MENCARI-CARI YANG LAIN DARI HOLLYWOOD DI KL

Oleh: Faisal Tehrani


KENAPA kita masih terus menonton filem-filem dari Amerika?  Barangkali pertanyaan seumpama itu sedikit tidak masuk akal kerana yang ada di sini, malahan di seluruh dunia - hanyalah Hollywood. Akan tetapi benarkah hanya Amerika sahaja yang berhak menguasai dunia filem terus-terusan, dan kalau kita ingin menentangnya, apakah ia suatu impian? Atau apakah boleh ada semacam tolak ansur di antara wayang berbeza. Ini menyebabkan saya termenung agak lama. Hishamudin Rais pernah memberitahu saya, perang dingin sedikit sebanyak telah mengusir filem-filem Eropah dari panggung-panggung kita. Hizairi Othman, penulis kolum filem majalah Massa mengeluh, pemilik panggung kita sebahagian besarnya Cina yang memang tiada jiwa seni, yang ada cuma jiwa niaga. Dan tidak hairanlah, kalau Yusuf Haslam boleh mengeluarkan kata-kata, untuk menjadi pembikin filem di Malaysia, kita mesti jadi samseng. Wayang gambar  telah mencapai usia seratus tahun pada 1995. Dan belum ada tanda filem akan menjadi nyanyuk. Ketika kelahirannya, pencinta seni agak terpegun takjub, hiruk pikuk, mengatakan seni wayang akan menelan semua jenis seni; seni catan, seni bina, seni sastera. Dan sehingga sekarang, ia jauh meleset. Seni bina masih melongokan kita, seni catan berbiak lebih mantap, kelahiran kamera tidak dapat memadam jasa berus dan cat sedang seni sastera terus unggul sebagai bapa kepada semua jenis seni. Akan tetapi semuanya ada ciri yang sama. Iaitu pernyataan manusia dan kemanusiaan yang berkobar-kobar. Tetapi sejak tahun 1945, pengeluar filem dari Hollywood telah mencipta suatu mitos, filem adalah komoditi - ia milik kami dan anda buatlah perkara yang lain - ungkapan angkuh demikian tidak sedikit pun mematahkan semangat dunia wayang yang lain. Pertama, kita harus faham, tradisi yang dipegang Hollywood ialah tradisi Anglo-Amerika. Sejak dari pemerintahan Queen Anne di England, undang-undang telah menghalalkan pencetak membeli karya dan melakukan apa sahaja ke atasnya. Tiga abad kemudian, tradisi itu masih mekar dan belum sebenar mati, dan kini beralih ke Amerika. Sedang tradisi Beaumarchais di Perancis, dicetus dengan gigih oleh sasterawan besar Victor Hugo yang menegaskan pengkarya asal memiliki hak kewangan dan moral terhadap karyanya. Ia lebih diterima dari tradisi di atas tadi lalu melahirkan Bern Convention yang ditandatangani oleh hampir seratus buah negara.   Dua konsep inilah yang bertentangan. Dan meminjam kata-kata Jean-Claude Carriere, Presiden FEMIS, sekolah wayang dan audio-visual terulung di Perancis, Filem hidup terukir dalam jisim Amerika, jika satu mati yang satu lagi turut tidak hidup. Ini bermakna, tanpa Hollywood, apalah filem. Tetapi beliau juga menekankan, monopoli imej adalah berbahaya. Persaingan 'bebas' yang kemudian diwarwarkan oleh Hollywood adalah sesuatu yang bodoh. Filem Uganda dibenarkan bersaing dengan filem Amerika misalnya adalah ibarat seekor musang dibiarkan 'bebas' di dalam reban ayam!   Perancis nampaknya tidak letih mempertahankan filem-filemnya. Filem Perancis tidak keterlaluan kalau kita katakan adalah benteng akhir wayang lain dari Amerika. Kita harus memuji usaha Perancis menandatangani GATT (perjanjian am tentang perdagangan dan tariff, ia bermatlamat meliberalisasikan perdagangan dunia) di bawah suatu peruntukan kecil yang menegaskan, industri audio-visual (dibaca sebagai filem) Eropah dilindungi dibawah apa yang dinamakan 'pengecualiaan kebudayaan'. Perancis melihat industri filem bukan barang niaga. Namun untuk melihat filem sepenuhnya bukan sebagai barang perniagaan juga tersilap, seperti kata Jean Paul Rappeneau (filemnya Cyrano de Bergerac memenangi sepuluh Cesar, anugerah nasional filem Perancis), 'perniagaan dan seni saling berkait. Kami perlu menentang filem-filem Amerika dan dalam masa yang sama perlu memperbaharui media filem'. Penonton atau peminat seni filem tidak banyak pilihan di negara kita ini. Yang terlonggok memang semata-mata filem Amerika. Dan kadang-kadang apa yang terhantar amat halus berbau New World Order. Ambil sahaja Independence Day. Amerika adalah tuan dunia dan apabila makhluk asing datang menjajah bumi, Amerikalah yang telah berkorban segala-galanya demi kemurnian sejagat. Presiden Amerika lakonan Bill Pullman, yang kematian Wanita Pertama, memandu jet pejuang untuk sama-sama memusnahkan kapal angkasa. Atau ambil sahaja Executive Decision karya Stuart Baird menggambarkan orang Islam radikal dan ganas tanpa menyelidik ke akar umbi mengapa ia harus terjadi begitu. Filem-filem begini biasanya adalah keluaran  studio besar yang ada agenda tersendiri. Filem keluaran Miramax, kecil tetapi amat bermutu seperti Marvin's Room atau Wings Of The Dove, sekadar beberapa nama, juga luput dari senarai tayangan. Atau, saya masih ingat ketika sebahagian besar kanak-kanak terpesona dengan kehebatan dinousour dalam filem Jurassic Park (Steven Spielberg 1993) mereka telah rugi kerana panggung kita tidak menayangkan The Secret Garden (arahan pengarah wanita Agnieszka Holland yang kini menetap di Paris 1993) yang disifatkan antara filem kanak-kanak bermutu. Hanya beberapa bahagian dunia menayangkan filem tersebut, hanya kanak-kanak yang lebih bernasib baik dibawa oleh ibu-bapa mereka menonton filem psikologi kanak-kanak ini. Panggung kita gagal menyediakan alternatif. Pencinta filem memang boleh menikmati filem-filem luar (dibaca, bukan Hollywood) dengan menjadi ahli Kelab Seni Filem contohnya. Baru-baru ini Help Institute dengan kerjasama Kedutaan Perancis menganjurkan Pesta Filem Perancis ketiga yang nampaknya semakin mendapat sambutan hangat. Sebanyak lapan buah filem dipertontonkan. Filem-filem terpilih ini sayangnya ditayang begitu singkat sedang khalayak begitu besar. Antara yang terbaik ialah La Ceremonie arahan Claude Chabrol, kisah dua wanita aneh bersahabat dan kemudian membunuh keluarga seorang doktor. Atau ambil sahaja filem Le Hussard su le toit lakonan mantap bertaraf Academy, Juliette Binoche dan Olivier Martinez, yang kini mulai dibandingkan dengan pelakon Brad Pitt di Amerika Syarikat. Filem ini khabarnya dijalankan penuh teliti dengan belanja besar untuk mencuri penonton-penonton di Eropah yang mulai gemar filem romantik-cinta ala Amerika. Jean Paul Rappeneau bagaimanapun tidak mengabaikan nilai artistik yang se

patutnya ada pada sebuah filem. Latar sejarah selepas perang Napoleon Bonaparte, Perancis menderitai kolera. Seorang pejuang Itali yang minggir ke Perancis berusaha untuk melarikan diri dari musuh-musuhnya lantas bertemu dengan seorang wanita misteri yang ingin kembali ke pangkuan suami.   Sesekali akan ada filem Hong Kong bermutu atau kalau bernasib baik, panggung-panggung kecil seperti di Pertama Complex, Sungai Wang Plaza dan Kotaraya ada menayangkan filem dari Republik China. Shanghai Triad arahan Zhang Yi Mou yang diperkata hebat di Pesta Filem New York ada ditayangkan tidak sampai seminggu di sini. Begitu juga Temptress Moon arahan pengarah muda berbara Chen Kaige. Filem The Soong Sisters, epik sejarah mengenai tiga wanita yang mengahwini tiga orang pencipta histori seperti Dr. Sun Yat Sen dan Chiang Kai Shek kurang disedari apabila ditayangkan di sini. Filem ini memenangi filem terbaik Hong Kong tahun lalu. Michelle Yeoh, gadis kelahiran Ipoh yang mencipta nama di Hong Kong dicalonkan untuk pelakon pembantu wanita terbaik untuk watak kakak sulung yang lebih mementingkan wang dari negara. Selebihnya, kalau mahukan juga filem-filem luar, kadang-kadang tanpa disangka, lanun cetak rompak di Petaling Street boleh menolong. Pencinta seni filem sudah selalu mengucapkan terimakasih kepada mereka. Filem seperti Nil By Mouth, di mana Kathy Burke memenangi aktres terbaik di pesta Filem Cannes  ada terjual di sini, cuma perlu lebih memerhati apabila menggelidah rak mereka.  

Menjawab semula  pertanyaan, apakah boleh  kita menentang filem-filem Amerika. Ia memang sukar, kerana kita sendiri kadang-kadang belajar dari mereka tetapi pengalaman Iran tidak pula boleh kita kesampingkan. Selepas tercetusnya Revolusi Iran, negara Islam itu menutup pintu sepenuhnya. Namun panggung wayang harus terisi juga. Akibatnya filem-filem Iran yang lebih bermutu terpaksa dihasilkan. Dalam tempoh sepuluh tahun kemudian, dunia menyaksikan filem-filem Iran menguasai lebih dari 20 buah pesta filem antarabangsa setiap tahun. Majalah Times, tahun lalu memilih filem Iran, Taste of The Cherries sebagai filem terbaik dunia. Filem tersebut juga memenangi anugerah Golden Palm d ' Odor di Cannes. Nama-nama seperti Abbas Kiarostami, Mohsen Makhmalbaf yang mengejutkan penonton di Amerika dengan filem seperti Gabbeh, Majid Majidi dengan Pedar yang memenangi puluhan pesta filem dunia termasuk di Pulau Pinang tahun lalu (Penang Pearl Award), adalah beberapa filem yang kuat tanpa perlu menyelak pakaian dan memapar tubuh. Sayang, filem-filem berkualiti A seperti ini hanya kedengaran di t

elinga kita sahaja. Kalau bernasib baik, Kedutaan Iran menganjurkan pesta filem, berpeluanglah menonton.  Kalau tidak, wayang kita haruslah menadah sekian longgok filem Amerika yang karut, terutama dari studio-studio besar yang hanya mementingkan wang. Godzilla yang besar agam itu akhirnya menindih Raja Melewar gagah perkasa arahan Jamil Sulong.  

Apakan daya…


BALIK