PEREMPUAN ROTI CANAI

Oleh: Faisal Tehrani


"CERITALAH." desak Gabriel tidak sabar.

"Perempuan roti canai itu tiba-tiba sahaja muncul, tanpa berkata apa-apa, duduk di sebelahku."

Memang dia diwarnai berus resah dengan perempuan bermuka roti canai. Bulat, matanya besar, tompok-tompok coklat bersepahan di seluruh muka berminyak, berurat dan timbul tenggelam seperti permukaan roti garing, sejak di lapangan terbang Kuala Lumpur tadi.

Pesawat itu naik perlahan, berdesing. Perempuan roti canai mengisar punggung, mengerang. Kini semua mereka di udara. Isyarat tali pinggang bercantum terpadam.

Pramugari mulai ke hulu-hilir. Bibo mengangkat muka, menoleh ke arah pemuda di seberang sana. Pemuda tersenyum menjadi pelakon Matt Damon secara mendadak. Bibo terbelalak, memandang lebih bersungguh dan pemuda tersenyum itu kini Leonardo diCaprio. Bibo telan air liur, memicit urat kepala. Bau roti canai mencucuk.

Segera dia tunduk, berusaha mengeluarkan buku dari beg sandangnya. Perempan roti canai beberapa kali mengisar punggung dan menatap helaian album. Bibo kini berusaha melupakan sekeliling yang mulai dirasakannya amat aneh. Buku di tangan, Generation: A Collection Of Contemporary Malaysian Ideas, rampaian catatan Amir Muhammad, Kam Raslan dan Sheryll Stothard. Bibo sedang membaca ayat pertama dari tulisan Amir Muhammad - A Khinzir's Eye View Of The World.

Nada berbisik, dia membaca: Have you heard the word khinzir yet? It's the new Malay term - probably from the Arabic; I don't know - for sus scrofa or pig. Bibo terbeliak. Seekor babi bermuncung panjang tiba-tiba melompat keluar dari helaian buku, tergelak riang. Bibo menggosok mata. Jantung berdebar kencang, pantas dia menutup buku. Babi hilang, perlahan dibuka, babi itu muncul semula. Ini benar-benar aneh. Dia terpandangkan pemuda di seberang. Tiada Matt Damon atau diCaprio. Shahrukh Khan bintang filem Hindi sedang melambai kepadanya. Beberapa kali dia cuba mengamati, kalau-kalaulah Bangla yang dikenalinya pula, tetapi kini dia pasti, Salman Khan sedang menyeringai.

"Awak tak apa-apa?" tanya perempuan roti canai.

Jadi roti canai ini boleh bercakap?

"Saya nak tanya awak sesuatu…" perempuan roti canai menyeluruhi wajah Bibo yang terkebil-kebil.

"…saya Puan X…"

"Puan X?" Bibo berkerut, spontan dia terbayangkan naskah cerpen Generasi X karya Hizairi Othman dari kumpulan cerita-cerita sains fiksyen Spesimen Beta.

"Kadang-kadang mereka terlanjur nakal memanggil saya XXX, kih..kih…kih, itu sudah melampau bukan! Saya dah nampak awak di Institut HELP tempoh hari…tapi tak berani tegur, atau, saya nampak awak tergesa-gesa. Lebih-lebih lagi…"

Memang dia dan Hizairi ada menonton sebuah filem Perancis - Le Hussard Sur le toit - di situ dua tiga hari lepas.

"…awak bersama dengan kawan awak waktu itu. Awak penulis buku-buku politik yang paling saya gemari!" pengakuan jujur si roti canai. Pramugara bertubuh sedap dan berwajah redup menghulur jus oren. Bibo berhenti bernafas. Kecamuk bengang. Apakah pesawat ini sedang menuju ke dunia tidak wujud seperti yang sering dibaca anaknya dalam majalah Mastika atau Variasari?

"Awak tahu saya setuju dengan pandangan awak yang ekonomi anak beranaklah punca kejatuhan teruk ekonomi Indonesia dan err, ekonomi negara kita juga…."

"Ekonomi berteras nepotisme, oppss…opsss…ini kena censor kan, ini X, ehh, ini XXX!" dan ketawa meledak-ledak bertempiaran bunyinya. Seorang pramugari bermuka Pamela Anderson tetapi bertubuh Whoopi Goldberg nyata agak terkejut dengan ketawa besar-besar bergelombang begitu. Dia lekas mengisyaratkan supaya senyap. Perempuan roti canai diam mendadak dan angguk berkali-kali tetapi masih membiarkan tawa yang belum tenggelam lemas, timbul tercungap sekali-sekala.

"Tapi saya kira tak apa bercakap hal-hal XXX ini kerana kita dalam penerbangan fantasi, tiada siapa berhak mendakwa kita."

"Err, untuk selamatkan sebuah syarikat korporat dengan hutang ratusan billion, Memanda Bendahara A harus memaksa syarikat carigali minyak dan gas negara - syarikat B - untuk menolong syarikat anaknya si C yang tidak lagi dapat bertahan. Kalau ikut logik akal tak ada sebab syarikat B nak beli sebuah syarikat yang bermasalah dan berhutang gila babi seperti itu tetapi apa nak buat, ini syarikat si C. Bila orang macam Encik Bibo bising dan tulis sebuah buku, dijemput pula memberi ceramah pasal bail out ini di luar negara, Memanda Bendahara A pun melenting…mendakwa semua syarikat akan ditolong. Kih…kih…inilah ekonomi suku-sakat-tisme! Kemewahan berkitar pada orang tertentu. Ops, ini XXX. Kena censor. Kih…Kih…Kih, siapa berani nak marah, kita di atas pesawat fantasi."

"Saya dah berhenti menulis buku-buku politik." tiba-tiba mulut Bibo terkopak dan keluar suara garang dan tegas dari kotak suara. "Eheh-iehh, kenapa? Kenapa nak berhenti menulis? Awak kena ugut ke? Saya ni kenal dua tiga orang hak asasi manusia di peringkat United Nation, nak saya tolong?" perempuan roti canai nampak mengambil berat.

"Buat apa saya tulis, buat penat…." Bibo secara tidak terjangka berasa o.k pula melayan perempuan di sebelahnya, walaupun ada bau kurang menyenangkan.

"Saya sakit hati. Macam-macam yang saya tulis, bukan fitnah tetapi ada fakta kuat yang saya kaji sampai kadang-kadang nyawa pun terancam tetapi bila kita persembahkan kepada khalayak, orang tak peduli pun…" Memang dia penulis buku politik yang prolifik. Juga pensyarah sains politik di salah sebuah IPTA.

"Awak frust?"

"Orang kita mati di benaknya."

Perempuan roti canai ini perlahan-lahan tidak lagi merimaskan.

"Orang kita gila kerana bersabar bukan pada tempatnya. Ada sejuta billion entah-entah trillion penyelewengan depan mata tapi buat tak reti…itu mati di benaklah tu…saya dah putus asa. Tol naik, dia kata o.k sebab jalan pun dah lebar. Air tak ada, dia orang kata o.k kerana zaman Jepun dulu lagi teruk, kena seksa pulak. Semua o.k, ada orang samun tabungan pekerja untuk tolong syarikat besar yang tiada kena mengena dikira oleh Pertubuhan D sebagai o.k, mereka lebih suka pasal isu nak boikot ayam dengan ikan. Isu sebenar tenggelam. Buatlah apa pun, semua o.k. Agaknya kalau disuruh Pol Pot hidup balik memerintah dia orang ni semua pun, mereka kata o.k, asal jangan kacau hidup dia orang. Semua o.k. tapi saya yang k.o." kata-kata itu disambut tawa Puan X.

Setiba di Buenos Aires, Gabriel sedia menanti.

"Macam mana Profesor, penerbangan lebih 24 jam ini?"

Bibo angguk, senyum lucu.

"Aku dapat teman baru. Nanti sajalah aku cerita, ayuh carikan aku hotel."


BALIK