian aplikasi buatan tempatan terkini yang lahir dari anak-anak pasca DEB. Yang bangkit bersama kegawatan ekonomi akhir abad 20 dan alaf 1000, dengan segala pembongkaran kedurjanaan para autokrasi politik dan pengamal demokrasi berteras kapitalis. Walau tiada yang dapat menandingi kehebatan Tan Sri Lagenda dari segi keMelayuannya.

"Siapa tidak terhibur dengan persembahan komedi luar biasa perisian Tan Sri Lagenda yang terus diulang tayang dalam Internet berulang-ulang kali. Yang terus menjadi pilihan nombor satu pengguna software-on-demand. Masih dalam senarai pilihan majoriti. Mungkin untuk bernostalgia tentang orang Melayu yang dulunya lebih lemah lembut dan berbudaya. Untuk terus ketawa dengan segala kekurangan mereka (orang Melayu) yang semakin ketara, bukan sahaja kini kehilangan realiti maya, bahkan kehilangan realiti!"

Ungkapan Dr. Alif Ba Ta seorang profesor undang-undang siber dan kedoktoran tele-kesihatan yang menjadi presiden seumur hidup UEMNO (United Ex-Malay Netizen Organisation atau secara kasarnya dalam Bahasa Melayu, Pertubuhan Warga Internet Bekas-Bekas Bangsa Melayu Bersatu) di laman web resmi mereka.

Laman web itu ditaja oleh sebuah syarikat berjenama minuman keras yang ekuiti besarnya dipegang oleh UEMNO. Selain mempunyai iklan-iklan komersil dari ratusan syarikat ahli-ahli yang menguasai Bursa Saham di beberapa negara digital. Berasaskan konsep suku-sakat ekonomi dan kronisme yang tidak pernah lekang bersama zaman. Sentiasa menjadi pegangan manusia yang berkuasa dan mahu terus berkuasa. Yang lupa pada pembahagian secara adil dan saksama bila kuasa adalah sebahagian dari kehidupan madani siber. Dr. Alif Ba Ta terus sinis dan menghina dalam memperkatakan tentang Tan Sri Lagenda di sidang-video yang dipancarkan secara langsung ke serata dunia maya. Walau lain-lain rangkaian media on-line berterusan mengangkat Tan Sri Lagenda dengan segala taburan puji-pujian, seakan perisian Tan Sri Lagenda tiada cacat celanya. Melebihi taraf wali dan pemimpin nasionalis yang mati tanpa gelaran semata-mata kerana mereka bukan dari golongan pemerintah. "Oleh kerana Tan Sri Lagenda sudah menjadi sinonim dengan industri IT Melayu, ianya telah diangkat oleh mereka yang sezaman dan generasi berikutnya, seakan-akan perisian Tan Sri Lagenda satu-satunya penggerak dunia IT Melayu. Segala hitam putih kelabu adalah Tan Sri Lagenda. Semua orang tahu ianya keterlaluan apalagi yang menonjol-nonjolkan Tan Sri Lagenda secara superfisial berlebih-lebihan ini adalah mereka yang tidak berfikiran tinggi. Yang minda mereka dipenuhi dengan konsep subsidi dan fahaman pra-DEB atau semangat 46 dengan Malayan Union, dengan segala mitos kehebatan orang Melayu dari zaman dinasor, malah bukan pakar IT dalam erti kata akademik dan profesional, yang hakikatnya tidak layak untuk dijadikan suara majoriti dalam menentukan sama ada perisian Tan Sri Lagenda itu bertaraf "Maha Agung", "Perisian Agung", "Perisian Terbaik Sepanjang Zaman" mahupun dianugerahkan gelaran Tan Sri itu sendiri. Tetapi itulah sifat, sikap, wacana dan wawasan orang Melayu! Masih ditahap membangun walau negara telah diiktiraf sebagai negara maju secara maya!"

Ahli UEMNO yang dikatakan berjumlah juta-jutaan dari kalangan warga Internet itu tidak putus-putus memberi tepukan sambil menjerit Hidup Dr. Alif Ba Ta! Hidup UEMNO! Walau bukan secara fizikal, tetapi secara menekan ikon-ikon "Tepukan", "Hidup Bos!" dan "Hidup UEMNO" yang terpampang di layar komputer.

Walau Dr. Alif Ba Ta sebagai presiden seumur hidup sebenarnya lebih banyak menyeleweng dari gagasan perjuangan manusia siber yang hidup dipenuh igauan realiti maya. Tetapi kebijaksaannya mengapi-apikan isu yang tidak berkaitan langsung dengan kegawatan politik dalaman UEMNO seperti isu Tan Sri Lagenda berjaya menutup kelemahan kepimpinan mayanya.

Secara spekulasi, timbalan presiden yang memperjuangkan nahdah kebangkitan minda berakhlak, Dr. Al-Farabi dikatakan tidak sabar menunggu kewafatannya untuk mengisi kerusi presiden seumur hidup UEMNO. Apalagi sikap autokrasi Dr. Alif Ba Ta semakin menjadi-jadi. Sedangkan usia Dr. Farabi juga semakin lanjut dan mungkin tidak sempat menjadi presiden seumur hidup! Apalagi suku-sakat Dr. Alif Ba Ta kian berakar umbi dengan budaya politik wang elektronik. Kian gah dengan globalisasi untuk mengaut keuntungan peribadi dengan pelbagai jenama. Topeng-topeng kapitalis di dunia perdagangan elektronik.

Sememangnya Tan Sri Lagenda adalah juga scapegoat pada setiap yang tidak kena dengan warisan wawasan dunia siber. Ramai yang melekeh-lekeh Tan Sri Lagenda untuk mempromosikan perisian sendiri. Untuk menonjolkan kehebatan yang sebenarnya sama sahaja dengan perisian Tan Sri Lagenda, tidak seberapa mutunya!

Sehingga tiba perhimpunan kemuncak Perisian Nusantara yang menawarkan Trofi Tan Sri Lagenda untuk perisian paling hebat sepanjang dekad 10han alaf 2000. Seorang profesor psikologi wanita siber yang juga pengkritik perisian bertaraf universal, Dr. Puteri Diyana Al-Dodi, Melayu berdarah campur keturunan Palestin dan Bosnia membentangkan kertas kerja paling kontraversial di alaf ini.

Kertas Kerja bertajuk "WARISAN TAN SRI LAGENDA - SATU KENYATAAN PAHIT" memaparkan apa yang selama ini seakan tabu dalam masyarakat Melayu dunia maya. Yang cuba dielakkan dari diperkatakan secara terus terang kerana tidak mahu dianggap menderhaka.

"Tan Sri Lagenda sebenarnya bukanlah perisian teragung Melayu. Hakikatnya Tan Sri Lagenda merupakan perisian yang dibina oleh para pendatang asing tanpa izin yang membanjiri semenanjung dengan segala kepakaran luar pada waktu itu. Malah tuan punya syarikat yang membangunkannya dan memegang hakciptanya masih berpengkalan di Hong Kong!"

Dr. Puteri Diyana Al-Dodi memang seorang pakar yang cukup disegani. Yang lahir dari tadika bestari, sekolah bestari, universiti bestari dan masyarakat bestari madani siber. Hujah-hujahnya yang serentak dipancarkan melalui laman webnya sendiri itu berasaskan kajian peribadi selama 10 tahun dari pelbagai sumber. Keyakinannya tergambar melalui senarai hypertext markup link sebagai sumber rujukan.

"Tokeh itu yang mulanya papa kedana kemudian membangunkan perisian-perisian bertaraf dunia dengan hasil perisian Tan Sri Lagenda dan kini menguasai pasaran perisian Asia. Pelaburan dari orang-orang Melayu yang terus memuja-muja perisian Tan Sri Lagenda seakan satu pendewaaan wajib dengan membeli apa saja produk nostalgia Tan Sri Lagenda. Walhal Warisan Tan Sri Lagenda dengan royalti puluhan juta ringgit bukan juga hak orang Melayu, seperti mana banyak syarikat yang dulu dilahirkan oleh penswastaan! Marilah bersama-sama, kita wafatkan saja Tan Sri Lagenda dengan segala mitos kegemilangan kerana semua itu adalah satu konspirasi antarabangsa! Ayuh kita bunuh Tan Sri Lagenda demi masa depan generasi kita!"

Tiba-tiba kegawatan ekonomi siber yang melanda dunia elektronik akhir tahun-tahun 10han alaf 2000 ini, (dengan penurunan nilai matawang bestari elektronik yang terus dikuasai oleh masyarakat kapitalis Barat) terus menjurus masalah yang lebih besar.

Mereka yang kononnya mewakili suara baru reformasi dunia maya orang-orang Melayu asal, mahu menjadikan Tan Sri Lagenda sebagai ikon lagenda utama untuk menaikkan semula pertumbuhan ekonomi, nampaknya terus tidak mampu untuk menyekat pembongkaran fakta ini dari melumpuhkan segala perancangan yang ada. Membantutkan agenda pemulihan anjakan paradigma yang tersasar seperti banyak projek mega atas nama bumiputera (perkataan lama yang telah tidak digunakan lagi).

Tiba-tiba juga sebahagian besar masyarakat siber Nusantara mula menyedari yang Tan Sri Lagenda hanyalah sebuah perisian! Makhluk ciptaan makhluk bernama manusia dari pemikiran manusia untuk manusia dan tidak lebih dari itu! Perisian lapuk dan tidak berfungsi apa-apa.

Maka serentak menjelang tahun baru 2020 ini, Tan Sri Lagenda benar-benar wafat secara resmi setelah kewafatannya oleh fenomena pepijat alaf di akhir alaf 1000 seakan menghidupkannya sebagai perisian lagenda! Kini Tan Sri Lagenda terpaksa dibunuh demi sebuah generasi yang belum tentu wujud! Hidup Tan Sri Lagenda! (Opps!!!!)


BALIK