'JUKSTAPOSISI' UTAMAKAN GAYA

Oleh: Faisal Tehrani


JUKSTAPOSISI merupakan karya paling akhir ditulis oleh Hizairi Othman, seorang penulis angkatan 90 an paling tersendiri dan memiliki sejumlah pengekor setia. Novel ini memenangi tempat ketiga Hadiah Novel Melayu Baru Perangsang-Gapena.

Novel ini dikatakan mempunyai keistimewaan dari segi keluarbiasaan tekniknya, iaitu pendekatan avant-garde. Panel penilai menyifatkan bancuhan naratif, skrip filem, halusinasi dan wacana intelektual dalam novel ini sebagai sesuatu yang menghidupkan.

Usai menatap novel ini, membuatkan saya menghela nafas panjang. Hizairi berjaya untuk keluar dari pengaruh lingkaran remaja-kanak-kanak yang terbentuk seawal 1986. Namun untuk mengangkat karya ini sebagai hasil terbaik Hizairi sedikit sukar.

Ini diakibatkan beberapa faktor. Pertama yang perlu diberi perhatian serius ialah tema. Ia sangat penting kerana pada temalah kita dapat menelah sari-fikir penulis. Untuk menampung tugas tema inilah maka wujudnya karektor, latar, kadang-kadang simbol, plot dan gaya penceritaan. Tema Jukstaposisi kurang jelas. Yang ditekankan tentu perjuangan manusia filem di tanahair untuk mengangkat industri kecil ini sebagai sesuatu yang lebih bermakna. Sesekali tersasar membicarakan idealisme perjuangan mahasiswa dan pemberontakan jiwa muda, dan terselit di sana sini cubaan menafsirkan Melayu baru. Tiga perkara yang berjauhan cuba diletak berhampiran tetapi masih terasa jurang. Tema-tema sampingan pilihan pengarang kurang teradun dengan tema utamanya iaitu pengangkatan mutu filem.

Tema boleh dikesan pada sekurang-kurangnya lima asas. Judul karya, dalam hal ini Jukstaposisi dipilih. Ia adalah perkataan berasal dari bahasa Inggeris yang memberi erti to place side by side atau position close together. Tajuk nampaknya lebih mencerminkan teknik dan style dari inti fikir.

Tema juga dikesani pada perubahan karektor, adakah ia tiba di satu peringkat menyedari atau memahami sesuatu yang ia tidak jelas di awalnya. Dalam konteks Jukstaposisi, transformasi watak tidak besar. Diri pengarah filem yang berazam kuat digambarkan beroleh kejayaan sementara Diri (mahasiswa perfileman) kelihatan sedikit statik dan terus menaruh azam dan cita-cita tinggi.

Selain itu tema dihidu apabila berlaku observasi penulis dalam hidup atau manusia. Dalam erti kata lain, fikiran dan ideologi penulis tumpah bersekali dengan watak di dalam karya. Ini diimbangi dengan tema yang dipegang dari awal. Samada disedari atau tidak watak-watak di dalam novel ini lebih berleter dari menyampai tema, menjadikan ia lewah sementara wacana intelektualnya pekat hingga sesekali terasa kekeringannya. Mujur bahasa segar dan pemilihan frasa Hizairi yang memang hidup menyelamatkan keadaan. Lagi, untuk mengetahui tema, simbol-simbol di dalam novel juga boleh diperhatikan selain permainan plot.

Hizairi nampaknya ghairah mengutip ide dan sari fikir pemikir seperti Alvin Toffler, George Bernard Shaw dan Malek Ben Nabi tetapi sebetulnya kurang menggerakkan cerita. Ia ketara sebagai satu perhiasan. Tampalan pemikiran Ibnu Khaldun misalnya di halaman 2 menyebabkan kita tertanya-tanya. Hizairi barangkali cuba menonjolkan ini semua sebagai satu halusinasi atau khayalan benak watak tetapi halusinasi masih perlu menampung tema. Halusinasi sedemikian 'intelek' harus merujuk kepada tema keseluruhan. Apakah tema Jukstaposisi? Perjuangan orang filem? Perjuangan meletak Melayu di peringkat dunia sebaris dengan bangsa lain? Perjuangan mengungguli kembali mahasiswa? Ilmu bantu sangat ketara diselitkan sehingga sedikit sebanyak menenggelamkan nilai estetik karya. Hizairi malah menyenaraikan hampir 66 judul filem di dalam novel ini. Pada satu ketika, seperenggan hanya merupakan nama-nama filem. Atau nama-nama buku, sekali lagi sekiranya ia berjejak semula kepada tema, perkara ini masih boleh ditolak ansur. Saya dapat merasakan Hizairi ghairah mencantikkan gaya atau fesyen pada novel ini. Malah hampir semua penulis angkatan 90 an dikenali kerana style yang tersendiri. Ini adalah fenomena berbahaya memandangkan penulis kurang mementingkan sari-fikir dan tema karya.

Akibatnya, karya seperti tiada ideologi atau inilah ideologinya? Saya amat merasakan penerapan ilmu bantu atau penggayaan teknik harus diwarasi dengan ideologi. Seperti pakaian, penuh dengan manik dan labuci, cantik di mata tetapi rimas dipakai, karya-karya menekankan fesyen tanpa keseimbangan material atau isi amat berbahaya. Bukan bermakna gaya seperti ini salah tetapi isi juga harus sama beratnya. Timbangan yang saksama ini sangat penting kerana kita sedang bercakap mengenai karya sastera serius bukan karya popular atau karya akademik.

Jukstaposisi adalah contoh paling nyata penulisan berbau post-modernisme dan intertekstualiti, sayang ia kecelaruan isi kerana dalam aliran post-modern, bukan sahaja gaya dan 'kekacauan bercerita' itu sahaja yang dipentingkan tetapi isinya, justeru dibenarkan penulis melintasi sempadan untuk mengongsi pemikiran dan budaya intelelek.Isi yang celaru mesti disambung atau dihubung secara cermat supaya ia keluar sebagai karya yang kental bentuk, gaya atau langgam pengkisahan dan tentu apa yang ingin disampaikan, barangkali ini yang dikatakan 'jukstaposisi' itu.

Namun Jukstaposisi tidak pula boleh dikatakan sebagai sebuah karya gagal, kerana seperti telah saya sebutkan, ia berhasil membawa Hizairi keluar dari dunia penulisan remaja-kanak-kanak yang memang dikuasainya. Lagipun, karya yang baik ialah karya yang melanggar hukum-hakam penulisan. Dan untuk melanggar semua itu seseorang mesti tahu pula apakah peraturannya.


BALIK