ZEL

Oleh: Mawar Shafie


“BERKOMPROMI sikit dalam hidup.”

“Jangan jadi wanita batu granit. Keras!” Tambahnya. Ketawa berdekah.

“Hah?!!!”

Aku sengaja membulatkan mata antara cermin mata yang terpasang. Zel masih ketawa besar. Entah apa yang menggelikan sangat. Sesekali tangannya ke belakang, menyanggul kembali rambutnya yang panjang dan lebat. Rambut yang kerap terurai itu.

“Zel, kau tidak mengerti. Ah! Aku kecewa.”

Zel gelak lagi.

“Aku selalu mencuba untuk tidak ikut arah kompas keinginanku sendiri. Aku malah kian akur untuk menerima arah tunjuk kompas orang lain. Tapi nampaknya arah kompas milik lain itu semacam menunjuk pada horison yang simpang siur. Penuh orak ariknya. Dan aku yang cuba memaksa diri untuk menerimanya, begitu perlu banyak beralah dengan bersetuju, sedangkan....”

“Aha... itulah erti hidup yang sebenar. Perlu banyak beralah. Tahu?” Kemudian sambungnya, “Atau pura-pura beralah.”

“Zelda!”

Aku menghela nafas yang berekor. Sesekali mataku jatuh pada dada kanvas lukisan Zel yang masih basah. Entah apa yang sedang dicalitnya. Ah, aku sememangnya kerap tidak dapat menerima gerak arah mata berus dan sketsanya. Entah apa-apa.

“Entah ya, sama ada lukisanku yang penuh garis rencam atau entah fikiranmu yang begitu rencam untuk membuat tanggapan warna warna ini.” Pernah Zel mengusik begitu sambil terbongkok-bongkok membersihkan berus catnya di dalam bekas air yang diletak di hujung lantai galeri. “Hei, sudah. Ayuh, jangan banyak melamun. Lihat tu, daun-daun merah pun riang untuk melayang ke sini sana, walau ia akan jadi kering dan garing dipijak hari petang. Dan kau pula, hah, lelah walau baru sekali dicubit rasa perempuanmu. Hah, murahan sekali!” p

Ya, dan aku pernah memaki dalam hati apabila Zel, si pelukis alias penyair itu mencemuh begitu. Tapi hari demi hari aku dapat menelan segala apa yang dikatanya. Sekerap itu juga aku memerhatikan gerak layang daun-daun merah di luar tingkap kaca pojok galeri ini. Benar kata Zel, daun-daun merah yang mati itu masih mampu untuk riang melayang. Sedangkan aku yang masih boleh menghirup makna hidup terkuis-kuis dengan rasa pesimis.

“Hei, kau pernah dengar nama Zaalouk dengan Desert Ritualsnya? Atau Delacroix yang kerap memfiguratifkan garisan urna makna hidup di pinggir Sahara. Atau si....”

“Hello, kau lupa yang aku seorang arkeologis. Mana aku kenal kaum kerabat kau itu.” Ternyata Zel seperti lazim menyahut dengusanku dengan gelak lagi. Kemudian semakin pantas berus dan cat airnya menari-nari di dada kanvas yang sengaja disandarkan pada tembok pojok khusus untuknya melukis. Aku menjeling ke luar. Daun-daun merah masih kelihatan riang melayang.

“Oh ya? Maafkan aku,” Zel mengheret senyumnya, “Maksudku begini. Delacroix selalu menanggap padang pasir itu persis metafora kepada pelukis untuk cuba membuat sintesis bahawa ia sesuatu yang dapat dilihat atau yang tidak dapat dilihat. Antara figuratif dengan mujarad. Atau materi dengan cahaya.”

Aku terlongo.

“Pernah dalam sebuah lukisannya, seorang lelaki Tuareg digariskan sebagai manusia berjubah dengan kepalanya ditutupi chech putih atau hitam. Itu personifikasi keunggulan lelaki mereka. Manusia Tuareg ini diurnakan sebagai manusia biru. Tuhan Sahara yang masih dianggap misteri.”

Aku tersandar.

“Kita akan dibawa terus ke sebuah oasis. Turut meninggalkan desa purba jauh di belakang. Tapi pewarnaan cahaya yang penuh estetik dengan tiba-tiba saja akan digegarkan dengan serangan garis lain, ya ribut pasir. Dan di hujung lakaran akan dicalitkan matahari senja dengan garis-garis merah dan kuning tua. Hah, tragis, bukan? Mukadimah hidup yang cerah dan segar disudahi dengan rusuhan perasaan yang, hei, boleh mematikan, kau tahu!”

Aku sedar, Zel kecewa lagi.

Zel pastinya kecewa apabila melihat mukaku yang tidak pernah mahu faham akan tanggapan peribadinya pada sebarang garis atau calitan warna-warna di mana-mana pameran lukisan atau arca yang sempat dilawatinya. Dan aku bukan saja mengecewakan Zel sekali ini. Sudah banyak kali. Dan teman itu seakan tidak putus asa akan terus bercerita dengan nada melankolik (kadang-kadang hingga terpaksa kuhulurkan kotak tisu). Atau kadang-kadang Zel akan bercerita dengan bersungguh-sungguh, sedangkan aku hanya mampu untuk terlongo.

Tapi hari ini kisah Delacroix, Zaalouk, Tuareg atau padang pasir itu dapat kuhidu akan harum keakrabannya. Atau sebenarnya Zel benar-benar bercerita untuk aku berfikir. Untuk aku menaakul biografi diri sendiri. Atau aku sebenarnya yang digambarkan oleh Zel sebagai orang Tuareg. Mengembara dari dalam diri dan kemudiannya keluar. Berjumpa itu ini. Kemudian dilonggokkan dengan pelbagai kekangan. Dan akhirnya aku bertemu dengan usia tuaku yang diwarnakan Zel atau si Delacroix dengan cat merah dan kuning tua.

Aduhai, bukankah selama ini aku yang bodoh menanggap ini juga pernah ke barat Mauritaria atau setidak-tidaknya membuka buku tentang Rigestan, Admer atau Sahara. Hah, bukankah aku pernah berkata sendiri: padang pasir itu benar-benar fenomena alam yang menggetarkan. Bukankah ia mewakili alam semulajadi sebelum wujudnya manusia dan ia juga mewakili suasana apabila manusia mula tiada. Padang pasir sebenarnya penuh siratan makna kepada manusia universal. Aku pernah berkata begitu.

Tesisku tentang anatomi buccofaringeal, sebelum ini bukankah turut mengakrabkanku dengan padang pasir yang diceritakan Zel itu. Penemuanku ke atas thermosbaenacea di daerah pemandian Rom itu sewajarnya aku jadikan bahan penghayatan seperti yang dilakukan oleh Zel ke atas lakaran warna Delacroix. Aku tidak harus sekadar seronok mengembara. Aku seharusnya menyusun piramid keinginan untuk tahu dan seterusnya menerangkan ilmu. Menerangkan kebenaran. Perlakuan yang kuanggap sebagai razzia1 di padang pasir itu hanya akan terus menjahilkan aku. Aku sedar itu. Justifikasinya aku mesti lari daripada garis-garis konvensional Delacroix serta tanggapan Zel tentang homogeneity manusia akan menjumpai usia merah dan kuning tua mereka!

Daun-daun merah masih riang melayang. Tapi sudah banyak juga yang kulihat menutupi sebahagian permukaan tanah yang sebelum ini ada tompokan hijau rumput. “Kau lihat rumput hijau atau daun merah?” Zel tiba-tiba bersuara setelah kembali ke pojok ini dengan dua cangkir nescafe yang masih hangat berasap nipis. Zel menghulur secangkir.

Lewat petang Sabtu begini galeri Zel memang ditutup, setelah dibuka dari pagi Isnin sepuluh pagi hingga jam enam petang. Selain melukis on live, Zel turut mempamerjual lukisan dan arcanya serta terbitan tulisannya yang lain. Perempuan yang masih sendiri itu mula kukenali semasa di kampus lagi. Senior beberapa tahun yang kerap kutemui di meja tambur kafeteria sambil melakar warna itu dan ini. Dan sejak akhir-akhir ini kami kerap bertemu hampir setiap minggu sama ada di kelas tafsir Quran awal pagi minggu atau paling tidak di sini, di pojok galerinya ini.

Sejak itu kami akrab.

Terasa ada yang selari. Terasa ada yang dapat digandingkan antara kami. Terasa ada yang kufikirkan turut menjadi bahan fikirnya juga. Dia meneruskan kerja sendiri dengan membuka galeri ini setelah menamatkan kontrak perkhidmatan dengan Jabatan Kesenian yang membiayai pengajiannya. Entah dari mana diperolehi modal awal untuk menampung diri dan galeri. Bila kutanya, Zel selalu akan menjawab, “Modal? Rajin dan berani.” Aku mengangguk. Aku akur dengan jawapan itu. Aku dapat melihat dua modal itu dalam dirinya. Zel! p

Zel memang perempuan rajin dan berani. Hanya aku yang masih tidak begitu. Zel pernah mengusik, “Tidak. Kau sebenarnya rajin tapi penakut. Macam tikus!”

Dan aku menepis, “Dan kau berani sangat?”

Zel ketawa berdekah. “Tentu, sebab itu hingga kini aku masih sendiri!”

Zelda!

Aku pula menyertai Jabatan Arkeologi selepas menamatkan tesis peringkat sarjana. Dan di sini juga aku berjaya meneruskan kedoktoranku. Justeru ijazah yang bakal kuterima itu Zel menggelarku, doktor muda. Kegiatan harian sebagai penyelidik begitu menyegarkan dan amat menjuakkan semangat kerjaku pada awalnya. Kerja-kerja menganalisis di makmal serta kerja membaca di antara rak-rak buku, cukup membuat aku menjadi perakam waktu yang begitu pantas.

Mana tidaknya dalam kesibukan kerja menyelidik, aku turut mengaut sebanyak mungkin data kajian tesisku Itu belum masalah peribadi lain yang sedikit sebanyak mengikat aku dengan agak ketat. Namun hari demi hari aku dapati semakin kerap perlakuan dan tindakanku mencapah dari garisan rasionalnya.

“Kau tidak harus menyalahkan orang lain atau keadaan. Bukankah diri kau sendiri yang berhak menentukan segala bentuk tindakan.” Zel seperti tahu-tahu, bersuara perlahan selepas menyisip nescafe dari cangkir birunya. Ada keseriusan dalam nada suara perempuan berwajah jernih itu.

“Kau pun tahu Zel, ketuaku itu menghadapi tekanan yang begitu merengsakan selepas kematian anak gadis kesayangannya. Anak gadis tunggalnya. Dan aku yang termuda di jabatan, mungkin seusia dengan arwahnya, menjadi mangsa. Semua yang kulakukan nampaknya bodoh di mata ketuaku itu. Aku dimaklumkan sebelum ini projek ekskavasi di tapak istana lama itu dijalankan oleh arwahnya. Ah! Gila aku dibuatnya, Zel. Gila! Aku tidak mahu jadi ribut pasir dalam dairi ketuaku itu. Sebaliknya aku juga tidak mahu dia jadi ribut pasir yang maha ganas dalam hidup harianku di jabatan. Aku amat menyayangi kerjayaku, Zel. Aku serius. Tapi aku tidak mahu akhirnya nanti aku berjumpa warna merah dan kuning tua yang kusam di hujung nafasku nanti. Oh, come on, aku bukan anak dia!”

Kali ini Zel yang ternganga.

Benar, aku sudah cukup sabar sebenarnya. Tiga tahun bersama ketua yang seusia dengan Abah itu kerap membuat aku jadi rengsa hampir setiap hari. Syukur saja pada tahun-tahun pengajian kedoktoranku ini, aku diminta melengkapi kursus elektif yang memerlukan aku untuk menetap di kampus induk. Ini bermakna aku tidak perlu berjumpa wajah ketuaku yang sakit tenat itu setiap hari. Paling tidak hanya beberapa kali dalam sebulan. Lega.

Pagi ini dia buat hal lagi. Semua helaian kertas projek ekskavasi di tapak istana lama yang telah kusediakan, dicampak ke lantai pejabatnya. Semua ahli kumpulan kerja tarik muka empat belas. Dan aku? Aku juga yang menjadi mangsa untuk sekian kalinya.

“Hilang sabar aku, Zel. Dia gila, Zel. Psychosis.”

“Oh, itu ribut pasir yang maha hebat yang pernah melanda kau, kan?” Zel ketawa lagi. Hah, Zel ketawa? Manusia apa dia itu? Aku serius. Benar-benar serius.

“Sudahlah, kadangkala kita yang terpaksa harus faham dengan karenah ketua dari spesies begitu.” Akhirnya Zel bersuara begitu.

“Atau sebenarnya dia menghadapi konflik gender?”

“Konflik gender?”

“Hello, kau tidak tahu sindrom itu kian meruncing di mana-mana pejabat sekarang ni.”

Zel berhenti daripada memegang berus. Dia ketawa berdekah. Rambutnya terurai lagi. Mungkin terlalu banyak gerak daripada ketawanya itu. Ah! Aku mencampakkan mata ke luar sana. Ke padang yang ada pohon berdaun merah. Buat masa ini tiada daun merah yang riang melayang. Mungkin cukup untuk petang yang kian sudah ini. Konflik gender? Betul begitu. Di mana-mana saja. Bukan saja aku, kawan-kawan lain juga. Nel baru saja mengadu tentang ketua bahagiannya yang kerap menghentam pegawai wanita di meja mesyuarat. Zef pula merungut tentang ketua jabatannya yang pandang seratus lapan puluh darjah pada staf lelaki. Atau kes Wid, pensyarah muda yang hampir lemas dengan sekitaran masculinity di fakultinya. Ah! Ribut pasir yang maha ganas!

Ho, ho mungkin itu juga yang membuat semakin banyak orang suka sendiri daripada berdua. Lihat saja contoh terhampir ini. Zel. Tragis sungguh kisah cinta pertama dan terakhirnya. Lelaki dari benua seberang itu rupa-rupanya berasa tewas dengan kesungguhan Zel membina makna hidup. Menjelang perpisahan mereka, si hacker itu masih sempat meninggalkan zuriat yang Zel anggap pada awal sebagai kelahiran di luar rela. Namun anak yang tidak berdosa itu lebih disayangi Tuhan beberapa hari selepas dikurung dalam inkubator. Si hacker itu! Ya, macam hacker komputer yang bersifat menceroboh yang bukan haknya!

“Hei doktor muda!”

Aku menoleh. Zel sudah bangkit. Lama agaknya. Dia berjalan menuju ke suis lampu pojok melukisnya ini. Nescafe di cangkir sudah lama dingin. Sama dinginnya dengan ruang galeri Zel.

“Hampir maghrib. Ayuh singgah di masjid sebelah. Solat jemaah.”

Aku turut bangkit. Sempat kutoleh sekilas pada kanvas Zel yang sejak tadi tidak sudah-sudah diusik oleh berus cat airnya. Aku hampir saja terkedu. Untuk pertama kalinya aku dapat melihat sesuatu dari garis-garis itu. Ada arca seseorang di hujung sebuah horison. Nampaknya seperti padang pasir. Entah Mauritaria, Rigestan, Admer atau Sahara. Tapi yang pasti aku dapat menanggap di akhir perjalanan meninggalkan oasis, ada urna putih cerah yang ceria. Bukan merah atau kuning tua. Zel!

Sewaktu kami menyeberangi padang kecil untuk ke masjid yang berhampiran, aku dapat mendengar garing daun merah yang berselerakan di tanah. Begitu azan bersahutan, Zel dan aku sama-sama berbisik, “Tuhan yang Maha Besar!”


BALIK